- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Kerajaan kembalikan akta berita palsu ikut pintu belakang, kata kumpulan peguam

LFL berkata pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 'meluaskan' skop kesalahan menyalahgunakan internet.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan dalam perancangan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia, dalam apa yang dilihat sebagai memperkasakan undang-undang menghalang kritikan dalam talian terhadap kerajaan.
Kerajaan dalam perancangan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia, dalam apa yang dilihat sebagai memperkasakan undang-undang menghalang kritikan dalam talian terhadap kerajaan.

Kumpulan peguam hak asasi manusia hari ini memberi amaran bahawa kerajaan sedang cuba menyelitkan undang-undang antiberita palsu menerusi beberapa pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.

Lawyers for Liberty (LFL) memberikan contoh beberapa istilah yang dimasukkan dalam pindaan itu seperti "mengelirukan" atau "tidak lengkap" dalam definisi penyalahgunaan fasiliti rangkaian seperti termaktub di bawah Seksyen 233 akta tersebut.

Menurut LFL, pindaan yang dibentang di Dewan Rakyat Isnin lalu akan menjadikan undang-undang tersebut lebih zalim, sambil mengingatkan Pakatan Harapan (PH) mengenai janjinya memansuhkan Seksyen 233(1)(a), iaitu penyalahgunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian dan aplikasi bagi tujuan penyebaran kandungan yang disifatkan jelik dan "menyakitkan hati" individu lain.

"Adalah amat jelas bahawa cadangan pindaan kepada Seksyen 233 CMA adalah cubaan pintu belakang untuk memperkenalkan undang-undang 'berita palsu'," kata pengarah LFL dan peguam hak asasi, Zaid Malek.

PH sebelum ini lantang menentang Akta Antiberita Tidak Benar, yang diluluskan kerajaan bekas perdana menteri Najib Razak beberapa minggu sebelum tumbang dalam pilihan raya umum.

Setahun kemudian, kerajaan PH di bawah Dr Mahathir Mohamad memansuhkan akta tersebut, satu langkah yang disambut baik kumpulan hak asasi manusia dan pengamal media yang bimbang akta itu akan diperalatkan untuk mengharamkan sebarang kritikan terhadap kerajaan.

Zaid Malek.
Zaid Malek.

Zaid mengingatkan PH bahawa ahlinya memegang tiga jawatan yang mempunyai kuasa - perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri komunikasi - membolehkan gabungan itu dengan mudah menunaikan janji memansuhkan Seksyen 233.

"Ini adalah pengkhianatan janji PH bahawa mereka akan memansuhkan Seksyen 233," katanya.

Beliau mempersoalkan penggantian perkataan "palsu" dalam pindaan tersebut dengan meletakkan perkataan "mengelirukan", "tidak lengkap" atau "mengada-adakan perkara yang tidak wujud". Katanya ia hanya meluaskan skop kesalahan dalam akta tersebut.

"Ia akan menakutkan orang awam dan menghalang mereka daripada menyertai perbincangan berkaitan hal-hal kepentingan awam. Ia mempunyai kesan buruk terhadap kebebasan bersuara..

"Ia bermakna dakwaan korupsi, salah guna kuasa atau kritikan umum terhadap kerajaan tidak boleh berlaku melainkan rakyat mempunyai fakta yang penuh dan  lengkap dalam setiap aspek dakwaan tersebut. Jika tidak, mereka boleh ditahan dan didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a)," katanya.

Seksyen 233, yang kerap digunakan terhadap pengguna media sosial dan pemimpin pembangkang yang mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Zaid berkata, sebagai kerajaan yang memerintah, PH perlu membatalkan pindaan tersebut dan sebaliknya memansuhkan Seksyen 233(1) sepenuhnya.

"Kami mengingatkan kerajaan tentang tanggungjawab mereka untuk mempertahankan kebebasan bersuara, satu hak yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan yang kononnya komited kepada ketelusan dan reformasi seharusnya mengutamakan hak ini, kerana ia merupakan asas kepada demokrasi yang berfungsi dan memberi kuasa kepada rakyat untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab tanpa rasa takut terhadap tindakan balas."

Pindaan lain yang dicadangkan oleh kerajaan termasuk memberikan lebih banyak kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi di bawah kementerian komunikasi yang bertanggungjawab untuk menyekat laman berita yang mengkritik kerajaan.

Pindaan tersebut juga akan memberikan imuniti kepada SKMM dan pegawainya daripada pendakwaan atau tindakan undang-undang lain.