- Iklan -
Berita

Tanda tanya di sebalik index jenayah menurun ketika jenayah terancang meningkat

Angka yang dibentangkan tidak sepadan dengan dakwaan indeks jenayah menurun sejak dua tahun lepas.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pelbagai rakaman CCTV seperti ini yang menunjukkan aksi jenayah kerap tersebar luas di media sosial sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Pelbagai rakaman CCTV seperti ini yang menunjukkan aksi jenayah kerap tersebar luas di media sosial sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Kebimbangan telah dibangkitkan mengenai jenayah bunuh dan rompak yang semakin menjadi-jadi meskipun index jenayah negara dilaporkan menurun sejak dua tahun lalu.

Indeks jenayah merujuk dua bentuk jenayah iaitu jenayah keganasan seperti bunuh, rogol serta samun bersenjata, dan jenayah harta benda seperti kegiatan pecah rumah, curi kenderaan dan lain-lain kecurian. 

Ahli kriminologi dan persatuan cegah jenayah berkata kes melibatkan jenayah terancang seperti pembunuhan semakin berleluasa dan "mengganas" apabila kaedah dan modus operandi yang digunakan penjenayah jauh lebih ekstrem berbanding kes-kes yang dilaporkan sebelum ini. 

Penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, lazimnya kes pembunuhan di Malaysia bermula dengan penculikan untuk menuntut wang tebusan yang berakhir dengan kematian. Kes tersebut kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh oleh pihak berkuasa. 

Bagaimanapun, keadaan yang berbeza mula dikesan sejak dua tahun kebelakangan ini apabila rakyat didedahkan kepada beberapa siri jenayah terancang yang menggemparkan negara.  

Ini termasuk serangan asid terhadap pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim pada Mei lalu.

Shahul berkata jenayah terancang kini dilihat bermotifkan dendam dan bersifat ugutan.

"Saya lihat jenayah ini memang meningkat dan sangat serius. Jenayah-jenayah ini bukan sewenang-wenang tetapi dilakukan juga oleh penjawat kerajaan dan polis ," katanya kepada MalaysiaNow. 

Shahul merujuk kepada kes anggota polis Lans Koperal Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh graduan universiti awam, Nur Farah Kartini Abdullah, pada Julai lalu di mana mayat mangsa dibuang di sebuah ladang kelapa sawit dekat Hulu Bernam, Selangor.

Angka

Tahun lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain Statistik memberitahu jenayah indeks menurun sebanyak 1.1% dengan 25,482 kes dicatatkan sejak Januari hingga Jun lalu, berbanding 25,775 kes dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, menurut statistik jenayah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks jenayah keganasan dan harta benda meningkat sebanyak 3.2% pada 2023 kepada 52,444 kes berbanding 50,813 kes pada 2022.

Data itu menunjukkan indeks jenayah tertinggi melibatkan rompakan sebanyak 4,588 kes diikuti serangan (3,693) diikuti kes rogol (1,914) dan bunuh (258 kes) sepanjang 2023. 

Jenayah keganasan dan harta benda mencatatkan peningkatan sebanyak 1.0% dan 3.8% kepada 10,453 kes dan 41,991 kes masing-masing pada 2023.

Kes pembunuhan dan rogol pula mencatatkan peningkatan pada tahun 2023 kepada 258 kes (7.5%) dan 1,914 kes (11.8%) berbanding 240 kes dan 1,712 kes masing-masing pada tahun sebelumnya. 

MalaysiaNow sedang cuba mendapatkan statistik terkini indeks jenayah daripada Bukit Aman.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) Ayub Yaakob berkata selain peningkatan jenayah terancang, kebimbangan juga tertumpu kepada cara sesebuah jenayah dilakukan. 

Ia termasuklah indeks jenayah yang tertinggi direkodkan dalam statistik tahunan seperti kes samun dan rompakan.

"Contohnya rompakan, mereka masuk dalam rumah kemudian berlakunya pembunuhan. 

"Sudah dibunuh, mayat dimasukkan pula ke dalam peti beku dan sebagainya. Banyak kes berlaku begini," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, terdapat kes-kes yang tidak dimasukkan di dalam indeks jenayah juga menunjukkan peningkatan seperti kejadian buli di universiti dan kawasan sekolah sehingga menyebabkan kematian. 

Pada Mac lalu, seorang pelajar lelaki kolej vokasional berusia 17 tahun ditemui mati dengan kesan kecederaan di atas lantai bilik asrama. 

Manakala September lalu, tular kes rompakan bersenjata mengakibatkan seorang lelaki maut dengan lebih 20 kesan tikaman di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya. 

Di media sosial juga, pelbagai rakaman video sering kali tular, menunjukkan jenayah rompakan senjata dilakukan terang-terangan di siang hari di tempat awam seperti dobi, kedai serbaneka dan pusat membeli belah.

Shahul tidak menafikan kejadian yang dipertontonkan kepada masyarakat melalui laporan berita dan media sosial tidak memberikan gambaran sebenar tentang jenayah di Malaysia. 

Beliau menggesa pihak bertanggungjawab supaya telus dalam menyediakan statistik jenayah yang berlaku dalam negara. 

Sebagai contoh, katanya, jika terdapat 200 kes jenayah berlaku sebulan, ia perlu direkodkan dengan tepat, bukannya dikurangkan sedangkan situasi di media sosial menujukkan pelbagai kes berlaku saban hari. 

Katanya, boleh difahami jika pihak berkuasa dan kerajaan bimbang dengan statistik yang betul akan menakutkan orang ramai. 

"Tetapi statistik ini perlu diketahui oleh orang ramai supaya mereka boleh beringat dan tidak lalai. 

"Mereka boleh membuat perancangan seperti berhati-hati di tempat tertentu. Statistik ini sangat penting dan tidak boleh disorok," tambahnya.