- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Pemimpin PH tutup mulut selepas seorang lagi 'watak jahat' tarik nafas lega

Rosmah Mansor, yang dibebaskan daripada 17 pertuduhan, sering ditonjolkan sebagai 'watak jahat' oleh ahli politik PH.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor, isteri Najib Razak, merupakan antara sasaran utama serangan Pakatan Harapan selama lebih sedekad.
Rosmah Mansor, isteri Najib Razak, merupakan antara sasaran utama serangan Pakatan Harapan selama lebih sedekad.

Hampir semua ahli politik Pakatan Harapan (PH) bertindak mengunci mulut, manakala kebanyakannya enggan memberikan sebarang komen susulan keputusan mahkamah hari ini untuk membebaskan Rosmah Mansor, yang selama bertahun-tahun menjadi sasaran pelbagai tuduhan daripada gabungan itu dan penyokongnya.

Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan Rosmah, isteri bekas pemimpin Najib Razak yang kini dipenjarakan, daripada 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai, menjadikan beliau seorang lagi "watak jahat" di mata penyokong PH yang kini berubah nasib selepas bertahun-tahun menjadi sasaran serangan PH, termasuk daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Rosmah didakwa atas lima pertuduhan pengubahan wang haram atas kegagalan memfailkan penyata cukai melibatkan wang dalam akaun banknya bernilai RM7 juta, dan 12 pertuduhan berkait transaksi jumlah yang sama membabitkan hasil aktiviti haram.

Hampir semua pemimpin PH, yang kerap menjadikan Rosmah sasaran dalam ucapan dan kempen pilihan raya mereka selama lebih sedekad, enggan mengulas keputusan mahkamah itu ketika dihubungi MalaysiaNow.

Mereka termasuk Tony Pua dari DAP dan Rafizi Ramli dari PKR, dua ahli politik yang paling lantang dalam kempen PH menentang Najib dan Rosmah, terutama pada dua pilihan raya umum lalu.

Pua tidak menjawab panggilan daripada MalaysiaNow.

Hanya dua bulan lalu, pemimpin DAP itu menyindir Najib selepas bekas perdana menteri itu memohon maaf atas skandal 1MDB tanpa mengaku bersalah atas pemindahan wang secara besar-besaran daripada dana tersebut.

"Saya tidak bertanggungjawab dalam berlian 22-karat bernilai AS$27 juta yang dibeli oleh isteri jelita saya (dan berjuta-juta lagi barang kemas dan barang mewah). (Tapi di manakah ia tersembunyi?)" Pua menulis di Facebook pada Oktober lalu, merujuk kepada barang kemas yang menurut Najib dihadiahkan oleh seorang putera UAE kepada isterinya.

"Saya cuma perlu minta maaf kerana menjadi PM Malaysia paling bodoh dan paling lembap, kerana mempercayai pihak yang menipu rakyat Malaysia berpuluh bilion ringgit. Saya tidak sepatutnya duduk di penjara, walaupun saya mendapat manfaat besar daripada 1MDB, dalam bentuk wang tunai dan barangan. Percayalah, ini bukan salah saya."

Sementara itu, satu-satunya ahli politik kerajaan yang menjawab pertanyaan MalaysiaNow ialah Adun Sri Serdang dari Amanah, Abbas Salimmi.

Menurutnya, beliau yakin keputusan mahkamah hari ini dicapai tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

Abbas seterusnya berkata, hakim telah mempertimbangkan semua fakta dan hujah yang dikemukakan.

Rosmah kerap digambarkan sebagai watak jahat dan sering menjadi sasaran ahli politik PH dan penyokong mereka yang mempersoalkan gaya hidup mewahnya, serta menjadi bahan ejekan melalui karikatur yang menonjolkan beliau gemar dengan jenama beg tangan Birkin dan barang kemas mahal.

Pembebasan Rosmah hari ini berlaku beberapa hari selepas bekas ketua menteri Sabah Musa Aman - juga pernah didakwa atas tuduhan rasuah sebelum pembebasannya pada 2020 yang dibidas Anwar - dilantik sebagai Yang di-Pertua negeri itu.

Minggu lalu, kerajaan membatalkan hasratnya untuk meneruskan rayuan terhadap pembebasan Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah berkait pengurusan permohonan visa asing, menyebabkan Mahkamah Rayuan menggugurkan kes terhadap timbalan perdana menteri itu.

Zahid sebelum ini telah pun berjaya menamatkan perbicaraan atas 47 pertuduhan rasuah selepas pihak pendakwaan memohon supaya mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) presiden Umno itu.