Rumah usang kecil itu - di sebatang jalan raya di Tanjung Malim, Perak - kelihatan kusam. Jemuran kain disidai di bahagian luar.
Melangkah masuk, ruang tamunya diisi dengan beberapa sofa, altar sembahyang dan meja kabinet untuk menempatkan sebuah televisyen buruk yang tidak lagi berfungsi.
Melihat kepada saiz rumah yang kecil dan sempit itu, tiada siapa dapat menyangka ia dihuni oleh sembilan beranak.
Satu ketika dahulu, ia mempunyai tiga bilik, namun sebuah bilik musnah setelah dihempap pokok.
Satu bilik dihuni oleh wanita warga emas, satu lagi dihuni sepasang suami isteri.
S Mariamar, 30, menetap di situ sejak kecil. Wanita itu adalah seorang ibu dan isteri, dan mempunyai lima anak yang masih bersekolah. Anak sulung berusia 14 tahun manakala anak bongsunya berusia tiga tahun.
Dia kini menjaga ibunya yang uzur dan berdepan masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah penglihatan.
Anak-anaknya dan seorang saudaranya terpaksa tidur di ruang tamu yang sempit, di atas lantai yang diperbuat daripada simen yang sudah merekah.
Dinding dan zink rumah itu diperbuat daripada zink dan kayu-kayu yang sudah reput. Dapur dan tandas juga dalam keadaan daif.
Termasuk Mariamar sendiri, keluarga ini mempunyai tiga pencari.
Namun, dia dan suaminya di samping seorang saudara berusia 32 tahun, S Sivalinggam, tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Mariamar bekerja sebagai pekerja pembersihan tetapi terpaksa berhenti sejak beberapa tahun lalu kerana masalah lelah.
"Di bandar ini sukar untuk mencari pekerjaan tetap. Buat masa ini, saya bekerja sebagai tukang cuci rumah.
"Namun, segalanya bergantung kepada permintaan. Ada bulan memang saya tidak langsung dapat apa-apa pekerjaan," katanya.
Ada masanya rumah itu terputus bekalan beras dan makanan ruji kerana tiada wang mencukupi untuk barang dapur.
Jika bernasib baik, mereka mampu membawa RM1,000 untuk menanggung keperluan hidup, walaupun tidak mencukupi untuk menanggung kelapan-lapan penghuni rumah tersebut.
Adakalanya, bil elektrik dibayar jiran yang baik hati.
Ketika ditemui MalaysiaNow, suaminya sedang dipanggil bekerja juga sebagai tukang cuci.
Sivalinggam pula tidak dapat bekerja tetap kerana masalah darah tinggi. Dia melakukan kerja membersih longkang, memotong rumput atau kerja pembinaan setelah kontraknya sebagai tukang cuci di sebuah sekolah berhampiran tamat pada tahun lalu.
"Kami tiada kereta atau motorsikal, jadi jika ada orang memanggil saya bekerja, mereka akan mengambil saya di rumah," tuturnya.
Deepavali kali ini terasa suram. Tiada persiapan yang mampu dibuat keluarga itu memandangkan kelangsungan hidup lebih utama.
"Tahun-tahun sebelum ini, kami akan beli pakaian baharu untuk anak-anak kami dan kuih seperti muruku selain sedikit perhiasan. Kemudian kami akan ke kuil untuk bersembahyang.
"Tetapi tahun ini, kami tidak dapat menyambutnya kerana perlu menumpukan barangan asas dahulu," kata Mariamar.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.