- Iklan -
Berita

Kos haji tahun depan naik ke RM15,000, peningkatan ketiga di bawah pentadbiran Anwar

Tabung Haji berkata ia selari dengan polisi mengurangkan bantuan kewangan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Jemaah menunggu untuk menunaikan solat di depan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi.
Jemaah menunggu untuk menunaikan solat di depan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi.

Kos untuk melaksanakan ibadat haji terus meningkat bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40), selepas kerajaan mengumumkan Bantuan Kewangan Haji bersasar untuk tahun depan bagi mereka yang pertama kali menunaikan rukun Islam kelima itu.

Pada tahun depan, jemaah haji daripada golongan B40 perlu menyediakan RM15,000 daripada jumlah keseluruhan RM33,300. 

Manakala golongan M40 perlu membayar RM23,500, dan golongan T20 membayar penuh tanpa subsidi.

Dalam satu kenyataan, Tabung Haji berkata bantuan tersebut dianggarkan menelan RM261 juta pada tahun depan.

"Bakal jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang mendapat bantuan kerajaan akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,300 seorang dan ditambah bantuan Kerajaan sebanyak RM1,000 seorang.

"Bakal haji Muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan Kos Haji," katanya.

Muassasah merujuk kepada jemaah haji yang menyertai pakej Tabung Haji.

Menurut Tabung Haji lagi, bantuan kewangan secara bersasar itu selari dengan polisi mengurangkan bantuan kewangan kepada jemaah haji bermula 2022.

Kos tahun ini menyaksikan peningkatan ketara sejak 2022, iaitu RM10,980 untuk golongan B40. 

Bagi kumpulan selain B40, jumlahnya bernilai RM12,980 untuk tahun sama. 

Ia merupakan peningkatan tahun ketiga berturut-turut sejak Pakatan Harapan mengambil alih kuasa dengan menubuhkan kerajaan campuran pada 2022.

Pada 2023, jumlah itu kekal untuk golongan B40 meskipun kos keseluruhan dilapor meningkat kepada RM30,850. Kos bagi golongan M40 pula adalah RM15,980 manakala golongan T20 perlu membuat bayaran penuh.

Bagi tahun ini, jemaah haji B40 perlu membayar RM12,356, manakala jemaah M40 perlu bayar RM19,152 dan T20 pula RM33,300.

Kos keseluruhan haji tahun depan adalah sama dengan kos tahun ini. 

Menurut Tabung Haji, lembaga itu berusaha mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan dan perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi mengawal peningkatan kos haji untuk tahun-tahun akan datang.

Sehingga tahun 2019, kos yang yang perlu ditanggung oleh jemaah ialah RM9,980 berbanding kos sebenar RM22,000. Ia diteruskan sehingga tahun 2021.

Semasa pentadbiran pertama PH, menteri mengenai hal ehwal agama ketika itu Mujahid Yusof Rawa mempromosikan konsep istitoah, iaitu mengikut kemampuan sendiri, dalam usaha mengurangkan beban bantuan subsidi yang perlu ditanggung lembaga itu.

Pada Februari 2020, akhbar The Edge melaporkan Tabung Haji sedang melaksanakan pelan penstrukturan semula untuk menghapuskan subsidi kepada jemaah haji Muassasah kecuali kepada golongan B40. 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi