- Iklan -
Berita

Selepas kemalangan terbaru di lebuh raya PLUS, prestasi Loke dapat perhatian

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menjadi sasaran kritikan, sementara pakar menggesa masalah keselamatan jalan raya ditangani secara bebas.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Antara kritikan terhadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke ialah fokusnya kepada perkara remeh seperti jualan nombor plat khas berbanding perkara lebih serius membabitkan keselamatan jalan raya.
Antara kritikan terhadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke ialah fokusnya kepada perkara remeh seperti jualan nombor plat khas berbanding perkara lebih serius membabitkan keselamatan jalan raya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke semakin menjadi sasaran pengkritik susulan peningkatan kes kemalangan melibatkan kenderaan berat direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2024, di mana ramai perdebatan di media sosial mempersoalkan kebolehan kementeriannya menangani isu keselamatan jalan raya. 

Sebilangan besar kritikan tertumpu kepada apa yang dilihat sebagai keutamaan terhadap perkara yang remeh, seperti mempromosi jualan nombor plat khas, berbanding meningkatkan usaha mengelakkan kemalangan melibatkan lori dan bas yang akhir-akhir ini mengorbankan banyak nyawa.

Mereka turut menggesa tindakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, peningkatan kawalan teknikal terhadap kenderaan berat seperti kualiti tayar dan pengawalan jam operasi pemandu. 

"825 kes kemalangan membambabitkan lori dalam tempoh 10 bulan. Menteri: Okay, jom kita 'upgrade' nombor plat,” tulis pengguna X bernama Ian.

Baru-baru ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata sebanyak 825 buah lori didapati terlibat dalam kemalangan maut dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Ini bermakna, secara purata, tiga buah lori terlibat nahas dalam sehari, menyebabkan 5,364 kematian, berbanding 6,024 sepanjang 2023.

Ada juga yang menggesa Loke mengembalikan semula fungsi dan kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2018, ketika beliau menyandang porfolio sama dalam Kabinet.

SPAD digantikan dengan penubuhan agensi baharu di bawah kementerian Loke, iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), yang berperanan merancang pembangunan sektor pengangkutan awam darat negara.

Pengkritik mendakwa mengembalikan SPAD akan membantu penguatkuasaan dan pemantauan teknikal terhadap kenderaan perdagangan yang sering didapati gagal mematuhi syarat keselamatan selain memeriksa tahap keadaan jalan raya. 

"Kembalikan SPAD. Kena tunggu anak VIP mati kena langgar lori dulu ke baru menteri nak kisah," tulis Kamal Anas di ruangan komen Facebook, sebagai respon kepada laporan kemalangan maut di Lebuhraya PLUS minggu lalu yang meragut tujuh nyawa, membabitkan bas ekspres, lori, treler, sebuah MPV dan sebuah kereta. 

Menurut laporan, kemalangan berpunca daripada salah satu tayar lori yang tercabut di tengah lebuh raya. 

Pengulas automotif, Hezeri Samsuri berkata usaha menyelesaikan isu membabitkan kenderaan berat terbantut oleh kerana kedua-dua APAD dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kurang kakitangan untuk mengatasi masalah yang timbul, khususnya melibatkan kemalangan maut berpunca daripada lori dan bas. 

Selain itu, katanya, APAD tidak mempunyai anggota penguatkuasa sendiri dan perlu bengantung kepada pasukan penguatkuasa JPJ menunjukkan tiada penambahan dalam bilangan penguatkuasa untuk menjalankan operasi dan pemeriksaan. 

Jelasnya, ini berbeza dengan SPAD yang memiliki anggota penguatkuasa sendiri dan tidak dinaungi mana-mana kementerian, memberikannya kuasa mendakwa pesalah.

“Kalau menteri tak nak wujudkan (kembali) SPAD sekalipun, dia kena pastikan APAD diberikan lebih banyak kuasa dan ada penguatkuasaan yang lebih tegas,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pakar keselamatan jalan raya Law Teik Hua bersetuju, dan berkata sebuah badan bebas yang berkuasa perlu wujud menangangi peningkatan kemalangan maut.

Law memberi contoh National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) di Amerika Syarikat yang menjadi badan utama merancang dasar keselamatan jalan raya di mana agensi itu bebas daripada pengaruh politik dan bekerja secara langsung dengan penggubal dasar, syarikat automotif dan agensi keselamatan.

"Dengan langkah-langkah yang lebih terkoordinasi dan berstrategi, kita boleh mengurangkan kadar kemalangan dan menjadikan jalan raya di negara ini lebih selamat untuk semua pengguna,” Law, pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalanraya di Universiti Putra Malaysia, memberitahu MalaysiaNow.