- Iklan -
Berita

Pakar bahasa, DBP tampil sokong DBKL selepas menteri bantah kuat kuasa penggunaan Bahasa Melayu di papan tanda

Pelbagai pihak membidas menteri pelancongan Tiong King Sing yang mempertahankan pelanggaran peraturan menggunakan bahasa kebangsaan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pelancong berjalan di hadapan restoran memaparkan papan tanda yang mengutamakan bahasa selain Bahasa Melayu di Jalan Alor, Bukit Bintang.
Pelancong berjalan di hadapan restoran memaparkan papan tanda yang mengutamakan bahasa selain Bahasa Melayu di Jalan Alor, Bukit Bintang.

Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memastikan perniagaan mematuhi peraturan penggunaan Bahasa Melayu dalam papan tanda mendapat sokongan badan tertinggi negara yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan itu, di sebalik beberapa suara dari dalam kerajaan yang mempersoalkan tindakan itu.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), agensi yang bertanggungjawab memajukan Bahasa Melayu di samping memastikan penggunaan yang betul, berkata penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda sudah termaktub dalam undang-undang sedia ada.

Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982 memperuntukkan semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan, namun penggunaan bahasa asing dalam satu papan tidak dilarang sama sekali.

"Walau bagaimanapun, perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberikan keutamaan dari segi saiz dan kedudukan.

"Pemilik premis pastinya mengambil maklum akan undang-undang tersebut apabila memperbaharui lesen perniagaan setiap tahun," kata DBP, yang menyelar pemilik premis yang terang-terangan memberi pelbagai alasan untuk tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

Antara alasan itu termasuk yang diberikan oleh Persatuan Restoran Cina Malaysia, yang mendakwa perniagaan anggotanya berdepan kenaikan kos operasi susulan operasi DBKL sejak minggu lalu bagi menguatkuasakan peraturan papan tanda di ibu kota.

Sebelum itu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang semasa era pemerintahannya menyaksikan kempen penggunaan bahasa kebangsaan yang lebih meluas, meluahkan kekecewaannya dengan kehadiran papan tanda dalam bahasa Cina, sambil menyifatkan Malaysia seolah-olah menjadi "sebahagian daripada China".

Tiong King Sing mengalu-alukan kedatangan pelancong dari China di KLIA.
Tiong King Sing mengalu-alukan kedatangan pelancong dari China di KLIA.

Pada Ahad, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, yang sering menjadi sasaran kritikan kerana dilihat terlalu fokus kepada negara China, sekali lagi mengundang kontroversi apabila mengkritik tindakan DBKL dengan menganggap ia memberikan persepsi negatif mengenai keterbukaan Malaysia dalam kalangan pelancong asing.

Kenyataan itu dibidas pembangkang yang menyifatkan Tiong tidak mencerminkan diri sebagai menteri.

"Tengok sahaja di Thailand, di Indonesia, tiada pun sibuk hendak 'please' pelancong dari China. (Mereka) menggunakan bahasa sendiri," kata Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.

'Anjing menyalak di bukit'

Sementara itu, seorang bekas bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya mempersoalkan alasan pemilik restoran Cina untuk tidak mematuhi peraturan itu.

"Persatuan perniagaan yang mengadu bahawa mematuhi undang-undang memakan kos yang mahal sedang mengakui bahawa mereka tidak menasihati ahli-ahli mereka dengan betul. Tiada restoran yang mempunyai masalah ini kecuali restoran Cina," Mak Khuin Weng memberitahu MalaysiaNow.

signboard_chinese2_KL_Mnow"Isu ini membawa aib. Ia menunjukkan orang Cina yang menguruskan restoran ini tidak boleh membaca borang permohonan atau berasa angkuh memikirkan mereka boleh mengabaikan undang-undang,"

Mak turut membidas ahli politik kerajaan yang disifatkannya ibarat anjing menyalak di bukit. 

"Anda adalah sebahagian daripada kerajaan sekarang. Anda tidak mahu kerajaan untuk melakukan sesuatu, anda ada kuasa untuk menghentikannya," tambah Mak.

Pertikaian mengenai papan tanda di Malaysia bukan sesuatu yang baharu.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan papan tanda jalan bertulisan bahasa Cina di Shah Alam diturunkan dan supaya hanya Bahasa Melayu sahaja digunakan atas papan tanda di negeri itu.

Sementara itu, tokoh Bahasa Melayu Awang Sariyan mempersoalkan Tiong dengan berkata tidak timbul isu keperluan mengadakan papan tanda dalam bahasa asing untuk kepentingan pelancong.

"Pelancong datang kerana ada daya tarikan negara dan juga kos yang munasabah, bukan kerana tertarik oleh penggunaan bahasa milik pelancong di sesebuah negara asing.

"Tidak wajar orang yang bertaraf menteri dan wakil rakyat melahirkan pendapat yang bertentangan dengan dasar negara, termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan," menurut kata Awang, yang juga bekas ketua pengarah DBP.

Katanya, di China sendiri sukar ditemukan iklan dan peragaan lain di tempat awam dalam bahasa dan tulisan selain Mandarin.