- Iklan -
Berita

Bekas speaker persoal menteri ambil alih sesi pertanyaan PM, ketika Anwar di luar negara selama sebulan

Membenarkan menteri menjawab bagi pihak perdana menteri menggagalkan tujuan PMQT, kata Azhar Azizan Harun.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim bersama dua timbalannya Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Fadillah Yusof.
Anwar Ibrahim bersama dua timbalannya Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Fadillah Yusof.

Bekas speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mempersoalkan keputusan membenarkan menteri-menteri untuk menggantikan perdana menteri semasa sesi mingguan Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) menjelang lawatan Anwar Ibrahim ke luar negara sepanjang November ini.

Azhar Azizan Harun.
Azhar Azizan Harun.

Azhar berkata tindakan Timbalan Speaker Ramli Mohd Noor itu menimbulkan persoalan mengenai fungsi dua timbalan perdana menteri.

Menurutnya, sama ada Ahmad Zahid Hamidi atau Fadillah Yusof harus mewakili Anwar semasa ketiadaan perdana menteri.

"Apa jadi dengan Timbalan Perdana Menteri? Kita ada dua. Mereka sepatutnya boleh menjawab soalan (bagi pihak perdana menteri)," kata Azhar kepada MalaysiaNow.

Azhar, yang menjawat speaker Dewan Rakyat dari 2020 hingga 2022, berkata tindakan itu bertentangan dengan tujuan asal sesi PMQT yang diperkenalkan pada 2019 oleh pentadbiran Pakatan Harapan di bawah Dr Mahathir Mohamad sebagai sebahagian daripada pembaharuan Parlimen.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap di Dewan Rakyat. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap di Dewan Rakyat. Gambar: Facebook

Sesi khas yang diadakan setiap pagi Selasa sejak Februari tahun lalu itu merupakan tambahan kepada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) ketika sidang biasa Dewan Rakyat.

"Tujuan sebenar adalah untuk perdana menteri datang sendiri dan jawab soalan. Untuk menteri, mereka sudah ada sesi pertanyaan mereka setiap hari persidangan dari pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi. Jika menteri pun jawab semasa PMQT, ia bertentangan dengan tujuan asal sesi itu.

"Sebaik mungkin, perdana menteri sendiri perlu menghadiri sesi bagi membezakan antara PMQT dan sesi pertanyaan biasa," katanya.

Butiran perjalanan Anwar selama sebulan ke luar negara tidak didedahkan.

Anwar Ibrahim melakukan hampir 40 lawatan ke luar negara sejak mengambil alih kuasa, dengan menelan belanja kira-kira RM14 juta.
Anwar Ibrahim melakukan hampir 40 lawatan ke luar negara sejak mengambil alih kuasa, dengan menelan belanja kira-kira RM14 juta.

Bagaimanapun, Azhar berkata, sebarang mesyuarat luar negara melibatkan perdana menteri perlu diatur supaya tidak bertembung dengan urusan penting Parlimen, terutama semasa perbahasan Belanjawan 2025 yang sedang berlangsung.

"Mengenai perjalanan ke luar negara selama sebulan, saya tidak boleh komen sama ada perjalanan itu wajib atau tidak. Saya anggap lawatan itu penting dan wajib," tambahnya.

Sejak mengambil alih kuasa, Anwar melakukan 39 lawatan ke luar negara yang memakan belanja RM13.7 juta, menurut jawapan bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zaliha Mustafa.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.