Suntikan semangat untuk penduduk Kg Baru bantah pengambilan tanah selepas penemuan geran asal
Geran asal yang merupakan satu-satunya dokumen seumpama itu menunjukkan kawasan Kampung Sungai Baru yang hendak dibangunkan adalah di bawah kategori tanah rizab MAS.
Pertelingkahan tanah di Kampung Sungai Baru, kawasan di sekitar Kampung Baru yang menjadi satu-satunya perkampungan asal Melayu di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, kini memasuki satu lagi fasa dengan penemuan geran tanah asal milik salah seorang penduduk yang terkesan dengan usaha pihak berkuasa mengambil alih tanah mereka melalui pampasan.
MalaysiaNow difahamkan, geran tanah pusaka yang disimpan salah seorang penduduk di situ merupakan satu-satunya dokumen seumpamanya yang masih wujud selepas geran asal lain musnah akibat banjir.
Ia antara lain memberikan butiran mengenai status tanah, di mana penduduk berkata ia menjadi bahan bukti kukuh untuk menyebelahi perjuangan mereka membantah rancangan pengambilan tanah di Kg Sungai Baru, sebuah kawasan flat di Kampung Baru.
Apa yang lebih menarik ialah geran itu menunjukkan kawasan tersebut dikategorikan sebagai Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS), berlawanan dengan dakwaan kerajaan sebelum ini bahawa Kampung Sungai Baru tidak termasuk tanah rizab MAS.
Shahzemir Shahzulkarib, antara penduduk yang aktif membantah rancangan pengambilan tanah itu, berkata salinan asal itu ditunjukkan dalam satu pertemuan penduduk baru-baru ini.
"Rupanya kami penduduk, tak pernah tahu pun yang kami ini di bawah (rizab) MAS.
"Selama ini kami penduduk di Kampung Baru disebut-sebut menduduki 99 tahun tanah pajakan," kata Shahzemir, yang juga suami kepada Rafidah Ibrahim, pelakon yang lantang menggerakkan bantahan pendudukan terhadap pengambilan tanah mereka.
Beberapa penduduk di Kampung Sungai Baru yang enggan menerima pampasan daripada pemaju membantah tindakan pihak berkuasa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pembangunan kawasan itu di bawah Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).
Mereka berkata sesuatu tanah yang hendak diambil oleh kerajaan perlu mendapatkan persetujuan 100% daripada pemilik tanah.
Difahamkan kira-kira 10 keluarga yang masih tinggal di flat Kampung Sungai Baru, menjalani kehidupan dalam kebimbangan mengenai masa depan yang tidak menentu.
Mereka juga tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang ditawarkan menganggap ianya tidak selari dengan harga pasaran, memandangkan ia hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC, antara kawasan yang paling pesat di Kuala Lumpur dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.
Kira-kira 270 penduduk flat bersetuju menerima tawaran pampasan daripada pemaju, manakala 74 tidak bersetuju. Sementara hanya 27 pemilik rumah teres di belakang kawasan flat bersetuju menerima tawaran, manakala 37 lagi tidak bersetuju.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa sebelum ini berkata disebabkan majoriti bersetuju berpindah, kerajaan akan meneruskan projek pembangunan Kampung Sungai Baru.
Menurut Shahzemir, geran itu sudah diperakui dan ditandatangani oleh pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) bagi mengesahkan kesahihannya.
Penduduk juga telah mencari rekod mengenai status rizab MAS Kampung Baru dari United Kingdom dan Singapura, di mana sempadan tanah rizab MAS itu termasuk kawasan Kampung Baru sehingga ke Jalan Campbell di Dang Wangi.
MalaysiaNow difahamkan gazet bernombor siri 1550 telah diperolehi dari UK di mana rekod di bawah pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States) bertarikh 19 Februari 1932 menyatakan Kampung Baru adalah tanah rizab MAS.
Writ saman
Susulan penemuan geran tanah asal itu, penduduk menghantar writ saman kepada dua pengarah di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
Dalam writ dihantar kepada pengarah negeri dan pengarah pendaftar hak milik negeri, penduduk mendakwa mereka berlaku cuai kerana gagal meletakkan Kampung Sungai Baru sebagai tanah rizab MAS.
Semalam, Shahzemir ketika hadir dalam sidang media bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad membangkitkan penemuan geran asal itu.
Sidang tersebut menjadi hangat apabila Shahzemir berkata dokumen itu menjadikan penggunaan Akta Pengambilan Tanah dan pemberian pampasan sebagai tidak relevan oleh kerana tanah terlibat merupakan rizab MAS.
Khalid bagaimanapun menuduh Shahzemir tidak mempunyai pemahaman mengenai isu itu.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.