Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan pasport balu Allahyarham Daim Zainuddin, Naimah Khalid, dipulangkan secara kekal sementara menunggu keputusan kesnya.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Azizah Nawawi mendapati tiada keperluan mengenakan syarat tambahan jaminan berkaitan penahanan pasport yang terdahulu diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen.
Pasukan peguam Naimah diwakili Gurdial Singh, selain peguam Rajesh Nagarajan, Au Tian Hui, Sachpreetraj Singh, Izyan Azimi dan Amanda Mathew.
Rajesh berkata pihak pendakwaan sebelum ini memberitahu Mahkamah Sesyen pasport beliau perlu ditahan tanpa memberikan sebab.
"Satu-satunya sebab diberikan ialah pasport orang lain juga ditahan. Mahkamah Sesyen ketika itu mengarahkan penahanan pasport namun tidak memberikan sebab," katanya kepada MalaysiaNow.
Permohonan hari ini berkait tindakan Mahkamah Sesyen menahan pasport tanpa sebab yang kukuh.
Rajesh berkata walaupun mahkamah ada kuasa menahan pasport, ia perlu menyatakan sebab yang kukuh.
Naimah sebelum ini berjaya mendapatkan akses sementara ke pasportnya sebanyak empat kali untuk perjalanan ke destinasi seperti London, Switzerland, Singapura, dan Venice.
Naimah dan Daim ini didakwa atas tuduhan gagal mengisytihar aset.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadap Daim digugurkan selepas kematian beliau pada 13 November lalu, walaupun Naimah menyatakan hasrat arwah suaminya melihat kebenaran ditegakkan menerusi perbicaraan di mahkamah.
Naimah mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sebanyak RM100,000 jika disabitkan bersalah.
Pada Mac, pasukan pembelaan Naimah memfailkan permohonan mencabar keabsahan Akta SPRM yang digunakan untuk mendakwa beliau.
Tuduhan terhadap pasangan itu menarik perhatian selepas pendedahan sebuah laporan Bloomberg yang memetik sumber mengatakan Ketua Persuruhjaya SPRM Azam Baki telah memberitahu pegawainya bahawa siasatan dilancarkan atas arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Laporan itu juga mendakwa Anwar meminta Azam untuk tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador berhubung pembelian kontroversi saham dalam sebuah syarikat yang dikaitkan dengan pembangunan sistem imigresen baharu bernilai RM1 bilion.
Pejabat Perdana Menteri dan SPRM telah menafikan dakwaan itu.
Pada 30 Sept, Naimah membuat laporan polis menggesa siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Anwar.
Peguam bagaimanapun mempersoalkan ketiadaan sebarang tindakan daripada polis untuk menyoal Anwar.