Peguam kepada pemandu e-hailing pekak Ong Ing Keong berkata anak guamnya berasa lega selepas lelaki yang menyerangnya akhirnya dihadapkan ke mahkamah, tetapi berkata denda RM1,000 ke atasnya tidak menggambarkan keseriusan kesalahan itu kerana ia melibatkan seorang anggota polis.
Zaid Malek berkata mahkamah sepatutnya mengambil kira bahawa Taufik Ismail, 32, yang mengaku bersalah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, merupakan seorang anggota polis, sambil menambah serangan terhadap Ong itu dilakukan tanpa sebarang provokasi.
Beliau merujuk kes serupa lebih dua dekad lalu, melibatkan bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor yang mengaku bersalah menyerang Perdana Menteri Anwar Ibrahim, beberapa jam selepas ditangkap pada 20 September 1998.
Dua tahun selepas kejadian itu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rahim terhadap hukuman penjara dua bulan yang dijatuhkan ke atas beliau.
"Mahkamah Rayuan telah menyatakan prinsip undang-undang bahawa di dalam kes 'anggota polis menyerang orang awam, mahkamah mesti menghantar suatu mesej kemarahan orang awam dengan menghukum dengan tegas dan hukuman pemenjaraan perlu dikenakan, walaupun pesalah kali pertama'," kata Zaid.
Zaid berkata denda RM1,000 ke atas Taufik "nampak tidak mencukupi" kerana pelaku adalah seorang pegawai polis "yang bertanggungjawab untuk melindungi orang ramai dan bukan membawa kemudaratan".
"Serangan itu dilakukan tanpa provokasi dan mangsa adalah OKU yang hanya menjalankan tugas sebagai pemandu e-hailing," tambahnya.
Bagaimanapun, Zaid berkata anak guamnya menghargai semua pihak yang bersama-sama dalam kempen memastikan keadilan untuknya.
"Ong terhutang budi untuk kesemua sokongan dan keperihatinan orang awam yang beliau telah terima selama 5 bulan yang lepas ini," katanya.
Keadilan tertangguh
Rakaman dashcam kejadian pada 28 Mei lalu menunjukkan Ong menunggu penumpangnya di luar Hotel St Regis di Kuala Lumpur apabila didatangi seorang lelaki yang memarahinya dan mengarahkannya mengalihkan kereta bagi memberi laluan kepada rombongan pemangku sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atau TMJ.
Ong kemudian menurunkan cermin keretanya untuk bercakap dengan lelaki itu, yang tiba-tiba bertindak menumbuk mukanya.
Dia menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami lebam pada bibir menyebabkan kesukaran untuk makan.
Kemarahan awam meningkat selepas pendedahan bahawa seorang "wakil istana" telah cuba memujuk Ong menarik balik laporan polis yang dibuat di balai polis Brickfields.
Ong turut menolak dakwaan Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, bahawa dia menarik balik laporan polisnya kerana menganggap insiden itu "salah faham".
Sebaliknya, dia mendedahkan seorang pegawai polis memberinya pilihan sama ada menerima sejumlah wang daripada wakil istana, atau telefonnya dirampas jika kes itu dibawa ke mahkamah.
Kelewatan pihak berkuasa membawa pertuduhan turut dikecam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mempersoalkan sikap membisu Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Pada masa sama, kenyataan Anwar Ibrahim yang cuba mempertahankan kelewatan itu dengan mendakwa mendakwa siasatan insiden itu "mengambil masa" dan "masih belum ditutup", dikecam pengguna media sosial yang turut mengingatkan perdana menteri bahawa beliau sendiri pernah diserang ketika dalam tahanan polis beberapa jam selepas ditangkap pada September 1998.
"Ini bukan kes pembunuhan yang rumit atau skandal kewangan besar yang memerlukan banyak masa. Anwar nampaknya tidak mempunyai jawapan, tetapi hanya mengelak," kata Lawyers for Liberty (LFL), kumpulan hak asasi yang paling ke depan berkempen menuntut keadilan buat Ong.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.