Perikatan Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya yang menerima hak Israel untuk wujud dan "mempertahankan diri" yang dibuat dalam sebuah wawancara bersama CNN baru-baru ini.
Pengerusi portfolio antarabangsa PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata Malaysia perlu tetap dalam pendirian menyokong perjuangan Palestin.
"PN menuntut agar perdana menteri menarik balik kenyataan tersebut dan memperbetulkan pendirian Malaysia dalam isu Palestin-Israel.
"Kami juga menggesa agar kerajaan Malaysia mengambil langkah yang lebih tegas dalam menyokong usaha masyarakat antarabangsa untuk menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin dan mencari penyelesaian yang adil," katanya dalam kenyataan.
Dalam wawancara Anwar bersama CNN baru-baru ini, wartawan Richard Quest menanyakan beliau dua soalan ketika mencelah hujah perdana menteri mengkritik media Barat yang condong kepada Israel.
Quest: Tetapi anda akan setuju bahawa, a) Israel berhak wujud. Anwar: Ya, ya. Quest: Dan b) Israel berhak mempertahankan dirinya. Anwar: Ya.
Susulan klip video jawapan Anwar itu tersebar luas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mendakwa video CNN telah disunting.
"Perdana menteri menyatakan beliau paling bertegas dengan setiausaha negara Amerika Syarikat. Puak-puak menyunting apapun kita buat mereka tidak akan gembira namun penting kita tahu apa kita perjuangkan masa depan lebih baik buat Palestin," kata Fahmi dipetik Malaysiakini.
Tambahnya, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat penularan video pendek wawancara itu, dan akan "pertimbang tindakan yang lebih tegas jadi saya akan minta SKMM untuk teliti".
Jawapan Anwar kepada dua soalan CNN itu dilihat bukan sahaja bercanggah dengan dasar kerajaan Malaysia selama beberapa dekad untuk tidak mengiktiraf negara Zionis itu, tetapi juga mengingatkan kembali kenyataannya lebih dua dekad lalu bahawa beliau akan "menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel".
Wan Fayhsal berkata tidak wajar bagi perdana menteri membuat pendirian itu "seolah-olah menyokong tindakan agresif Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah".
Pelbagai pihak mengecam Anwar susulan wawancara itu, walaupun Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin mempertahankan perdana menteri.
"Dalam temuramah (itu), perdana menteri sebenarnya memberi fokus kepada bagaimana mewujudkan sebuah negara Palestin.
"Intipati temuramah itu adalah untuk memperjuangkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat," katanya.
Antara yang mempertikaikan pendirian Anwar termasuk ahli akademik Palestin berpusat di London, Azzam Tamimi, yang berkata perdana menteri sepatutnya memberi jawapan berbeza kepada soalan yang diajukan oleh CNN.
"Jawapan betul untuk soalan pertama adalah seperti berikut: 'Apakah kamu meminta saya mengiktiraf kesahihan sebuah entiti penjajah yang dibina di atas tanah yang dicuri daripada rakyat Palestin? Apakah kamu meminta saya mengiktiraf sebuah negara yang lahir daripada pembunuhan beramai-ramai?'" Tamimi, yang pernah mengarang buku mengenai sejarah Hamas, memberitahu MalaysiaNow.
"Jawapan yang betul kepada soalan kedua ialah: 'Siapa yang berhak mempertahankan diri, penjajah atau mangsa penjajahan?'" tambahnya.
Wan Fayhsal turut menggesa kerajaan supaya mengambil langkah lebih tegas dalam menyokong usaha menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin.
"PN menegaskan bahawa konflik di Palestin adalah suatu bentuk penjajahan serta pencabulan hak asasi manusia yang meluas oleh pihak Israel.
"PN sentiasa konsisten dengan pendirian untuk mempertahankan hak-hak rakyat Palestin dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam Israel terhadap rakyat Palestin."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.