- Iklan -
Berita

Bekas staf Anwar kemungkinan besar mangsa perangkap, Dewan Rakyat diberitahu

Takiyuddin Hassan berkata Yusoff Rawther merupakan contoh tahanan reman yang dinafikan ikat jamin kerana mahkamah enggan menggunakan budi bicara.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Yusoff Rawther ketika dibawa ke mahkamah pada 12 November, 2024.
Yusoff Rawther ketika dibawa ke mahkamah pada 12 November, 2024.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Kota Bharu, Takiyuddin Hassan, hari ini membangkitkan kes melibatkan seorang bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang berdepan tuduhan memiliki dadah dan senjata api yang menurut polis ditemui dalam keretanya.

Takiyuddin memetik kes Yusoff Rawther sebagai contoh bagaimana ikat jamin kerap ditolak mahkamah yang gagal menilai merit sesuatu kes, sehingga membawa kepada kesesakan di penjara.

"Pada satu masa dia membuat laporan polis jenayah terhadap majikannya. Polis tidak mengambil tindakan terhadap majikannya itu menyebabkan beliau memfailkan saman sivil terhadap majikannya.

"Tetapi beberapa bulan yang lalu, dia ditangkap, kononnya mempunyai dadah ganja dan juga mempunyai dua pucuk pistol," kata Takiyuddin ketika berucap dalam Dewan Rakyat mengenai tahanan reman, yang ketika ini berjumlah 28,000 daripada 87,000 banduan yang ditempatkan di penjara di seluruh negara yang hanya mempunyai kapasiti maksimum 74,000.

Takiyuddin menceritakan bagaimana polis menyerbu Yusoff pada hari penangkapanya ketika dia menuju keretanya.

"(Dia) belum masuk (kereta) lagi. Kereta terletak tepi jalan," katanya.

Beliau berkata pertuduhan terhadap Yusoff tergolong di bawah kesalahan yang tidak boleh diikat jamin, menyebabkan dia dihantar ke penjara.

Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata mahkamah sepatutnya mempertimbangkan kes Yusoff termasuk peristiwa yang berkait penangkapannya, termasuk kemungkinan dia menjadi mangsa perangkap.

"Dia dianggap diperdaya kerana telah memfailkan satu saman terhadap orang yang ada kuasa dalam negara pada masa ini," tambahnya.

Pada 9 Oktober lalu, Yusoff, cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang Allahyarham SM Mohamed Idris, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki senjata tiruan di bawah Akta Senjata Api, yang jika disabitkan boleh membawa kepada hukuman penjara setahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Lelaki berusia 31 tahun itu, yang pernah bekerja di pejabat Anwar pada 2018 sebelum menyaman presiden PKR itu atas dakwaan serangan seksual, juga berdepan tuduhan memiliki 305g ganja di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Yusoff percaya dadah dan senjata yang ditemui diletakkan oleh musuh dan "orang berkuasa" yang mahu memerangkapnya.

Dia turut membuat dua laporan polis dan menamakan beberapa individu terkenal yang perlu disiasat. Bagaimanapun, polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.

Pada 12 November, ahli keluarga tampil menceritakan apa yang berlaku pada hari Yusoff ditangkap, di samping bagaimana dia telah diekori orang yang tidak dikenali selama berbulan-bulan.

Mereka berkata pada 6 September, Yusoff didatangi sepasukan anggota polis yang tiba dalam sebuah kereta tidak bertanda dan sebuah motosikal, ketika berjalan menuju keretanya yang diletakkan di luar blok pangsapurinya.

"Polis memintanya membuka pintu kereta tetapi ia tidak dapat dibuka menggunakan remote, kemudian salah seorang daripada mereka mengarahkan Yusoff membuka pintu kereta secara manual tetapi masih tidak dapat dibuka," kata Fathima Idris dalam satu sidang media.

Fathima berkata, pegawai polis kemudian membuka bahagian penumpang kereta Yusoff sebelum memintanya membuka pintu pemandu. Yusoff kemudiannya dipegang polis sementara anggota lain menggeledah kereta itu.

Sejurus selepas itu, seorang pegawai polis keluar daripada kereta membawa sebuah beg dan bertanya kepada Yusoff mengenai kandungannya. Selepas Yusoff menjawab dia tidak tahu, polis mengeluarkan sepucuk pistol dari beg tersebut, kata Fathima.

"Mereka kemudian menggari Yusoff, menyuruhnya duduk di belakang keretanya bersama-sama polis dan seorang lagi yang memandu kereta itu ke Ibu Pejabat Kontigen (IPK) Polis Kuala Lumpur, sebelum menggeledah kereta itu di situ."

Fathima berkata Yusoff tidak dapat melihat apa-apa yang berlaku di dalam kereta sebelum dadah muncul di kawasan tempat letak kereta di hadapan surau bangunan IPK.

Beliau berkata polis berulang kali cuba memaksa Yusoff menandatangani "borang bongkar" yang memperincikan barang-barang yang dirampas dalam keretanya, tetapi dia enggan.

Yusoff juga telah memfailkan saman sivil terhadap bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menuntut gantirugi kecederaan yang dialami selepas didakwa diserang di pejabat Anwar di Petaling Jaya pada 2018.

Pada Oktober 2022, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, membayar ganti rugi RM200,000 kepada Yusoff susulan saman fitnah berkait kenyataannya mengenai saman terhadap Farhash.