Pekan Rantau Panjang di Kelantan kini lumpuh sepenuhnya akibat banjir yang semakin buruk sejak semalam, di mana Sungai Golok sudah melepasi paras air 11.40 meter pagi ini, lebih tinggi dari bacaan 10 tahun lalu ketika banjir besar mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda bernilai puluhan juta ringgit.
Peniaga Zon Bebas Cukai Rantau Panjang rata-rata bimbang berdepan kerugian besar, di sebalik apa yang disifatkan sebagai banjir "luar biasa".
Seorang peniaga berkata persiapan yang dibuatnya kali ini tidak memadai walaupun kedainya ditenggelami air hampir setiap tahun.
Syazwani Ramli yang berniaga pakaian di tengah-tengah pekan berkata paras air yang memasuki kedainya sewaktu banjir sebelum ini hanya melepasi betis, tetapi kali ini lebih tinggi.
Ketika laporan ini ditulis, hujan lebat masih berterusan dengan beberapa jalan utama ke pekan Rantau Panjang ditutup.
Perniagaan di situ ditempatkan dalam deretan kedai seperti bazar dan bangunan bertingkat yang dibina kerajaan negeri selepas tapak asal bazar musnah dijilat api beberapa tahun lalu.
Rantau Panjang terletak kira-kira 40km dari bandar Kota Bharu dan berdekatan dengan Sungai Golok, yang menjadi sempatan Malaysia-Thailand.
Syazwani berkata masih ramai peniaga dan pemilik kedai meletakkan kenderaan kedai masing-masing di dalam zon bebas cukai tersebut kerana tidak menjangkakan paras air akan naik tinggi.
"Masih banyak kereta yang tidak dialih dan air sudah memasuki kawasan parkir sehingga tenggelam separuh tayar.
"Sekarang saya tak pasti macam mana keadaanya," katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.
Difahamkan ramai penduduk terkandas dikelilingi air dan tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Awal hari ini, Kelantan mencatat hampir 33,000 mangsa banjir yang dipindahkah di 10 daerah, membabitkan 989 keluarga.
Manakala jumlah mangsa banjir di seluruh negara termasuk Terengganu, Kedah, Perlis, Perak dan Johor mencecah hampir 40,000 orang dengan 12,107 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan.
Kali terakhir negeri Pantai Timur dilanda banjir buruk ialah pada akhir tahun 2014, yang dicatatkan terburuk pernah dialami negara dalam tempoh beberapa dekad.
Ia mengorbankan 21 nyawa dan menyebabkan ratusan ribu penduduk di beberapa negeri kehilangan tempat tinggal.
Pada 2021, negeri-negeri Pantai Barat turut mengalami banjir besar, meragut 54 nyawa di seluruh negara dan kerugian harta benda berjumlah lebih RM20 bilion.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.