- Iklan -
Berita

Kerajaan diingatkan mengenai risiko laksanakan subsidi petrol berdasarkan pendapatan

Pakar ekonomi berkata wujud risiko subsidi bersasar tidak berkesan di samping mengelak cukai.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Pakar ekonomi berkata wujud risiko sekiranya dilaksanakan subsidi bersasar berasaskan pendapatan untuk petrol RON95, menjelang penghapusan subsidi pukal bagi bahan api itu tahun depan.
Pakar ekonomi berkata wujud risiko sekiranya dilaksanakan subsidi bersasar berasaskan pendapatan untuk petrol RON95, menjelang penghapusan subsidi pukal bagi bahan api itu tahun depan.

Pakar ekonomi mengingatkan pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95 mengikut takrifan pendapatan tidak akan berfungsi, sebaliknya ia patut disasarkan mengikut penggunaan dengan mengenakan harga mengikut peringkat seperti yang dilaksanakan dalam agihan subsidi bil elektrik. 

Geoffrey Williams berkata pengiraan subsidi yang tertera di bil elektrik pengguna berfungsi sangat baik dan harga berperingkat untuk bahan api petrol juga harus berfungsi dengan cara yang sama. 

Ahli ekonomi itu memberikan contoh, seorang pengguna yang memiliki motosikal dan kereta kecil lazimnya akan mengisi minyak dengan harga antara RM5 dan RM20, ini dia akan mendapat subsidi penuh RON95. 

Manakala pengguna yang memandu kenderaan jenis SUV pula akan mengisi minyak dengan kadar lebih kurang RM100 bermakna dia akan mendapat subsidi yang lebih rendah. 

"Sama lah seperti elektrik. Sebagai contoh, (dengan mengisi minyak) sehingga 10 liter anda mendapat subsidi penuh, 10 hingga 30 liter anda mendapat separuh subsidi, melebihi 30 liter pula tiada subsidi. 

"Bagi seseorang yang membeli 10 liter, biasanya mereka ini dalam kumpulan berpendapatan rendah, tiada perubahan. Bagi seseorang yang membeli 50 liter, mereka akan mendapat sebahagian subsidi di bawah 30 liter tetapi tiada subsidi jika melebihi 30 liter. Ini kebanyakannya adalah terdiri daripada orang berpendapatan tinggi," katanya kepada MalaysiaNow. 

Ujarnya lagi, kerajaan juga tidak lagi memerlukan sistem PADU jika penyasaran subsidi petrol diberikan mengikut penggunaan dan ianya boleh digunakan bagi memberikan tumpuan kepada jenis subsidi lain seperti pendidikan, kesihatan dan kebajikan sosial. 

"Bahkan orang yang kumpulan pendapatan tinggi pun memerlukan subsidi untuk kos perubatan apabila orang tersayang mengalami kecacatan jangka panjang dan memerlukan penjagaan sepanjang 24 jam sebagai contoh." 

Sejak Jun 2022, kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM5.8 bilion yang merupakan subsidi bahan api ke atas bil elektrik bagi semua pelanggan kediaman dan bukan kediaman.

Bagi menanggung kos kenaikan bahan api, pengguna hanya perlu membayar akaun bil selepas ditolak oleh amaun subsidi bahan api berdasarkan jumlah unit elektrik (kWj) yang digunakan pada bulan tersebut. 

Menurut lawan web Tenaga Nasional Berhad, pengiraan subsidi akan disemak semula berdasarkan semakan perubahan sama ada kenaikan atau pengurangan kos bahan api setiap enam bulan oleh kerajaan Malaysia. 

Pada pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan bulan depan mengatakan subsidi berjumlah RM8 bilion akan dipotong untuk golongan T15 dan harga runcit RM2.05 seliter akan kekal untuk 85% rakyat. 

Bagaimanapun, kerajaan belum memperincikan kaedah dan mekanisme penyasaran subsidi petrol yang sehingga kini dilihat masih menimbulkan tanda tanya dan spekulasi dari pelbagai pihak termasuk kumpulan perniagaan, pengguna dan rakyat kebanyakan. 
 
Bahkan kerajaan juga dilihat masih gagal untuk memuktamadkan takrifan kumpulan 15% rakyat Malaysia yang tergolong sebagai paling kaya, atau T15, meskipun istilah itu kini sudah diguna secara meluas di Parlimen dan laporan media sejak ianya disebut oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapan belanjawan pada 18 Oktober lalu. 

Siapakah T15? 

Penganalisis ekonomi Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata terminologi untuk mengenal pasti kumpulan rakyat adalah sesuatu yang biasa kerana kaedah yang sama digunakan oleh Bank Dunia bagi mengenal pasti taraf kehidupan setiap negara berdasarkan pendapatan kasar yang dibahagikan dengan jumlah penduduk. 

Bagaimanapun, katanya, penggunaan terminologi itu di Malaysia tidak membawa makna yang tepat kerana tidak mengambil kira kos sara hidup dan perbezaan antara bandar dan luar bandar, selain faktor rakyat yang berulang-alik setiap hari bagi kedua-dua kawasan tersebut. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, Aimi berkata julat pendapatan RM13,000 ataupun RM15,000 dan RM20,000 sekalipun masih tidak tepat dalam mengkategorikan seseorang dalam kumpulan T15 kerana ia hanya diukur berdasarkan pendapatan kasar sahaja. 

Jelas pensyarah ekonomi itu, ia mesti diperhalusi lagi dengan mengambil kira pendapatan bersih selepas ditolak justifikasi standard perbelanjaan perumahan; tanggungan isi rumah, kos bahan api, pendidikan dan lokasi tempat kerja yang juga mungkin berbeza dengan lokasi kediaman. 

"Kos sara hidup di bandar dan luar bandar iaitu perbezaan ketara antara
bandar raya seperti Kuala Lumpur berbanding Kota Bharu ataupun Sungai Besar di Selangor. 

"Ini semua memerlukan penggunaan data pintar yang disatukan seperti PADU yang telah diwar-warkan sebelum ini sebagai platform utama dalam usaha kerajaan menjadi kerjaan digital," katanya. 

Sementara itu, bekas pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Malaya, Mohamed Aslam Gulam Hassan pula mempersoalkan bagaimana kerajaan berhasrat untuk memastikan kumpulan T15 membayar penuh harga petrol RON95 selepas penarikan subsidi tersebut. 

Katanya, adakah mereka akan membayar harga penuh di kaunter stesen minyak atau membuat bayaran melalui potongan cukai pendapatan? 

"Bagaimana pula B40, M40 atau baki 85% isi rumahtangga menikmati subsidi RON95? 

"Adakah akan dibayar dengan diberi rebat dalam cukai pendapatan?
Atau kepada yang layak mendapat subsidi akan diberi baucar bulanan
atau kad khas atau kerajaan akan mengkreditkan bayaran subsidi
secara bulanan, suku tahun atau 6 bulan ke dalam akaun bank atau ada
kaedah lain? 

"Jika diberikan kad khas kepada isi rumahtangga yang layak, maka proses
pemberian kad bagaimana pula hendak dilakukan?" katanya kepada MalaysiaNow. 

Aslam turut melahirkan kebimbangan lain yang mungkin tercetus selepas penarikan subsidi terhadap kumpulan T15, menyifatkan penyasaran itu membawa kebaikan tetapi bersifat regresif. 

Menurutnya, jika dilihat dari sudut lain penyasaran subsidi itu mendiskriminasi golongan kaya yang kemudiannya mampu untuk melemahkan motivation kumpulan T15 untuk bekerja dan melabur wang mereka. 

Ini kerana, katanya, secara umumnya golongan T15 membayar cukai pendapatan lebih tinggi berbanding golongan yang lain. 

"Umumnya anggaran purata pendapatan bulanan T20 adalah tiga kali ganda dari purata pendapatan bulanan M40 dan enam kali ganda dari purata pendapatan bulanan B40. 

"Tapi kesan 'demotivate' ini mungkin rendah. Jika kesan subsidi terhadap kehidupan T15 lebih rendah dari insentif bekerja dan melabur, mereka
mungkin tidak kisah dengan hal penyasaran." 

Aimi turut memiliki kebimbangan yang sama sambil menegaskan golongan T15 itu adalah pembayar cukai paling besar jika mengikut pendapatan mereka sedia ada. 

Jelasnya, sekiranya kerajaan tidak melaksanakan kaedah penyasaran subsidi dengan bijak, ia membuka ruang kepada sesuatu yang lebih serius dan memberi impak buruk kepada ekonomi negara. 

"Ia boleh membawa kepada pelarian cukai melalui entiti perniagaan milik mereka mahupun kesan jangka panjang di mana mereka akan berhijrah keluar negara." 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.