Vijayal Murugesu masih ingat detik cemas apabila menerima khabar cucunya terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.
G Selvarajah, pelajar Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, terbaring kaku selepas dilanggar kereta ketika sedang menunggang motosikal pada September lepas.
Kemalangan itu berlaku di hadapan Klinik Kesihatan Tanjung Malim, Perak, yang menghentikan operasi kecemasan 24 jam bermula 1 Ogos lepas dengan alasan menyeragamkan operasi seperti klinik luar bandar lain.
Orang ramai cuba membantu Selvarajah, mengangkat tubuhnya dan membawa pelajar itu ke Hospital Slim River, memandangkan tiada doktor tersedia di klinik tersebut.
Sudah hampir tiga bulan Selvarajah terlantar di katil, kaku dan tidak mampu berkomunikasi.
"Dia dipindah ke Hospital Ipoh pada malam dia kemalangan dan kemudian ke Hospital Slim River pula. Beberapa kali dia berulang-alik ke Hospital Ipoh dari Hospital Slim River sehinggalah kami dibenarkan menjaganya di rumah," kata Vijayal, bekas pekerja kebersihan di Klinik Tanjung Malim, ketika dikunjungi MalaysiaNow baru-baru ini.
Wanita berumur 60 tahun itu sendiri berdepan masalah kesihatan, dan baru menjalani pembedahan ibu jari kaki akibat kencing manis.
Selvarajah dijaga Vijayal dan suami, N Muniandy sejak usianya tiga tahun, ketika ibunya melarikan diri.
Sepuluh tahun kemudian, Selvarajah kehilangan ayahnya, yang juga anak Vijayal, yang meninggal dunia akibat sakit jantung.
Sejak tiga minggu, Selvarajah kembali ke rumah, tetapi masih terlantar di katil.
Makcik kepada Selvaraj, M Pumail yang tinggal berhampiran datang membantu menjaganya.
Keluarga itu tidak cuba sedaya upaya memastikan keperluan penjagaan Selvarajah dapat disediakan.
"Kami memerlukan kira-kira RM300-RM500 seminggu untuk pembelian tisu, susu, tiub sedutan, beg urin dan sarung tangan.
"Kami juga memerlukan perkhidmatan ambulans untuk ke Hospital Ipoh sebulan sekali," katanya.
Pumail berkata perkhidmatan ambulans telah dijanjikan oleh Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Li Kang.
Mereka berharap agar Selvarajah diberikan rawatan pakar, namun tidak mampu menanggung kos yang tinggi.
"Penjagaannya tidaklah rumit dan kami tidak putus harapan untuk melihat dia sembuh. Saya akan menjaga pada waktu siang dan bapa saya akan mengambil giliran pada waktu malam.
"Namun kami berharap agar Selvarajah dapat sembuh segera selepas pembedahan memasukkan tempurung dalam kepalanya kelak," katanya.