- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Giliran 'Papa Berry' diheret polis kerana mengkritik Anwar

Pempengaruh yang nama sebenarnya Nurpais Ismail bagaimanapun tidak gentar dengan apa yang disifatkannya sebagai intimidasi.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Nurpais Ismail atau Papa Berry (kanan) bersama peguamnya Mohd Zubir Embong di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Nurpais Ismail atau Papa Berry (kanan) bersama peguamnya Mohd Zubir Embong di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Seorang pempengaruh hari ini menjadi individu terkini disiasat polis kerana mengkritik kerajaan, kali ini berkenaan komen mengenai kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju dengan hak mempertahankan diri dan kewujudan Israel ketika ditemubual oleh CNN baru-baru ini.

Nurpais Ismail yang terkenal dengan podcast "Papa Berry Studios" turut dirampas telefonnya ketika dipanggil ke Bukit Aman untuk siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, iaitu antara undang-undang yang kerap digunakan terhadap pengkritik kerajaan.

Peguamnya Mohd Zubir Embong, berkata Nurpais ditanya 20 soalan selama 30 minit, sebahagian daripada siasatan susulan laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Zubir mempertahankan kenyataan Nurpais mengkritik Anwar berdasarkan wawancara CNN itu.

"Kalau berlaku bicara kes di mahkamah, sepatutnya CNN menjadi pihak yang wajar disiasat, paling tidak sebagai saksi sebab video diulas berdasarkan wawancara tersebut," kata Zubir selepas keterangan Nurpais diambil pagi tadi.

Sementara itu Nurpais mempertahankan kebebasannya untuk mengkritik kerajaan.

"Cukup-cukuplah pihak polis dipergunakan dan dijadikan bahan untuk mengintimidasi suara-suara rakyat yang ingin menegur demi kepentingan awam," katanya.

Sebelum ini, beberapa pertubuhan pro-kerajaan membuat laporan polis terhadap Nurpais mendakwa videonya merupakan fitnah terhadap Anwar.

Wawancara Anwar bersama CNN baru-baru ini mencetuskan ledakan komen marah di media sosial, disusuli amaran Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bahawa kerajaan akan menggunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, badan kawal selia internet yang bertanggungjawab dalam siri sekatan laman web dan pemadaman kandungan yang mengkritik pentadbiran Anwar.

Dalam sedutan wawancara selama lima minit yang dikongsi wartawan CNN yang menemubualnya, Richard Quest di platform X, Anwar dilihat mengkritik media Barat kerana membawa naratif berat sebelah yang mengabaikan penjajahan wilayah Palestin, sebelum dicelah oleh Quest dengan dua soalan.

Quest: Tetapi anda akan setuju bahawa, a) Israel berhak wujud.
Anwar: Ya, ya.
Quest: Dan b) Israel berhak mempertahankan dirinya.
Anwar: Ya.

Jawapan itu bukan sahaja bercanggah dengan dasar kerajaan Malaysia untuk tidak mengiktiraf negara Zionis itu, tetapi juga mengingatkan kembali satu kenyataan kontroversi yang dikeluarkan Anwar lebih sedekad lalu untuk "menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel".

Anwar bagaimanapun berkata jawapannya diputar belit, dan menjelaskan ia dibuat dalam konteks posisi Israel dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang secara de facto memberikan hak negara anggota untuk mempertahankan diri. 

"Tapi kita tidak iktiraf, daripada awal, bukan saya, daripada zaman Tunku Abdul Rahman tidak iktiraf Israel sampai sekarang. Jadi dibedakan di antara pengiktirafan de facto yang saya sebut 'ya'. Dan kalau kita iktiraf (sebagai) de facto, mana-mana negara yang diiktiraf itu tidak boleh diserang," katanya dalam jawapan di Dewan Rakyat.