- Iklan -
Berita

Peguam negara diselar bantah ikat jamin Yusoff Rawther ketika kerajaan gubal akta benarkan banduan jadi tahanan rumah

Keluarga Yusoff Rawther bimbang dengan keadaan kesihatan pemuda itu yang kini ditahan di Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Yusoff Rawther ketika dibawa ke mahkamah pada 12 November, 2024.
Yusoff Rawther ketika dibawa ke mahkamah pada 12 November, 2024.

Peguam bekas pembantu Anwar Ibrahim, Yusoff Rawther yang kini berdepan tuduhan memiliki dadah dan senjata, mempersoalkan tindakan peguam negara membantah permohonan anak guamnya menyemak semula keabsahan Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 ketika kerajaan ingin perkenalkan undang-undang tahanan rumah.

Rafique Rashid berkata Pejabat Peguam Negara (AGC) sepatutnya mempertimbangkan permohonan itu kerana ia memberi manfaat kepada ribuan banduan lain yang masih menunggu perbicaraan.

"Kita mempersoalkan keabsahan Seksyen 41B. Kita tidak ada kuasa permohonan jamin sedangkan kuasa memberi jaminan ialah hati perut mahkamah. Jadi kita minta mahkamah tentukan Seksyen 41B yang menghalang jaminan itu tidak berperlembagaan," katanya dalam satu sidang media yang turut dihadiri dua ibu saudara Yusoff dan adik lelakinya, Ebrahim Rawther.

"Kenapa AGC hendak membantah permohonan itu?" soal Rafique.

Rafique merujuk rancangan kerajaan untuk menggubal undang-undang membolehkan banduan diletakkan sebagai tahanan rumah. 

"Bagaimanakah kita masih hendak menentang permohonanan sebegini?

"Ia tidak menghantar isyarat yang betul kepada rakyat," katanya.

Yusoff ditahan pada 6 September selepas polis mendakwa menemui dua pistol dan 305g ganja di dalam keretanya, dalam apa yang disifatkan Yusoff sebahagian usaha musuh dan "orang berkuasa" yang mahu memerangkapnya.

Terdahulu, kes dadah membabitkan cucu aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Idris itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Yusoff didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan berdepan hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan bersalah.

Lelaki itu turut didakwa di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Akta Dadah Berbahaya tidak membenarkan ikat jamin untuk kesalahan di bawah Seksyen 39(B) yang dihadapi Yusoff. 

Yusoff telah memfailkan saman pada hujung September mencabar seksyen itu yang menghalang mahkamah daripada menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, sebagai tidak berperlembagaan.

Ebrahim Rawther, adik kepada Yusoff Rawther, menjawab soalan wartawan di sidang media, ditemani ibu saudara Khatija Idris (kiri) dan peguam, Rafique Rashid.
Ebrahim Rawther, adik kepada Yusoff Rawther, menjawab soalan wartawan di sidang media, ditemani ibu saudara Khatija Idris (kiri) dan peguam, Rafique Rashid.

Pada sidang media hari ini, ibu saudara Yusoff, Fathima Idris menyifatkan pemakaian Seksyen 39B terhadap anak saudaranya sebagai kejam.

"Mahkamah dibelenggu daripada melaksanakan budi bicara. Bagaimana mahkamah boleh dibelenggu sebegini? Ia sepatutnya bebas daripada kegilaan ini.

Keluarganya turut menzahirkan kegusaran berkenaan keadaan kesihatan Yusoff yang ditahan di Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan.

Fathima menyelar kerajaan yang sebelum ini mahu mengurangkan kesesakan dalam penjara dengan memperkenalkan undang-undang berkaitan tahanan rumah.

"Kerajaan berkata ia sedang merancang mereformasikan 3,000 undang-undang dan membawa peruntukan untuk tahanan rumah. Satu sebab diberikan ialah untuk mengurangkan kesesakan di penjara;Namun mereka (kerajaan) berdolak-dalih sama ada permohonan Yusoff adalah soal sivil atau jenayah," katanya.

Mana ahli Parlimen?

Dalam pada itu, Rafique turut mempersoalkan suara pihak-pihak yang dahulu memperjuangkan hak asasi yang tidak bersuara membela Yusoff, termasuk ahli-ahli Parlimen.

"Di manakah suara NGO-NGO yang begitu lantang? 

"Kalau perkara ini berlaku dalam pentadbiran terdahulu, saya merasakan bukan sahaja mereka buat sidang media setiap hari, tapi sudah ada soalan yang akan ditanya di Parlimen dan jauh lebih penting, akan ada perarakan-perarakan untuk membawa kebebasan kepada orang yang dikatakan dianiaya," katanya.

Rafique menyatakan kekesalan pihak keluarga kerana tiada soalan ditanya di Parlimen berhubung isu tersebut.

Yusoff merupakan bekas pembantu penyelidik untuk Anwar Ibrahim, dan pernah bekerja di sebuah pejabat bungalow di Petaling Jaya pada 2018.

Pada 2021, dia memfailkan saman mendakwa diserang presiden PKR itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang menyaksikan Anwar kembali ke Dewan Rakyat empat tahun selepas disabitkan kesalahan liwat.

Anwar mendakwa Yusoff berbohong berhubung serangan seksual yang berlaku kepadanya.

Yusoff juga telah memfailkan saman sivil terhadap bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menuntut gantirugi kecederaan yang dialami selepas didakwa diserang di pejabat Anwar di Petaling Jaya pada 2018.

Pada Oktober 2022, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, membayar ganti rugi RM200,000 kepada Yusoff susulan saman fitnah berkait kenyataannya mengenai saman terhadap Farhash.