- Iklan -
Berita

Selepas kerajaan Selangor dimarahi sultan, kelewatan projek tebatan banjir dibimbangi ulang pengalaman buruk 2021

Dr Afif Bahardin memberi amaran situasi sama boleh berulang mengikut kitaran bencana jika tiada persediaan dilakukan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan sebahagian kawasan komersil di Taman Sri Muda, antara yang paling teruk terjejas oleh banjir besar di Selangor pada 2021.
Pemandangan sebahagian kawasan komersil di Taman Sri Muda, antara yang paling teruk terjejas oleh banjir besar di Selangor pada 2021.

Projek tebatan banjir yang terpaksa ditender semula dikhuatiri mengakibatkan bencana banjir di Selangor menjadi lebih buruk berbanding 2021, yang menyaksikan ribuan rakyat di beberapa daerah di negeri itu terpaksa berpindah.

Awal bulan ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah secara terbuka memarahi kerajaan negeri di hadapan Menteri Besar Amirudin Shari.

"Kenapa masalah ini tidak dapat kita selesaikan? Tidakkah kerajaan negeri mahu memikir kesusahan rakyat di luar sana yang terpaksa mengharungi kesusahan pnderitaan semasa banjir dengan kerosakan harta benda, nyawa dan keselamatan yang terancam?" menurut Sultan Selangor dalam ucapan pada 5 Disember.

Sultan Sharafuddin turut menegur soal kebersihan Klang yang juga Bandar Diraja.

Dr Afif Bahardin.
Dr Afif Bahardin.

Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin berkata teguran Sultan Selangor itu memberi gambaran mengenai perlunya projek tebatan peringkat persekutuan itu disegerakan.

"Projek ini tidak hanya libatkan kerajaan negeri. Beberapa projek tebatan banjir telah dijadual dan diluluskan namun tidak dilaksanakan dan sebahagian projek-projek itu adalah di bawah kerajaan persekutuan.

"Kita khuatir ia (kelewatan projek) mengganggu usaha mengatasi masalah banjir terjejas kerana projek masih tak jalan," katanya kepada MalaysiaNow.

Afif merujuk kepada tindakan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2022 membatalkan inisiatif tebatan banjir di seluruh negara membabitkan peruntukan RM7 bilion.

Bagaimanapun, pada sesi Parlimen lepas, Anwar berkata projek-projek tebatan banjir berjalan mengikut jadual walaupun ditender semula.

Selangor antara negeri yang terkesan dengan luruan monsun baru-baru ini apabila kawasan Meru berhampiran Klang mengalami banjir.

Walaupun ia tidak seteruk banjir di negeri pantai timur, Afif berkata banjir 2021 mungkin akan berulang semula mengikut kitaran lima hingga 10 tahun.

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengkritik kerajaan Selangor dalam menangani masalah banjir di negeri itu ketika berucap di sebuah majlis pada 6 Disember, 2024.
Sultan Sharafuddin Idris Shah mengkritik kerajaan Selangor dalam menangani masalah banjir di negeri itu ketika berucap di sebuah majlis pada 6 Disember, 2024.

"Semakin kita menghampiri kitaran itu, jika kita tidak bersedia maka kita akan hadapi situasi yang sama pada tahun 2021," tambahnya.

Jelasnya, kawasan Lembah Klang terutama Shah Alam dan Klang yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, berdepan ancaman banjir kerana terletak di kawasan rendah.

Sebelum ini, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim mendedahkan, sembilan projek tebatan banjir di negeri itu didapati bermasalah dan boleh dikategorikan sebagai projek sakit.

Ia termasuk usaha naik taraf sistem saliran, kolam takungan banjir serta peralihan utiliti membabitkan kawasan di Sungai Kayu Ara; Kampung Budiman, Meru; Sijangkang, Kuala Langat; Sungai Damansara; Sungai Kandis, Sungai Kembong Pulau Indah; Taman Mutiara Bukit Raja serta Sungai Pinang.

Dalam pada itu, pensyarah kanan kejuruteraan Universiti Teknologi Mara, Suzana Ramli, berkata walaupun projek tebatan banjir mampu mengurangkan risiko banjir, kekurangan pemeliharaan dan penyelenggaraan yang konsisten perlu diambil kira.

"Ini termasuk membersihkan sampah-sampah di dalam longkang terutama pada musim monsun. Kerajaan negeri perlu meneliti proses penyelenggaraan berkala supaya sistem perparitan akan lebih efisien," katanya.

Kerajaan negeri sedang merancang beberapa pembangunan mega termasuk kompleks stadium baharu yang menggantikan Stadium Shah Alam, antara kawasan yang teruk ditimpa banjir pada 2021.

Suzana berkata, pembangunan tidak terkawal juga menjadi punca banjir kilat.

"Kawasan yang dahulunya mampu mengalirkan air disebabkan sifat tanah yang telap air, kini berubah menjadi kawasan konkrit yang tidak telap air. Pihak berkuasa tempatan diminta mengawal dengan tegas aktiviti gunatanah terutama di Kawasan lembah Klang," katanya.

Pakar penyelidikan bencana Norhazlina Fairuz Musa Kutty dari Universiti Pertahanan Nasional pula berkata, projek tebatan banjir akan mengambil jangka masa masa yang lama. 

"Infrastruktur sememangnya memainkan peranan dalam meningkatkan kesiapsiagaan banjir, namun masyarakat juga harus memainkan peranan dalam memastikan mereka ada ketahanan atau 'community resilience' dalam aspek kesediaan.

"Contohnya di Jepun, masyarakat memainkan peranan dalam bantuan bencana secara aktif. Penyertaan lebih 70% agensi kerajaan hanya menyumbangkan 30% kepada usaha sokongan bantuan bencana," katanya.