- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Mahathir: Umno larang ahli sertai perhimpunan Najib kerana jadi 'khadam' DAP

Bekas perdana menteri itu berkata DAP mahu menghalang sebarang kerjasama antara Umno dan PAS.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan Umno menghalang ahlinya daripada turut serta dalam perhimpunan anjuran PAS bagi menyokong rayuan Najib Razak berhubung titah adendum dalam pengampunannya menunjukkan parti Melayu itu bertindak sebagai "khadam" kepada DAP.

Pemimpin veteran itu mempersoalkan pemimpin Umno yang menggunakan kenyataan Istana Negara untuk mengharamkan ahlinya daripada menyertai perhimpunan tersebut, sambil berkata Yang di-Pertuan Agong tidak pernah melarang perhimpunan yang diadakan hari ini di luar Istana Kehakiman di Putrajaya.

Sebaliknya, Mahathir berkata bantahan terhadap perhimpunan itu datang daripada DAP, yang menentang sebarang kerjasama antara Umno dan PAS.

Sambil menyifatkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng sebagai "masih berbisa", Mahathir berkata pemimpin Umno bimbang disingkir daripada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan sekiranya ia rapat dengan PAS.

"Kerajaan tidak akan jatuh jika Umno disingkirkan. Tetapi nasib pemimpin Umno boleh terjejas apabila Umno bukan lagi dalam kerajaan.

"Inilah nasib Umno. Keselamatan pemimpin Umno bergantung kepada sertaan dalam kerajaan. Sokongan DAP diperlukan," katanya dalam catatan bertajuk "Umno kadam  DAP".

Beberapa pemimpin PAS ketika hadir di perhimpunan di luar kompleks mahkamah di Putrajaya hari ini.
Beberapa pemimpin PAS ketika hadir di perhimpunan di luar kompleks mahkamah di Putrajaya hari ini.

PAS hari ini mengerah ratusan ahlinya berhimpun di luar Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan semakan kehakiman Najib untuk memaksa Lembaga Pengampunan memberikan respons terhadap titah tambahan (adendum) yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Panel hakim membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lepas yang menolak kewujudan adendum tersebut.

Susulan keputusan hari ini, Perikatan Nasional berkata ada pihak yang sengaja menyembunyikan adendum itu, sambil mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau terikat dengan ikrar sumpah setia kepada Agong.

"Sebarang keingkaran, menyembunyi, atau menafikan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan penderhakaan besar kepada raja dan negara," kata ketua pembangkang dan timbalan pengerusi PN, Hamzah Zainudin.

Anwar sebelum ini berulang kali mempersoalkan dakwaan mengenai kewujudan titah tambahan oleh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika memegang jawatan Agong, sebaliknya berkata perkara itu hanya akan diputuskan oleh mahkamah, dalam apa yang dilihat sebagai percubaan menjauhkan diri daripada sebarang keputusan berhubung perkara itu.