- Iklan -
Berita

Tugas polis bukan jaga imej kamu, Hannah Yeoh diberitahu

Ia di sebalik kritikan di media sosial berhubung penulisan pemimpin DAP itu yang menganggap dirinya 'duta Tuhan'.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Hannah Yeoh menunjukkan salinan laporan polisnya pada 31 Disember 2024, diiringi pegawai dan beberapa peguam.
Hannah Yeoh menunjukkan salinan laporan polisnya pada 31 Disember 2024, diiringi pegawai dan beberapa peguam.

Bersatu membidas langkah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh untuk memfailkan laporan polis bagi menutup kritikan susulan keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini menolak saman fitnahnya terhadap bekas ketua polis negara Musa Hassan berhubung kenyataan mengaitkan pemimpin DAP itu dengan pergerakan evangelis Kristian.

"Sejak bila tugas polis untuk menjaga nama baik menteri?" soal timbalan pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan parti itu, Sasha Lyna Abdul Latif.

"Mengapa membuang masa dan sumber terhad polis untuk melindungi reputasi peribadinya?"

Sasha turut mempersoalkan kehadiran peguam yang juga anggota Majlis Peguam untuk menunjukkan sokongan kepada Yeoh ketika membuat laporan polisnya.

"Ia bertentangan dengan pendirian Majlis Peguam sebelum ini bahawa Akta Hasutan mesti dihapuskan dan dimansuhkan serta-merta," katanya.

Menurutnya, Yeoh sepatutnya mengambil tindakan saman terhadap pengkritiknya jika merasakan dirinya difitnah, atau menjawab tuduhan terhadapnya melalui kenyataan awam.

"Daripada berdepan kritikan atau soalan orang ramai yang bimbang dengan dakwaan ideologi evangelis, beliau sebaliknya menggunakan polis untuk menutup mulut orang ramai dengan menggunakan alasan hasutan."

Sasha berkata dakwaan Yeoh bahawa pengkritiknya melakukan hasutan adalah tidak berasas.

"Di bawah Akta Hasutan 1948, kritikan terhadap mana-mana menteri tidak termasuk dalam kategori hasutan," katanya.

Pada 31 Disember, Yeoh membuat laporan polis sambil mendakwa terdapat "terlalu banyak hantaran di media sosial yang berbaur hasutan" berikutan keputusan mahkaman menolak samannya terhadap Musa.

Saman itu berkait komen dibuat Musa pada sebuah forum empat tahun lalu, di mana beliau didakwa menuduh Yeoh mempunyai kaitan dengan golongan evangelis yang boleh menggugat Islam di Malaysia.

Berikutan keputusan mahkamah itu, peguam Musa berkata Yeoh sendiri pernah mengaku dalam bukunya "Becoming Hannah" bahawa beliau "mengajar agama Kristian secara halus" di Malaysia sekembalinya dari pengajian di luar negara, di samping mengaku memainkan peranannya sebagai "duta Tuhan" dalam "menyebarkan ajaran Tuhannya melalui jawatan politik".

Beberapa petikan penulisan Yeoh yang menjadi sebahagian daripada hujah pembelaan kemudian tersebar luas di media sosial dan mencetuskan perdebatan mengenai kesesuaiannya untuk kekal dalam Kabinet.

"Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia demi untuk membetulkannya. Dia sedang mencari lelaki dan wanita bertaqwa yang sanggup menggulung lengan baju mereka dan bekerja dalam bidang yang sangat mencabar ini," menurut terjemahan petikan buku Yeoh.

Yeoh menyifatkan kritikan terhadapnya di media sosial didalangi "pelampau agama".

"Sepertimana yang telah berlaku berkali-kali dalam kerjaya politik saya, kepercayaan saya sekali lagi dijadikan senjata politik oleh pelampau-pelampau agama di luar sana," katanya.

Sementara itu, Sasha turut mempersoalkan dakwaan Yeoh bahawa kes fitnahnya terhadap Musa belum selesai disebabkan rayuan yang telah difailkan.

"Penghakiman Mahkamah Tinggi adalah sah, mengikat dan boleh dikuatkuasakan sehingga - dan melainkan - ia diketepikan semasa rayuan," katanya.

"Hannah mesti faham bahawa ini bukan penghakiman sementara atau sementara. Kegagalannya memahami perkara ini mengejutkan kerana beliau sendiri seorang peguam."

Sasha berkata Yeoh harus menerima hakikat bahawa sebagai pemimpin kerajaan, beliau perlu bersedia berdepan kritikan rakyat.

"Kadang-kadang kritikan itu mungkin keras atau tidak benar. Tetapi ia merupakan proses yang dihormati dalam negara demokrasi. Seorang pemimpin yang dipilih mesti memahami dan menerimanya, bukan menggesa polis menangkap pengkritiknya.

"Bukankah ini demokrasi yang dituntut Pakatan Harapan dan DAP apabila mereka turun ke jalan raya ketika menjadi pembangkang?"