- Iklan -
Berita

Kedudukan Amirudin terancam di sebalik kempen senyap PKR bendung kemaraan Rafizi

MB Selangor itu berdepan tekanan untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam usaha menyekat pengaruh Rafizi Ramli.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
MB Selangor Amirudin Shari berdepan tekanan untuk mencabar Rafizi Ramli, individu yang kemaraannya tidak disenangi Anwar Ibrahim, menurut sumber.
MB Selangor Amirudin Shari berdepan tekanan untuk mencabar Rafizi Ramli, individu yang kemaraannya tidak disenangi Anwar Ibrahim, menurut sumber.

Jawatan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor kini diancam di sebalik usaha menyekat kemaraan Rafizi Ramli dalam PKR menjelang pemilihan parti, dalam apa yang dilihat sebagai tanda-tanda akan berulangnya Langkah Kajang yang gagal mencapai matlamatnya sedekad lalu.

MalaysiaNow difahamkan melalui sumber dalaman parti bahawa Anwar Ibrahim kini berhati-hati dengan pengaruh Rafizi yang semakin meningkat dalam PKR sejak memegang jawatan Kabinet di samping mendapat manfaat daripada kekosongan yang ditinggalkan bekas timbalan presiden Mohamad Azmin Ali, yang pernah mengalahkannya untuk jawatan nombor dua.

"Sejak perpecahan PKR pada 2020 berikutan pemecatan Azmin, Rafizi telah meningkatkan pengaruhnya dalam parti, khususnya di Selangor. Sebab itulah, memang sudah dijangka dia dapat menewaskan Saifuddin Nasution untuk merebut jawatan timbalan presiden pada 2022.

"Kini tinggal jawatan presiden sahaja untuk dicapai Rafizi. Tetapi ia bermakna menamatkan dinasti Anwar," kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

Bukan menjadi rahsia bahawa Anwar secara senyap menyokong Saifuddin - yang disifatkan seorang pemimpin kanan parti sebagai "sangat setia" kepada bos - ketika perebutan jawatan timbalan presiden dua tahun lalu.

Saifuddin, yang bersama dengan perdana menteri sejak zaman penglibatan mereka dalam Umno, memainkan peranan penting dalam rundingan sulit dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk membentuk kerjasama politik bagi memastikan pemimpin PKR itu dapat mencapai cita-citanya menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, menteri dalam negeri itu, yang kalah di Kulim Bandar Baharu pada PRU lalu, tidak mempunyai pengaruh dalam parti, apatah lagi dalam PKR Selangor, negeri yang sokongannya penting dalam persaingan untuk jawatan utama parti.

Sumber berkata terdapat "isyarat dari orang atas" supaya Amirudin - di mana jawatan MB yang disandangnya memberikannya peluang lebih baik untuk mendapatkan sokongan ahli parti di Selangor - untuk menyertai pertandingan timbalan presiden, sekaligus menjadikannya lebih sukar bagi Rafizi untuk mempertahankan jawatan itu.

"Setakat ini, Amirudin masih enggan bertanding kerana merasakan kedudukannya selamat dalam pakatan barunya bersama Rafizi," tambahnya.

"Bagaimanapun, keputusan itu mungkin menyebabkan dia terpaksa bayar harga yang mahal."

Seorang lagi sumber dalaman parti berkata Anwar telah cuba menggunakan Amirudin dalam menyekat kemaraan Rafizi.

"Sebab itulah Anwar bersetuju untuk tidak menggantikan Amirudin pada pilihan raya negeri Selangor tahun lepas walaupun dengan sejarah beliau dikaitkan dengan Azmin," katanya.

Usaha menukar MB mungkin membawa balik strategi pada 2014, apabila PKR memaksa sebuah pilihan raya kecil di kerusi negeri Kajang dengan matlamat meletakkan isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Matlamat sebenar strategi yang dikenali sebagai "Langkah Kajang" itu ialah menggantikan MB pada masa itu, Abdul Khalid Ibrahim, dengan Wan Azizah, tetapi memakan diri apabila Sultan Selangor menolak pencalonan beliau.

Percubaan Anwar Ibrahim membawa masuk Tengku Zafrul Aziz ke dalam PKR dilihat selari dengan usaha menyingkirkan Amirudin Shari dari Selangor dan menyekat kemaraan Rafizi Ramli.
Percubaan Anwar Ibrahim membawa masuk Tengku Zafrul Aziz ke dalam PKR dilihat selari dengan usaha menyingkirkan Amirudin Shari dari Selangor dan menyekat kemaraan Rafizi Ramli.

Wartawan veteran A Kadir Jasin melihat tindakan terbaru Anwar untuk membawa masuk Tengku Zafrul Aziz ke dalam PKR sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk menggantikan Amirudin.

"Ada tekanan dan wayang kulit yang kita tidak nampak. Contohnya, Menteri Besar Selangor sekarang, Amirudin Shari, akan diberhentikan, kerusi DUN Sungai Tua dikosongkan dan Tengku Zafrul bertanding. 

"Amirudin kekal ahli Parlimen Gombak dan boleh dilantik sebagai menteri. Tengku Zafrul ambil alih tempat dia sebagai menteri besar," tulis Kadir baru-baru ini.

Buat masa ini, perpecahan dalaman PKR mungkin menular ke dalam Kabinet, dan parti itu sekali lagi boleh menggugat ketidakstabilan kerajaan seperti mana berlaku empat tahun lalu.

Pada 2020, kerajaan PH tumbang selepas kumpulan yang menyokong Azmin enggan menyokong usaha Anwar memberi tekanan terhadap Dr Mahathir Mohamad untuk melepas jawatan perdana menteri.

Susulan peletakan jawatan Mahathir pada Februari tahun itu, Azmin dan lebih 10 pemimpin PKR lain yang bersekutu dengannya menyertai kerajaan campuran baharu, diikuti dengan penyingkiran mereka daripada parti.