- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Giliran Hadi jadi sasaran polis selepas pertahan Mahathir isu Batu Puteh

Presiden PAS itu baru-baru ini melabelkan pemimpin Melayu dalam PH dan Umno sebagai 'khadam' DAP.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan gesaan mendakwa Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Batu Puteh sebagai lakonan bagi menutup kebodohan masa lampau oleh 'kalangan pendek akal'.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan gesaan mendakwa Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Batu Puteh sebagai lakonan bagi menutup kebodohan masa lampau oleh 'kalangan pendek akal'.

Polis kini menyasarkan Abdul Hadi Awang selepas presiden PAS itu baru-baru ini menukilkan artikel mempertahankan Dr Mahathir Mohamad di sebalik gesaan pemimpin kerajaan untuk mendakwanya, seperti mana syor sebuah laporan kontroversi yang menuduh bekas perdana menteri itu bertindak sendirian menamatkan proses rayuan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Hadi akan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana "menimbulkan kegusaran awam".

Pemimpin PAS yang berpengaruh itu baru-baru ini mempersoalkan serangan terhadap Mahathir sebagai sandiwara untuk menutup "tindakan bodoh" masa lampau yang dilakukan "kalangan tertentu yang pendek akalnya" dengan menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut Hadi, gesaan agar pemimpin berusia 99 tahun itu diheret ke mahkamah adalah lakonan yang wataknya terdiri daripada orang Melayu yang menjadi "khadam" kepada DAP.

"Apa yang menarik ialah pelakon tambahannya daripada Melayu dalam PH (PKR, PAN dan DAP Melayu) dan UMDAP (Umno Khadam DAP).

"Sedangkan DAP yang terkenal lantang bersuara tidak perlu bersuara kerana ada khadamnya," tulis Hadi.

Beliau berkata sebelum ini penjajah British berjaya merampas Singapura dari tangan orang Melayu, namun kehilangan Batu Puteh yang dijadikan isu ketika ini.

"(Ia) hanya batu karang kecil diperbesarkan dengan tujuan menipu rakat yang telah pun ditipu,” kata Hadi sambil menambah sepanjang sejarah, tanah air umat Islam telah dirampas melalui muslihat penjajah, dan ini dipermudahkan lagi dengan sikap umat Islam yang lupa pentingnya politik "sehingga boleh dibeli dan dibuli". 

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan baru-baru ini mengesyorkan Mahathir disiasat di bawah Kanun Keseksaan berhubung keputusan Kabinet pada 2018 untuk menarik balik permohonan Malaysia menyemak keputusan ICJ menganugerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Mahathir sebelum ini menolak laporan itu dengan menyatakan keputusan itu dipersetujui secara kolektif oleh Kabinet pada 2018, yang turut melibatkan isteri Anwar Ibrahim dan timbalan perdana menteri ketika itu Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemimpin DAP Anthony Loke dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Dakwaan ketiga-tiga pemimpin PH itu kononnya tidak dirujuk mengenai keputusan itu bercanggah dengan minit mesyuarat yang menunjukkan mereka antara 13 menteri yang bersetuju dengan keputusan Kabinet untuk tidak merayu kepada ICJ.

Usul membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat minggu lalu mendapat tentangan hebat pembangkang dan sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen kerajaan, yang memberi amaran kepada pentadbiran Anwar supaya tidak menyalahgunakan Parlimen untuk dendam peribadi.