Daim Zainuddin, antara menteri kewangan Malaysia yang paling dikenali dan bertanggungjawab memastikan pemulihan ekonomi ketika krisis kewangan Asia lebih dua dekad lalu, meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Daim, yang sejak kebelakangan telah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat sakit uzur, meninggal dunia pagi tadi di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Beliau yang nama kelahirannya Che Abdul Daim Zainuddin, merupakan ahli perniagaan sebelum menyertai kerajaan sebagai menteri kewangan di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
Walaupun uzur, Daim menjadi tumpuan sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan menjadi sering menjadi sasaran serangan Anwar Ibrahim, yang menuduhnya mengumpul kekayaan, iaitu tuduhan yang kerap dibuat perdana menteri terhadap musuh politiknya.
Siasatan ke atasnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertukar menjadi kontroversi selepas sebuah laporan yang mengatakan tindakan itu disebabkan tekanan daripada Anwar.
Pada 26 September, agensi berita kewangan Bloomberg memetik tiga sumber sebagai berkata bahawa ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah memberitahu pegawainya bahawa siasatan terhadap Daim dan Mahathir dimulakan atas kehendak Anwar.
Pendedahan itu disusuli laporan polis oleh Daim, yang difailkan bagi pihaknya oleh isterinya Naimah Khalid, menggesa siasatan penuh ke atas Anwar atas salah guna kuasa kerana mencampuri urusan SPRM.
Di sebalik serangan ke atasnya, Daim akan dikenang sebagai orang yang mendapat kepercayaan Mahathir untuk mengetuai transformasi ekonomi Malaysia pada 1980-an dan 1990-an.
Dari Kedah ke London
Anak bongsu daripada 13 beradik, bapa Daim bekerja sebagai kerani kerajaan manakala ibunya seorang suri rumah.
Selepas tamat sekolah menengah di St Xavier's Institution di Pulau Pinang, Daim melanjutkan pendidikan ke England dalam jurusan undang-undang, dibiayai wang simpanan ibunya yang menjual tanah pusaka.
Pada usia 21 tahun, Daim diiktiraf sebagai peguam di Britain.
Sekembali ke tanai air, beliau meneruskan profesion undang-undang dan terbabit dalam pelbagai peranan: peguam, majistret dan timbalan pendakwa raya.
Pada 1969, beliau memulakan firma guamannya sendiri, Daim & Gamany, tetapi memutuskan menceburi bidang perniagaan tidak lama selepas itu.
Beliau mencapai kejayaan besar dalam bidang ini, dan menjadi antara tokoh korporat Malaysia paling terkemuka, terlibat dalam sektor perkilangan, pembangunan hartanah dan perbankan.
Daim tidak pernah menunjukkan minat mendalam dalam politik dan merancang untuk bersara pada akhir 1970-an apabila Mahathir memujuknya untuk bertanding dalam pilihan raya umum.
Beliau dilihat sentiasa mendapat kepercayaan Mahathir, malah sering dihantar menjadi utusan kerajaan dalam rundingan melibatkan isu rumit.
Dua kali ditugaskan pulih ekonomi
Kepercayaan tinggi Mahathir terhadap kepintaran Daim dalam sektor perniagaan dan kewangan sekali lagi ditonjolkan apabila beliau dilantik sebagai menteri kewangan pada 1984, ketika ekonomi Malaysia sedang muncul sebagai pusat perindustrian serantau dibantu pelaburan asing secara besar-besaran.
Apabila ekonomi mengalami kemerosotan pada pertengahan 1980-an, Daim dilihat sebagai orang yang mengemudi usaha pemulihan.
Usaha ini seterusnya membuka jalan untuk kebangkitan Malaysia sebagai kuasa ekonomi Asia.
Pada 1991, selepas mengetuai transformasi ekonomi Malaysia, Daim meletak jawatan sebagai menteri kewangan dan bersara daripada politik. Mahathir tidak mempunyai pilihan selain mengisi jawatan itu dengan Anwar, ketika itu seorang pemimpin yang meningkat naik dalam Umno, yang asal usul politiknya juga disebabkan usaha Mahathir.
Perkhidmatan Daim sekali lagi diperlukan ketika krisis kewangan Asia yang bermula pada 1997, apabila Mahathir merasakan Anwar tidak layak bukan sahaja dari segi moral, tetapi juga kerana beliau percaya timbalannya tidak dapat menangkis tekanan badan kewangan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Selepas berjaya memulihkan ekonomi sekali lagi, Daim mengundur diri daripada politik dan kembali kepada usaha perniagaannya.
Ketika pilihan raya umum 2018, Daim melupakan permusuhannya dengan Anwar dan menyertai usaha menyingkirkan Najib Razak dengan berkempen untuk calon PKR dan Pakatan Harapan.
Selepas Mahathir dilantik perdana menteri buat kali kedua, Daim dipilih mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan untuk menasihati Mahathir mengenai pembaharuan politik dan ekonomi selepas skandal 1MDB.
Kesihatan Daim merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas serangan strok yang menyebabkan masalah bertutur, di sambing masalah penglihatan dan pergerakannya yang dibantu kerusi roda.
Walaupun jelas beliau uzur, pendakwa raya mempersoalkan sijil sakit Daim apabila beliau tidak hadir untuk perbicaraan atas pertuduhan gagal mengisytiharkan aset.
Awal tahun lalu, isteri pertamanya Mahani Idris meninggal dunia. Daim meninggalkan seorang lagi isteri, Naimah, dan tujuh orang anak.