- Iklan -
Berita

PPUM umum kenaikan caj pesakit, undang kritikan terhadap kerajaan

Hospital milik kerajaan itu berkata kenaikan harga itu disebabkan peralatan dan barang guna hapus.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pusat Perubatan Universiti Malaya yang dibiayai kerajaan, lebih dikenali sebagai Hospital Universiti, mengumumkan kenaikan caj dengan alasan peningkatan kos bekalan.
Pusat Perubatan Universiti Malaya yang dibiayai kerajaan, lebih dikenali sebagai Hospital Universiti, mengumumkan kenaikan caj dengan alasan peningkatan kos bekalan.

Salah sebuah hospital kerajaan yang terbesar di Lembah Klang mengumumkan kenaikan caj sehingga 70% melibatkan prosedur, rawatan dan perkhidmatan, langkah yang bakal memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), lebih dikenali sebagai Hospital Universiti atau UH, berkata kenaikan harga yang berkuatkuasa pada 1 Januari itu disebabkan "perubahan kepada kos bekalan guna hapus dan peralatan untuk caj sedia ada". 

"Bekalan guna hapus dan peralatan merupakan salah satu elemen dalam penetapan kadar caj rawatan di PPUM.

"Sebarang perubahan kepada kos bekalan guna hapus dan peralatan akan menyebabkan peningkatan kos yang perlu ditanggung oleh PPUM," menurut soalan lazim diterbitkan di laman web PPUM.

PPUM merupakan hospital pengajar yang menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai, dan diuruskan sebagai badan berkanun di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sambil menyifatkan kenaikan harga itu sebagai "semakan semula", PPUM berkata ia tidak berpunca daripada ketiadaan dana kerajaan.

Sebaliknya, ia berkata walaupun kerajaan kekal sebagai "sumber pembiayaan utama", pihak hospital "bertanggungjawab menjana pendapatan sendiri".

Menurutnya lagi, golongan berpendapatan rendah seperti B40 boleh memanfaatkan skim insurans perubatan kerajaan MySalam, selain merujuk kepada Jabatan Kewangan dan Jabatan Kerja Sosial untuk mendapatkan bantuan sekiranya layak.

Ketika laporan ini ditulis, butiran kenaikan tidak diterbitkan.

Bagaimanapun, akhbar berbahasa Cina Guanming Daily melaporkan, PPUM telah menaikkan caj bilik wad daripada RM120 kepada RM300, iaitu kenaikan 60%.

Manakala caj rawatan susulan di klinik pakar meningkat daripada RM15 kepada RM50 atau kenaikan 70%, sementara caj rawatan lain juga dinaikkan secara menyeluruh.

Tangkap layar kadar baharu itu telah disebarkan secara meluas di media sosial, mengundang kebanjiran kritikan menyasarkan kerajaan kerana gagal menyerap kenaikan kos yang dialami pihak hospital.

Ramai turut menyifatkan kenaikan terbaharu itu sebagai satu lagi contoh Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal memenuhi janjinya sebelum ini untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah, termasuk melalui penyediaan perkhidmatan kesihatan awam yang lebih murah.

Ketika dihubungi, seorang jurucakap PPUM mengesahkan kadar caj baharu yang dilaporkan Guanming diambil daripada notis yang disiarkan pada laman rasmi pusat perubatan tersebut.

Bagaimanapun, semakan MalaysiaNow mendapati notis bagi kadar cas baharu itu sudah tidak dapat diakses kecuali notis umum memaklumkan mengenai kenaikan.

Usaha MalaysiaNow mendapatkan pengesahan kenaikan caj serta perbandingan antara caj lama dan baharu juga tidak berjaya apabila Jabatan Kewangan PPUM memaklumkan tiada pegawai yang tersedia untuk menjawab soalan.