- Iklan -
Berita

Lawatan Anwar ke luar negara terus dipersoal selepas pendedahan syarikat swasta tampung kos

Kerjasama dengan pihak swasta seeloknya digunakan untuk projek yang memberi manfaat secara langsung kepada orang ramai seperti pembinaan jalan raya dan hospital, kata bekas ahli Parlimen PH.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim bersama CEO Yinson Holdings, Lim Chern Yuan, dalam sebuah majlis meraikan perdana menteri yang dianjurkan syarikat itu di Rio de Janeiro, Brazil. Syarikat tersebut antara yang dinamakan Anwar sebagai membiayai rombongan kerajaan ke luar negara baru-baru ini.
Anwar Ibrahim bersama CEO Yinson Holdings, Lim Chern Yuan, dalam sebuah majlis meraikan perdana menteri yang dianjurkan syarikat itu di Rio de Janeiro, Brazil. Syarikat tersebut antara yang dinamakan Anwar sebagai membiayai rombongan kerajaan ke luar negara baru-baru ini.

Persoalan terus dibangkitkan mengenai perbelanjaan dan tujuan Anwar Ibrahim berkunjung ke luar negara susulan pendedahan mengejutkan perdana menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa sebahagian besar kos lawatan terkini beliau ke lima buah negara ditanggung oleh sektor swasta.

Anwar baru-baru ini menghabiskan masa kira-kira dua minggu di luar negara apabila mengetuai rombongan rasmi ke China, Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil dari 4 hingga 19 November.

Ia di sebalik senarai panjang negara yang dilawatinya sejak mengambil alih Putrajaya pada 2022.

Pada 21 November, Anwar memberitahu Dewan Negara bahawa kira-kira 75% daripada kos lawatan rasmi beliau ke lima buah negara itu ditanggung syarikat swasta termasuk Sapura Energy dan Yinson, di samping Petronas dan Proton.

Beliau menyifatkan pembiayaan swasta itu "cara lain" untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan di bawah pentadbirannya.

Pendedahan itu mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial, di mana pemimpin pembangkang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  menyiasat perdana menteri, sambil menyifatkan pentadbirannya di bawah pengaruh syarikat besar.

Sehari kemudian, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan pihak swasta membiayai delegasi kerajaan.

Sebaliknya, beliau berkata syarikat swasta menanggung kos staf mereka sendiri yang mengiringi perdana menteri, sambil menambah pegawai kerajaan juga berkongsi pesawat bersama wakil syarikat semasa perjalanan.

Bekas pengerusi kumpulan Bersih, Maria Chin Abdullah, berkata Anwar "mungkin sudah lupa" kenyataan yang dibuatnya sendiri dua tahun lalu mengenai tajaan syarikat swasta.

"Perubahan polisi baru ini - kurang dari dua tahun - perlu dijelaskan. Jika tidak ia menghantar mesej salah bahawa sesetengah keistimewaan, layanan atau kemungkinan perjanjian meragukan telah dipersetujui antara kerajaan atau individu dengan modal swasta," kata bekas ahli Parlimen Petaling Jaya itu kepada MalaysiaNow.

Maria Chin Abdullah.
Maria Chin Abdullah.

Maria berkata, walaupun kerjasama dengan sektor swasta dibenarkan, ia sepatutnya digunakan untuk projek seperti pembinaan lebuh raya dan hospital.

Katanya, persoalan berkaitan kos akan dibangkitkan sekiranya ia terlalu tinggi sehingga perlu kepada tajaan swasta.

Menurutnya, rakyat berhak tahu manfaat yang diperolehi menerusi lawatan-lawatan itu, tidak kira siapa yang membayar kos tersebut, termasuk lawatan oleh perdana menteri.

"Berapa ramai orang yang perlu menyertai lawatan seperti ini? Kita tahu menteri yang ke luar negara tetapi tidak secara terperinci mengenai sebab-sebab lawatan, berapa ramai dalam delegasi mereka dan hasil lawatan mereka.

Sebuah kumpulan pejuang hak Melayu berkata menganggap lawatan-lawatan perdana menteri tidak mempunyai agenda jelas bermatlamatkan kepentingan negara.

"Perdana menteri sebelum ini, mereka membuat sesuatu untuk negara menerusi lawatan-lawatan luar," kata Ghafar Mohamad, pengerusi Pertubuhan Profesional Melayu, atau ProWaris.

"Lawatan Anwar adalah tentang imej beliau, tetapi untuk negara? Ia tiada tujuan jelas."

Ujarnya, polisi Anwar yang masih kabur mengakibatkan ramai pihak berteka-teki mengenai hala tuju negara.

Ghafar turut mengkritik pelbagai kenyataan Anwar berhubung isu Gaza dan Palestin, yang disifatkan beliau sebagai tiada kesan.

"Negara-negara Arab tahu mengenai Anwar. Mereka tidak duduk diam sahaja. Mereka membaca mengenai kita.

"Bagaimana mereka hendak memberi respon kepada orang yang pendiriannya flip-flop?" katanya merujuk jawapan kontroversi Anwar dalam wawancara bersama CNN yang mengiyakan hak Israel untuk wujud dan mempertahankan diri.