- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Tak mungkin PM tak tahu wujud titah adendum, PN ingatkan Anwar selepas Najib menang rayuan

Ketua pembangkang berkata perdana menteri terikat dengan ikrar sumpah setia kepada Agong dan perlembagaan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim beberapa kali enggan mengesahkan kewujudan arahan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar Najib Razak menjalankan baki hukuman penjara di rumah.
Anwar Ibrahim beberapa kali enggan mengesahkan kewujudan arahan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar Najib Razak menjalankan baki hukuman penjara di rumah.

Perikatan Nasional mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau terikat dengan ikrar sumpah setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan perlembagaan, susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan semakan kehakiman oleh Najib Razak berhubung kewujudan titah tambahan (adendum) yang mengarahkan bekas pemimpin itu menjalani hukuman penjara di rumah.

Ketua Pembangkang yang juga timbalan pengerusi PN, Hamzah Zainudin berkata tidak mungkin seorang perdana menteri tidak mengetahui kewujudan titah tersebut, memandangkan beliau bertanggungjawab melaksanakan mana-mana titah Agong.

"Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini membuktikan ada pihak secara sengaja bertindak menyembunyikan titah adendum Yang di-Pertuan Agong dan mengkhianati prinsip berterus-terang (candour principle) yang sepatutnya dijunjung kerajaan," kata Hamzah beberapa jam selepas Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lepas yang menganggap kewujudan adendum itu adalah khabar angin semata-mata.

Hamzah Zainudin.
Hamzah Zainudin.

"Sebarang keingkaran, menyembunyi, atau menafikan titah Yang di-Pertuan Agong merupakan penderhakaan besar kepada raja dan negara," kata Hamzah.

Rayuan hari ini turut menyaksikan peguam Najib, Shafee Abdullah membacakan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah tambahan tersebut dalam rayuannya.

Surat bertarikh 4 Januari dihantar kepada anak sulung Najib, Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Terdahulu, pemimpin PN menyertai ratusan penyokong Najib di luar Istana Kehakiman di Putrajaya dalam menyatakan sokongan kepada rayuan bekas perdana menteri itu.

Titah adendum itu dikepilkan bersama-sama pengampunan separa yang dikurniakan kepada Najib awal tahun lalu oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Kewujudan dokumen itu dibangkitkan oleh Shafee yang menuduh kerajaan cuba menyorokkan titah Agong.

Anwar sebelum ini berulang kali mempersoalkan dakwaan mengenai kewujudan titah tambahan oleh Sultan Abdullah, sebaliknya berkata perkara itu hanya akan diputuskan oleh mahkamah, dalam apa yang dilihat sebagai percubaan menjauhkan diri daripada sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Pada 3 Januari, Istana Negara mengisytiharkan hanya Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong boleh membuat keputusan mengenai sebarang permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman penjara.

Kenyataan istana memberi isyarat bahawa Lembaga Pengampunan - yang turut dianggotai peguam negara dan menteri kerajaan - turut terlibat dalam memutuskan masa depan Najib sekiranya mahkamah rayuan memutuskan bahawa adendum itu wujud dan sah.