Sesi persekolahan yang hampir tiba di penghujungnya mencetuskan perdebatan sama ada sesi tahun depan perlu diawalkan ke Januari seperti sebelum Covid-19 melanda, memandangkan ramai pelajar mempunyai waktu lapang di sekolah selepas tamatnya Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sejak November lalu.
Oleh kerana tiada sesi pembelajaran selepas ujian akhir, ramai ibu bapa meluahkan rasa kurang senang kerana anak-anak mereka umpama "membuang masa" hadir ke sekolah sehingga cuti akhir persekolahan selama sebulan bermula pada 17 Januari, 2025.
Kementerian Pendidikan menetapkan sesi persekolahan tahun depan akan bermula 17 Februari, sebelum kembali kepada Januari pada tahun 2026 seperti mana sebelum krisis Covid-19, yang menyaksikan takwim sekolah terganggu oleh perintah kawalan pergerakan yang menutup sekolah dan insitutsi pengajian seluruh negara selama berbulan.
Ramai ibu bapa berpandangan ini masa terbaik untuk mengembalikan sesi persekolahan seperti mana sebelum Covid-19, iaitu pada Januari.
Seorang bapa, Harris Azimin berkata, dia menyokong cadangan tersebut.
"Pada saya lebih baik kembali seperti sedia kala. Takwim sekolah sekarang agak 'mengharukan'.
"Buku teks pun sudah dipulangkan. Memang di sekolah tiada sesi pembelajaran," katanya yang mempunyai seorang anak yang bersekolah di pinggir Kuala Lumpur.
Seorang lagi ibu berkata ujian akhir telah selesai pada pertengahan November lalu.
"Sejak itu, anak-anak tidak ada pembelajaran, sekadar menunggu keputusan ujian. Ada juga aktiviti seperti mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor, di samping perlawanan bola sepak dan kejohanan sukan lain. Namun majoriti murid tidak terlibat," katanya kepada MalaysiaNow.
Menurutnya lagi, murid-murid sejak kebelakangan ini juga sibuk dengan urusan pemulangan buku teks, pengambilan buku teks untuk tahun depan serta mengisi borang Permohonan Bantuan Persekolahan.
"Memang tak belajar apa-apa. Banyak 'paperwork'," tambahnya.
Harris yang bekerja di sektor swasta berkata dia masih tidak faham mengapa kerajaan tidak mengumumkan peralihan takwim itu tahun depan.
Tambahnya, permulaan sesi persekolahan baru akan berselisih dengan bulan puasa serta Aidilfitri, dan ini akan menambahkan lagi perbelanjaan kebanyakan keluarga yang sudah pun dibebani dengan persediaan kelengkapan sekolah.
Bagaimanapun, seorang ibu dari Johor, Shakila Shairudin berkata, membuka sesi persekolahan dengan lebih awal pada Januari akan membawa masalah kepada pelajar Tingkatan 5 yang berdepan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Ujian lisan dan amali sedang berlangsung bulan ini, manakala SPM bertulis pula bermula tahun hadapan. Masalah juga kepada calon-calon SPM sekiranya diawalkan sesi persekolahan," katanya.
Shakila berkata jadual pelajar sekolah rendah dipenuhi aktiviti luar seperti sukan tahunan dan majlis anugerah.
"Sekolah rendah mungkin tiada masalah, tetapi untuk sekolah menengah, barisan guru perlu menghabiskan silibus-silibus mata pelajaran sebelum musim peperiksaan," katanya.
Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Mohamad Ali Hasan berkata, walaupun peperiksaan telah tamat, pihak sekolah telah bekerjasama dengan kementerian untuk mengatur pelbagai aktiviti kokurikulum.
"Ini termasuk lawatan sambil belajar, sesi 'benchmarking' dan bengkel PdP untuk manfaat pelajar dan guru.
"Adalah diharapkan semua pelajar dan ibubapa dan penjaga tidak mengambil ringan usaha menambah baik pendidikan dan kebajikan pelajar," katanya.
Seorang guru, Idi Johan Mohd Zohdi berkata, kebanyakan sekolah telah merangka pelbagai program pasca peperiksaan.
Katanya, waktu panjang dapat memberi ruang untuk guru menyemak kertas jawapan murid, dan juga memproses data di samping menjalankan intervensi kepada murid berdasarkan topik pembelajaran.
"Maklumat ini berguna dalam merangka kerja aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada tahun hadapan," katanya yang mengajar di sebuah sekolah di Sekinchan, Selangor.
Menurutnya lagi, sesi persekolahan lebih awal bermakna cuti guru-guru dipendekkan seterusnya menyulitkan mereka menyelesaian pelbagai tugasan seperti mengurus aktiviti dan takwim sekolah.
"Jika cuti dipendekkan, saya takuti tugasan tersebut akan diselesaikan dengan keadaan tergesa-gesa," katanya.