Tahun 2025 tiba bersama kejutan untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di seluruh negara apabila mereka diancam dengan tindakan mahkamah sekiranya gagal melangsaikan segera hutang lama sehingga puluhan ribu setiap seorang, dalam apa yang dilihat sebagai satu lagi tindakan yang membelakangi janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan hutang lama pengajian terutama untuk golongan tidak berkemampuan.
MalaysiaNow menerima puluhan panggilan telefon dan email dengan bersertakan surat dihantar oleh PTPTN, termasuk kepada mereka sudah pun menamatkan pengajian lebih dua dekad yang lalu tetapi tidak bekerja, mempunyai pendapatan tetap ataupun mempunyai gaji minimum yang mewajibkan pembayaran balik.
Ramai yang berkongsi kegusaran mereka di media sosial dan memuat naik notis tunggakan yang diterima menerusi pos dan email sejak bulan lalu, sambil menyifatkannya "ugutan".
Mereka turut melihat amaran tindakan mahkamah dibuat secara rambang untuk "menakut-nakutkan" peminjam.
Komen di media sosial pula mengingatkan kerajaan dipimpin PH mengenai janji gabungan itu pada piihan raya umum yang lalu, yang antara lain menawarkan program pemansuhan hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40.
Ia juga berjanji menetapkan jadual pembayaran semula dilaksana berasaskan gaji bagi graduan baharu bermula RM4,000 dengan peratusan meningkat mengikut gaji.
Ada juga yang berkata mereka mengalami kesukaran mengakses aplikasi PTPTN selain tiada maklum balas terhadap permintaan untuk menetapkan semula kata laluan aplikasi.
“Bila cuba untuk log masuk aplikasi tak boleh dibuka dan kata laluan pula tak boleh dikemaskini walaupun dah ikut arahan yang diberi,” menurut Dayah dalam komennya di TikTok.
Majoriti peminjam berkata tuntutan segera oleh PTPTN untuk membayar hutang itu datang ketika mereka tertekan dengan kos sara hidup yang meningkat meskipun sudah bekerja dan makan gaji setiap bulan.
Antaranya ialah seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Mustaffa, yang menerima emel daripada PTPTN pada 19 Disember dengan amaran untuk melunaskan baki hutang RM4,600 dalam tempoh tiga minggu.
Menurutnya, dia sudah pun membayar balik RM10,000 melalui ansuran sehingga 2019.
"Saya terpaksa hentikan pembayaran kerana masalah ekonomi dan diberhentikan kerja dua bulan lepas," katanya yang mengambil pinjaman PTPTN pada 2010 untuk pengajian diploma.
Seorang lagi pemimjam, Nurul Syahirah, berkata dia menerima notis serupa pada 25 Disember meskipun hanya mempunyai tunggakan tunggakan untuk tempoh dua bulan bayaran sebanyak RM147.
Syahirah, yang mengambil pinjaman sebanyak RM14,000 untuk pengajian ijazah sarjana muda dari 2018 hingga 2021, telah setakat ini membayar RM3,500 secara ansuran.
Bagaimanapun, dia berhenti kerja dua bulan lalu untuk melanjutkan pelajaran menyebabkan tiada transaksi bayaran balik.
"Bila ada tunggakan, laju sahaja mereka minta tetapi bila kita sudah membuat pembayaran, agak lewat pengesahan dimaklumkan. Kadang-kala ambil masa seminggu baru saya dapat emel pengesahan bayaran," katanya kepada MalaysiaNow, sambil menambah dia sekarang perlu mencari jalan membayar yuran pengajian ijazah sarjana dengan kadar segera.
Surat amaran PTPTN itu turut dikepilkan dengan butiran pegawai yang perlu dihubungi untuk rayuan.
Percubaan MalaysiaNow menghubungi pegawai tersebut gagal, sementara masih cuba mendapatkan respons PTPTN dan Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir.
Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum ini berkata sejumlah RM32.29 bilion melibatkan kira-kira 2.7 juta peminjam berada dalam kategori "sepatutnya dibayar balik".
Menurut PTPTN, seramai 430,000 peminjam gagal membuat bayaran balik pinjaman berjumlah RM6 bilion.
Di bawah pentadbiran Barisan Nasional dulu, pembayaran balik hutang PTPTN dikecualikan kepada peminjam yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama, manakala mereka yang gagal bayar dimasukkan ke dalam senarai hitam untuk menyekat perjalanan ke luar negara.
Peminjam juga boleh menstruktur semula hutang mereka mengikut kemampuan, dengan tempoh pembayaran balik dilanjutkan sehingga umur 60 tahun, di samping ansuran bulanan minimum yang dikira berdasarkan 5% hingga 8% daripada pendapatan kasar.
Langkah itu tidak meredakan kempen PH untuk mendapatkan sokongan orang muda, di mana isu PTPTN menjadi topik utama ceramah kempen PRU sejak tahun 2013.
Beberapa pemimpin PH yang kini dalam Kabinet pernah menjanjikan pendidikan percuma untuk pengajian tinggi, di samping memansuhkan hutang PTPTN.
Antaranya, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, yang mendirikan khemah di Dataran Merdeka dalam demonstrasi menuntut penghapusan hutang PTPTN yang mendapat sokongan penuh pemimpin PKR.
Watak lain yang kerap menjadikan isu PTPTN sebagai fokus ucapan ialah Rafizi Ramli, kini menteri ekonomi, yang pernah berkata negara mampu menghapuskan hutang PTPTN dan menyediakan pendidikan tinggi percuma.
Bagaimanapun, dua tahun lalu, Rafizi berkata hutang PTPTN yang kini berganda menyebabkan idea itu tidak boleh dilaksanakan lagi.
"Sebaik saja melepasi angka tertentu, tiada apa lagi yang boleh dilakukan," katanya pada Februari 2023.
Selepas kejatuhan BN pada 2018, PH di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad menghapuskan sekatan perjalanan kepada 400,000 peminjam yang gagal bayar, selain menetapkan pembayaran kepada peminjam bergaji RM4,000 ke atas.
Bekas menteri pendidikan tinggi Mohamed Khaled Nordin sebelum ini mengumumkan tiada lagi pengecualian automatik bayaran balik pinjaman kepada graduan yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama.
Khaled juga berkata kerajaan tiada sebarang rancangan untuk memansuhkan hutang pinjaman PTPTN secara bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40, dengan alasan semua parti politik dalam kerajaan campuran tidak menawarkan janji sedemikian.