- Iklan -
Berita

Di celah hutan, keluarga hidup dengan ular dan bergelut dengan kedaifan

Setiap tahun, P Paramasivam mengharapkan dapat menyambut Deepavali dalam keadaan lebih sempurna.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Kesihatan Paramasivam tidak mengizinkan dia bekerja, dan terpaksa bergerak dengan bantuan tongkat di rumahnya yang serba usang.
Kesihatan Paramasivam tidak mengizinkan dia bekerja, dan terpaksa bergerak dengan bantuan tongkat di rumahnya yang serba usang.

Jauh daripada hiruk-pikuk pekan Tanjung Malim, beberapa rumah lama membentuk gugusan penempatan manusia di celah hutan dan belukar.

Salah satu rumah itu adalah rumah kayu milik seorang warga emas, P Paramasivam, 55, yang dibina di atas tanah abangnya.

Rumah itu didiami lima orang termasuk isteri dan tiga anaknya. 

Dari luar, ia kelihatan seperti rumah biasa. Tetapi ada bahaya yang menanti dari dalam rumah.

Paramasivam menunjuk ke arah sarang ular di salah satu bilik di rumahnya.
Paramasivam menunjuk ke arah sarang ular di salah satu bilik di rumahnya.

Dua daripada tiga bilik yang diperbuat daripada papan lapis tidak boleh digunakan.

"Sejak bertahun-tahun, bumbung di bahagian bilik itu bocor. Air bergenang lama-kelamaan ia tidak lagi sesuai untuk tidur," katanya. 

Kayu-kayan dan perabot yang tidak lagi digunakan terletak bersepah di bilik itu. 

Dahulu, ia digunakan anak-anak lelakinya yang kini terpaksa tidur di ruang tamu.

Lebih bahaya lagi, bilik usang dan daif itu menjadi tempat seekor ular tedung bertelur dan membiak.

Menurut Paramasivam, sejak lapan tahun dahulu, sudah dua kali ular itu menetaskan telur. 

"Kebiasaannya, saya mengambil anak-anak ular yang telah menetas dan melepaskannya di kawasan hutan di luar," katanya.

Keadaan dapur, tandas dan tempat mencuci pakaian yang daif dalam rumah Paramasivam.
Keadaan dapur, tandas dan tempat mencuci pakaian yang daif dalam rumah Paramasivam.

Bekas buruh ladang itu memberitahu, dia juga kerap melihat ular itu berada di ruang tamu namun tidak sanggup untuk membunuhnya.

"Saya anggap ia sebagai ahli keluarga walaupun merbahaya. Setakat ini haiwan itu tidak pernah mengancam nyawa kami," katanya.

Sebuah bilik lagi dahulunya dihuni oleh mendiang abangnya namun kosong selepas kematiannya. Ia kekal tidak digunakan sehingga berlaku kerosakan teruk.

Bilik kedua pula tidak mempunyai lampu, dan kini bertukar menjadi sarang tikus.

Kedaifan mereka sekeluarga bermakna Paramasivam tidak mampu untuk memperbaiki rumahnya.

Kawasan dapur, tandas dan membersih cucian juga dalam keadaan yang uzur, namun mereka tiada pilihan selain menggunakannya sebaik mungkin.

Paramasivam tidak lagi bekerja atas faktor kesihatan. Kakinya kerap terasa kebas membuatkan lelaki itu terpaksa berjalan dengan tongkat. Dia juga perlu mengambil ubat sakit jantung.

Isterinya bekerja sebagai tukang cuci manakala anak sulungnya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah berhampiran.

Pasangan kembar, P Kajapriyan (kiri) dan P Kajamugan terpaksa tidur di ruang tamu kerana bilik yang sudah uzur dan dihuni ular.
Pasangan kembar, P Kajapriyan (kiri) dan P Kajamugan terpaksa tidur di ruang tamu kerana bilik yang sudah uzur dan dihuni ular.

Dua lagi anaknya menetap di Johor dan bekerja sebagai pencuci pinggan restoran, manakala dua anak kembar bongsunya masih bersekolah rendah.

Mereka tidak mempunyai kenderaan kecuali sebuah motosikal yang digunakan untuk berulang-alik ke tempat kerja.

"Kalau kami ingin keluar, kami akan sewa kereta daripada rakan kami. Tetapi paling jauh pernah kami pergi ialah pekan Tanjung Malim," tambahnya.

Pada tahun ini, keluarga itu tidak menyambut perayaan Deepavali. Selain masalah kewangan, mereka turut berdukacita atas kematian seorang saudara rapat.

Kebiasaannya, mereka bersiar-siar dan membeli baju baru untuk meraikan perayaan itu. Tidak pada tahun ini.

"Sudah tentu saya tidak mahu rumah saya kekal sebegitu. Harapan saya, Deepavali ini yang terakhir kami sekeluarga menyambutnya dengan  rumah yang uzur," katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi