- Iklan -
Berita

Selepas kegagalan Perjanjian Abraham, AS sasar Malaysia, Indonesia normalisasi hubungan dengan Israel

Washington gagal mendapat sokongan pemimpin kanan Malaysia sebelum ini dalam usaha memastikan mereka mengurangkan permusuhan dengan Israel.

MalaysiaNow
5 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika bertemu Setiausaha Negara AS Anthony Blinken pada Oktober. Pelbagai usaha AS sebelum ini tidak berjaya membawa Malaysia ke arah normalisasi hubungan dengan Israel.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika bertemu Setiausaha Negara AS Anthony Blinken pada Oktober. Pelbagai usaha AS sebelum ini tidak berjaya membawa Malaysia ke arah normalisasi hubungan dengan Israel.

Kembalinya Donald Trump ke Rumah Putih bakal menyaksikan Washington mengaktifkan semula rancangannya untuk memastikan negara Islam yang dianggap sekutu Amerika Syarikat menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, selepas Perjanjian Abraham yang dipromosikan beliau ketika penggal pertama dulu gagal berikutan pembunuhan beramai-ramai dilakukan tentera Zionis di Gaza yang mengorbankan lebih 50,000 orang awak sejak Oktober tahun lalu.

Kumpulan pro-Palestin dan sumber diplomatik yang dihubungi MalaysiaNow berkata Malaysia dan Indonesia sudah pun berada dalam radar Perjanjian Abraham ketika penghujung pentadbiran Trump pada 2020 serta sebelum serangan 7 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, mereka berkata beberapa siri usaha diplomatik secara senyap oleh AS bersama pemimpin politik Malaysia tidak membuahkan hasil pada masa itu.

Perjanjian Abraham merupakan rancangan ditaja AS untuk menormalisasikan hubungan antara negara-negara Arab dan Israel dalam usaha memberi pengiktirafan kepada regim Zionis.

Projek itu berjaya mewujudkan hubungan diplomatik di samping pembukaan kedutaan Israel di Emiriah Arab Bersatu, Maghribi, Sudan dan Bahrain, walaupun Bahrain bertindak memanggil semula dutanya sebagai tindakbalasnya terhadap kemarahan rakyat yang membantah serangan Israel ke atas Gaza.

Sasaran sebenar Perjanjian Abraham adalah negara Arab yang utama dan penting, khususnya Arab Saudi, sejajar dengan status yang menempatkan dua tanah suci Islam.

Dengan penerimaan Riyadh kepada Israel, Washington berharap ia akan mendorong negara jiran serta kerajaan Islam lain di seluruh dunia untuk turut serta mengiktiraf Israel.

Rancangan itu bagaimanapun gagal selepas 7 Oktober tahun lalu apabila pejuang Hamas merentasi sempadan Gaza menyerang Israel, disusuli kempen ketenteraan Israel dengan sokongan penuh AS yang telah setakat ini mengorbankkan lebih 50,000 orang awam Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Sebelum serangan 7 Oktober, Riyadh, yang juga menempatkan pangkalan tentera AS, menerima baik inisiatif AS. Bagaimanapun, ia terpaksa menamatkan semua rundingan dengan Israel di sebalik kemarahan umat Islam sedunia atas pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Seorang diplomat yang arif tentang rancangan AS itu memberitahu MalaysiaNow, negara Islam seperti Malaysia dan Indonesia kini semakin disantuni Washington dalam usaha mengembangkan sayap diplomasi Israel.

"Kepimpinan semasa Malaysia dan Indonesia dilihat sebagai paling mesra kepada AS sejak beberapa dekad kebelakangan ini, dan ini membuka peluang bukan sahaja untuk menyebarkan semula pengaruh Washington tetapi juga melakukan kerja bagi pihak Israel," kata diplomat dari sebuah negara Teluk yang bercakap kepada MalaysiaNow .

"Dengan pendekatan yang betul dan sedikit pengaruh melibatkan perdagangan, AS berharap Israel akhirnya akan mendapat kejayaan diplomatik yang sekian lama didambakan di bahagian dunia ini."

Apa yang disifatkan "pengaruh" itu boleh jadi dalam bentuk ugutan, menurut seorang penganalisis.

"Ada kebarangkalian bahawa Trump akan memasukkan syarat penerimaan normalisasi dengan Israel akan menjadi salah satu syarat pelaburan AS di Malaysia," kata Asyraf Farique dari badan pemikir IRIS Institute.

"Walaupun Malaysia ini kecil dalam perkiraan AS, ia mempunyai pengaruh dalam kalangan negara-negara Islam," katanya.

Perkembangan itu di sebalik kontroversi yang melanda Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang dibidas aktivis pro-Palestin dan pemimpin pembangkang berhubung pendiriannya mengenai persoalan hak kewujudan Israel dan mempertahankan diri, yang dibuat dalam sebuah wawancara baru-baru ini.

Dalam sedutan wawancara selama lima minit yang dikongsi wartawan CNN Richard Quest di platform X, Anwar mengkritik media Barat kerana membawa naratif berat sebelah yang mengabaikan penjajahan wilayah Palestin, sebelum beliau dicelah oleh Quest dengan dua cadangan.

Quest: Tetapi anda akan setuju bahawa, a) Israel berhak wujud.
Anwar: Ya, ya.
Quest: Dan b) Israel berhak mempertahankan dirinya.
Anwar: Ya.

Susulan kritikan terhadapnya, Anwar mendakwa kata-katanya diputar belit, walaupun beliau masih belum menarik balik jawapannya kepada kedua-dua cadangan yang diutarakan Quest.

Kontroversi itu mengingatkan kembali satu lagi kenyataan kontroversi dibuat Anwar dalam akhbar The Asian Wall Street Journal pada 2012, untuk "menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel".

Pemerhati geopolitik, Samirul Ariff Othman, yang juga profesor adjunct di Universiti Teknologi Petronas, berkata Malaysia ialah satu daripada empat negara Islam bukan Arab yang Israel mahu mewujudkan hubungan diplomatik, di samping Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.

"Antara negara-negara itu, Malaysia mungkin paling liat untuk setuju dengan normalisasi," katanya.

Jelasnya, kemungkinan Malaysia ditekan supaya menormalisasikan hubungan dengan Israel di bawah pentadbiran Trump 2.0 adalah rendah.

Bagaimanapun, katanya mungkin ada desakan agar permusuhan terhadap Israel dikurangkan.

"Umpamanya Anwar menyatakan hasrat untuk menyingkirkan Israel dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Cadangan itu pastinya diveto dan tidak akan membuahkan hasil," katanya.

Sejauh mana tekanan yang akan diberikan oleh pentadbiran Trump ke atas negara seperti Malaysia masih belum dapat dilihat.

Tekanan seperti itu telah pun digunakan oleh pentadbiran Biden, apabila ia menghantar dua pegawai Perbendaharaan pada Mei lalu untuk memberi amaran kepada Malaysia supaya menghentikan semua perdagangan dan transaksi dengan entiti yang dilabel "pengganas" - satu langkah yang dilihat sebagai petunjuk paling kuat bahawa AS tidak teragak-agak mengugut sekutunya demi Israel.

Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS bagi keganasan dan risikan kewangan Brian Nelson dan peguam Perbendaharaan AS Neil MacBride mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution serta beberapa ahli parlimen dan pegawai lain, di mana Malaysia dilaporkan "mengambil maklum" tentang kebimbangan disuarakan AS.

AS bimbang mengenai aliran dana kepada Hamas dan Iran, di mana Malaysia didakwa terlibat dalam aktiviti perdagangan yang melanggar sekatan ekonomi oleh Washington.

Anwar ketika itu cuba meredakan kebimbangan AS dengan mengatakan hubungan beliau dengan Hamas hanya setakat sayap politiknya.

"Saya tiada penglibatan, tiada perbincangan dengan aparatus tentera, itu amat jelas," kata Anwar dalam sesi bersama Bloomberg di Forum Ekonomi Qatar pada Mei.

"Mereka (AS) sudah tentu mempunyai hak untuk menuntut atau meminta penjelasan. Kami melakukannya kepada rakan yang ingin tahu apa yang sedang berlaku," katanya.

Sekumpulan penunjuk perasaan membantah tindakan kerajaan Malaysia membenarkan kontraktor senjata AS yang berdepan tuduhan jenayah perang untuk menyertai sebuah pameran pertahanan di Kuala Lumpur.
Sekumpulan penunjuk perasaan membantah tindakan kerajaan Malaysia membenarkan kontraktor senjata AS yang berdepan tuduhan jenayah perang untuk menyertai sebuah pameran pertahanan di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, MalaysiaNow memetik sumber diplomatik yang berkata lawatan itu bertujuan menghantar mesej dan amaran jelas dari Washington kepada pemimpin yang dianggapnya sekutu supaya mengikut telunjuknya.

Sejak serangan 7 Oktober, Anwar dilihat berusaha mengubah persepsi beliau lebih mesra dengan Israel, melalui ucapan dan kenyataan yang mengkritik sokongan Washington terhadap Israel, di samping kehadirannya dalam pelbagai forum pemimpin dunia Islam sejurus selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran di Gaza tahun lalu.

Bagaimanapun, pengkritik berkata Anwar bersikap talam dua muka, merujuk beberapa keputusan yang dilihat tidak selari dengan pendirian pro-Palestin ketika di luar negara.

Ia termasuk keputusannya membawa masuk sebuah syarikat milik BlackRock - gergasi pelaburan AS yang banyak terlibat dalam industri senjata AS yang membekalkan tentera Israel - ke dalam konsortium menguruskan lapangan terbang di Malaysia.

Anwar juga mempertahankan penyertaan syarikat pembuat senjata AS yang rapat dengan Israel dalam sebuah pameran pertahanan dianjurkan kerajaan Malaysia pada Mei.

Beberapa pihak di Israel menyifatkan Anwar lebih "terbuka" dan "mesra" terhadap negara Zionis itu berbanding perdana menteri Malaysia sebelum ini, terutamanya Dr Mahathir Mohamad, yang kerap dilabelkan ahli politik Israel sebagai "anti-Yahudi".

"Walaupun rekod (kenyataannya) bercampur-baur, (Anwar) Ibrahim sememangnya lebih terbuka kepada Israel berbanding Mahathir yang mengambil pendirian keras, di mana ia berpotensi memberi peluang kepada Israel untuk memperbaiki hubungan (dengan Malaysia) ke tahap tertentu," kata ulasan dalam akhbar harian Israel Haaretz, hanya beberapa hari selepas Anwar mengangkat sumpah pada Disember 2022.