- Iklan -
Berita

RM21 juta dibayar kepada syarikat pengendali insurans Insan, DUN Selangor diberitahu

Pembangkang pertikai kecekapan skim perlindungan oleh kerajaan Selangor yang terpalit kontroversi kebocoran data peribadi.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Afif Bahardin.
Dr Afif Bahardin.

Skim Insurans Hayat Selangor (Insan) yang pernah mencetus kontroversi kebocoran data peribadi besar-besaran, sekali lagi menjadi tumpuan ramai apabila seorang wakil pembangkang Selangor membangkitkan pembayaran dana awam kepada syarikat pengendali insurans tersebut.

Adun Taman Medan dari Perikatan Nasional, Dr Afif Bahardin berkata kerajaan negeri membelanjakan lebih 20 juta untuk skim berkenaan tetapi tidak sampai RM1 juta dituntut oleh pencarum. 

"RM21 juta telah dibayar kepada syarikat insurans. Yang dituntut hanya RM954,000 daripada RM21 juta.

"Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan bahawa pencapaian program skim Insan adalah tidak memuaskan. Sasaran output yang menyasarkan pelan perlindungan takaful kepada tiga juta rakyat Selangor tidak tercapai," katanya ketika perbahasan belanjawan negeri. 

Insan mencuri perhatian ramai semasa kempen pilihan raya negeri tahun lalu apabila ramai mendapati nama mereka didaftarkan untuk skim insurans tersebut tanpa pengetahuan mereka.

Ia selepas tular butiran peribadi beberapa pempengaruh media sosial pro-pembangkang yang dikatakan mendapat faedah daripada skim tersebut. 

Afif hari ini merujuk sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor, atau Selcat, yang mendapati beberapa kelemahan skim tersebut termasuk proses serahan data yang kurang jelas sehingga mengakibatkan permohonan berganda dalam sistem.

Beliau mempersoalkan mengapa Pakatan Harapan tidak lagi bercakap mengenai skim tersebut walaupun pernah dijadikan bahan kempen gabungan itu. 

Terdahulu, speaker Dewan Rakyat meminta Afif menarik balik kenyataannya yang mendakwa amalan rasuah dalam skim tersebut.

"Saya minta dia tarik balik. Ia juga ditarik dari hansard (penyata rasmi) supaya tidak mempengaruhi keputusan jawatankuasa kelak," kata Speaker DUN, Lau Weng San.

Tahun lalu, MalaysiaNow melaporkan Syarikat Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd, dahulunya sebuah syarikat peminjam wang berlesen, disenaraikan sebagai pemegang polisi induk untuk skim Insan berkenaan.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat (SSM) menunjukkan bahawa 51% saham syarikat itu dimiliki oleh CT Frank Technology (M) Sdn Bhd, manakala 49% oleh Selangor E-Wallet Sdn Bhd, syarikat milik kerajaan negeri.

Pembangkang sebelum ini pernah menuntut penjelasan daripada syarikat insurans, AmGeneral Insurance berhubung kebocoran data peribadi yang melingkari skim tersebut.

Dalam satu memorandum yang dihantar PN, syarikat itu dan sebuah lagi syarikat insurans, Takaful Ikhlas didakwa melakukan jenayah di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan ekoran data rakyat diperoleh tanpa kebenaran.