- Iklan -
Berita

Jais dikecam tangkap ustaz terkenal kerana tiada tauliah

Pergerakan intelektual Islam IRF membandingkan tindakan itu dengan penahanan mufti Perlis 15 tahun lalu atas alasan sama.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Abdullah Yasin, pendakwah yang dikaitkan dengan fahaman Salafi, ditangkap oleh pihak berkuasa agama Selangor kerana berceramah tanpa memiliki tauliah mengajar agama.
Abdullah Yasin, pendakwah yang dikaitkan dengan fahaman Salafi, ditangkap oleh pihak berkuasa agama Selangor kerana berceramah tanpa memiliki tauliah mengajar agama.

Sebuah pertubuhan Islam mengecam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menahan pendakwah terkenal Abdullah Yasin, dalam tindakan yang bakal meningkatkan lagi perdebatan mengenai rang undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 yang mengundang kritikan pelbagai pihak.

Islamic Renaissance Front (IRF) berkata tindakan menangkap Abdullah Yasin berlawanan dengan kebebasan intelektual yang menjadi teras sejarah Islam selain bertentangan dengan semangat perlembagaan yang menjamin kebebasan bersuara.

"Ini diburukkan apabila individu yang ditahan adalah seorang sarjana Muslim yang mempunyai semua kelayakan untuk mengajar. Bahkan, permohonan tauliah yang dilakukan berkali-kali oleh ustaz itu dinafikan oleh pihak berkuasa yang sama hanya kerana dia dianggap sebagai seorang salafi," kata pengarah IRF, Dr Ahmad Farouk Musa.

Dr Ahmad Farouk Musa.
Dr Ahmad Farouk Musa.

Abdullah ditangkap kerana mengajar tanpa tauliah Majlis Agama Islam Selangor sebelum dibebaskan dengan ikat jamin pada Sabtu.

Beliau kerap dikaitkan dengan fahaman Salafi, aliran dalam kalangan Sunnah Wal Jamaah yang kerap dipertikaikan pegawai Islam di Malaysia tetapi diterima baik di Perlis. 

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin antara yang lantang mempersoalkan RUU Mufti Wilayah Persekutuan, yang antara lain hanya mengiktiraf aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam kalangan mazhab Syafi dalam soal pelantikan mufti.

Farouk menyifatkan penangkapan Abdullah sebagai tindakan "despotik" Jais selari dengan kehendak RUU untuk mengekang aliran lain dalam tamadun Islam.

Farouk turut membandingkan penangkapan itu dengan penahanan Asri pada 2009 oleh JAIS, juga atas alasan tidak mempunyai tauliah untuk mengajar di Selangor.

Menurutnya, pihak berkuasa Islam seharusnya menghormati hak umat Islam untuk mempraktikkan agama mengikut pilihan mereka.

"Jais tidak wajar bertindak ibarat pejuang agama. Jika tidak, mereka adalah sebahagian senarai institusi yang perlu dirombak semula untuk Islam mengembalikan kedudukan sebagai agama ilmu, akal, dan kemajuan untuk kemanusiaan."