- Iklan -
Berita

Jangan tuding jari pada BN kerana gagal tunai janji reformasi, MCA beritahu PH

Parti komponen BN itu mengingatkan kementerian-kementerian yang sering dikritik adalah diterajui oleh pemimpin Pakatan Harapan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata BN tidak seharusnya dijadikan kambing hitam atas kegagalan Pakatan Harapan melaksanakan janji reformasi.
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata BN tidak seharusnya dijadikan kambing hitam atas kegagalan Pakatan Harapan melaksanakan janji reformasi.

Seorang pemimpin muda MCA menolak sebarang percubaan untuk menyalahkan Barisan Nasional (BN) atas kegagalan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan reformasi kritikal seperti yang dijanjikan beliau selama lebih dua dekad ketika memimpin gerakan reformasi.

Penyokong Pakatan Harapan (PH), parti terbesar dalam kerajaan, kerap memberikan alasan bahawa kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 bukanlah di bawah kawalan PH semata-mata, sebaliknya kerajaan campuran yang termasuk parti Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gagasan Rakyat Sabah.

Menurut mereka, kehadiran parti-parti lain dalam blok kerajaan menyebabkan PH tidak dapat menunaikan janji-janji reformasi.

Namun bagi Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, menjadikan BN sebagai kambing hitam dalam soal kegagalan reformasi adalah alasan yang tidak boleh diterima sama-sekali.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Neow yang juga bekas calon BN di Taiping pada PRU15 berkata, jawatan-jawatan utama dalam kementerian yang sering menjadi sasaran kritikan - termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi - adalah dipegang oleh pemimpin PKR, 

"Kuasa di tangan pemimpin-pemimpin PH. Maka kalau hendak dijadikan alasan reformasi tidak boleh dibuat kerana ada campuran parti-parti lain, maka ini adalah satu alasan semata-mata."

"Kerajaan perpaduan ditubuh secara kolektif, jadi mereka yang berada dalam Kabinet perlu bertanggungjawab terhadap keputusan yang telah diperincikan dalam Kabinet," katanya dalam wawancara bersama MalaysiaNow.

Neow Choo Seong2_MCA_20241220_Mnow"Dahulu, ada fitnah seperti Altantuya yang dikaitkan dengan Najib. Tetapi kita masih tak tahan sesiapa pada zaman itu. Undang-undang ini tidak digunakan secara meluas (pada zaman BN), sampai ada gambar pemimpin BN dijadikan badut."

PH menjadi sasaran kritikan badan bukan kerajaan kerana mengabaikan janji-janji reformasi mereka, antaranya ikrar gabungan itu memansuhkan undang-undang bersifat kuku besi seperti Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

Bagaimanapun, undang-undang itu sebaliknya diperkukuhkan lagi di bawah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, kedua-duanya dari PKR.

Baru-baru ini, kerajaan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, langkah yang dikritik pelbagai pihak dan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan pindaan itu langkah ke belakang di samping menjenayahkan pelbagai kesalahan yang ditakrifkan sebagai "penyalahgunaan internet" tanpa definisi yang jelas.

Sebaliknya, Neow berkata kerajaan BN mempunyai rekod yang baik dalam melaksanakan pembaharuan seperti pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa pentadbiran Najib Razak, selain memansuhkan keperluan untuk syarikat media dan penerbit memohon pembaharuan permit setiap tahun.

ISA digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang menurut Neow, adalah yang terbaik pada hemat BN ketika itu. Akta itu yang dikenali sebagai Sosma, antara perundangan yang mahu dimansuhkan oleh PH, namun sehingga hari ini ia enggan berbuat demikian.

Neow berkata walaupun BN memberikan cadangan, ia tidak semestinya diterima memandangkan kerajaan yang dibentuk bersifat pakatan politik.

"Apabila ada isu-isu yang timbul, kita mahu penambahbaikan tetapi isu itu di luar bidang kuasa kita," katanya.

Neow turut mengingatkan kerajaan hari ini bahawa BN semasa menjadi kerajaan juga pernah menjadi sasaran kempen memburukkan kerajaan dan fitnah oleh pembangkang ketika itu. 

Katanya, walaupun BN memahami bahawa pindaan CMA 1998 bertujuan memerangi jenayah siber, ada perkara yang mengehadkan kebebasan bersuara menerusi istilah subjektif yang boleh menimbulkan perdebatan tentang tafsiran  istilah tersebut.

"Ada ruang untuk manipulasi. Siapa yang jadi Menteri atau Timbalan Menteri Komunikasi. Takkan nak campak tanggungjawab ini kepada BN?

"Dahulu, ada fitnah seperti Altantuya yang dikaitkan dengan Najib. Tetapi kita masih tak tahan sesiapa pada zaman itu.

"Undang-undang ini tidak digunakan secara meluas (pada zaman BN), sampai ada gambar pemimpin BN dijadikan badut," katanya merujuk kepada karya satira aktivis Fahmi Reza.

Fahmi baru-baru ini disiasat polis susulan grafik mengenai pemimpin Sabah Musa Aman yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah. Dia disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, antara undang-undang yang mahu dimansuhkan PH.

Neow yang sebelum ini dilantik sebagai pengarah komunikasi Pemuda BN berkata, BN turut memainkan peranan semak dan imbang dari dalam kerajaan. 

Bahkan, pemimpin BN seperti Presiden MCA Wee Ka Siong menyuarakan isu-isu seperti harga barang yang dilihat melawan arus sehingga mencetuskan pertengkaran antara beliau dan ahli Parlimen PH di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Neow berkata pemimpin BN juga sering mengeluarkan kenyataan bagi menjawab kenyataan-kenyataan kurang sensitif daripada DAP atau pihak pembangkang.

"Jika tidak, kita akan dipanggil Umdap," katanya merujuk kepada gelaran yang diberikan kepada Umno selepas keputusan bergabung dengan PH bagi membentuk kerajaan.