Pendedahan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof bahawa Tenaga Nasional (TNB) tidak merujuk kementeriannya mahupun Suruhanjaya Tenaga (ST) sebelum mengumumkan kenaikan tarif elektrik untuk Semenanjung Malaysia baru-baru ini mencetuskan satu lagi kontroversi melibatkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menimbulkan persoalan siapa yang meluluskan kenaikan itu yang bakal memberi kesan kepada berjuta-juta pengguna seluruh negara.
Fadillah, yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air, berkata kementeriannya dan ST masih belum memuktamadkan jadual tarif baharu.
Menurutnya, kedua-duanya juga belum dirujuk atau dimaklumkan oleh TNB, syarikat yang dimiliki kerajaan melalui Khazanah Nasional.
Bagaimanapun, TNB pada Khamis menyatakan kenaikan itu telah diluluskan oleh kerajaan dan ST dalam surat bertarikh 24 Disember 2024.
Seorang penyokong kuat bekas perdana menteri Najib Razak yang kerap memuat naik ulasan politik semasa mempersoalkan kesahihan surat tersebut.
"Adakah surat daripada ST itu benar-benar wujud?" soal Eric See-To, menulis menggunakan nama samarannya di Facebook, Lim Sian See.
"Jika wujud, adakah ia sahih? Adakah surat tersebut dikeluarkan oleh ST setelah melalui proses kelulusan yang sepatutnya, atau sebaliknya?
MalaysiaNow sedang cuba mendapatkan respon pengerusi ST, Mohamad Razif Abd Mubin.
Semakan di laman web ST menunjukkan sebuah kenyataan bertarikh 24 Disember, mengumumkan pelarasan tarif untuk pengguna di Kulim Hi-tech Park di Kedah mulai tahun depan.
Dalam pengumuman difailkan di Bursa Malaysia pada 26 Disember, TNB mengumumkan kenaikan 14% dalam tarif asas bagi tempoh 2025-2027.
Susulan itu, Anwar yang juga pengerusi Khazanah memberi jaminan majoriti pengguna tidak akan terjejas dengan langkah itu.
"Secara terperincinya TNB dan Fadillah akan menjelaskan," kata Anwar kepada pemberita semalam, walaupun beliau tidak menyentuh sama ada kenaikan yang diumumkan oleh TNB telah mendapat kelulusan kerajaan.
Fadillah bagaimanapun berkata kementerian beliau dan ST belum memberikan sebarang kelulusan kepada TNB, sambil menambah pengumuman kenaikan tarif elektrik akan hanya dibuat oleh kerajaan.
Eric berkata adalah menjadi kesalahan jenayah sekiranya syarikat mengeluarkan pengumuman tidak benar atau yang belum diluluskan kepada Bursa Malaysia.
"Pengumuman tidak tepat memberi kesan kepada nilai dan prospek TNB," katanya merujuk kepada nilai saham TNB yang mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada RM252.7 juta semalam.
Beliau memberi amaran harga saham akan jatuh sekiranya kerajaan menarik balik pengumuman tersebut, sambil menambah ini akan menyebabkan kerugian kepada pelabur yang sebelum ini membeli saham TNB pada harga tinggi.
Beliau berkata pelabur boleh menyaman TNB atas kerugian itu jika didapati pengumuman itu tidak benar atau belum diluluskan.
"Insiden ini telah merosakkan keyakinan pelabur tempatan dan asing terhadap Malaysia, kerana TNB merupakan salah satu syarikat terbesar yang disenaraikan di Bursa Malaysia," tambah Eric.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.