- Iklan -
Berita

Tumpuan beralih kepada Lembaga Pengampunan selepas kemenangan Najib isu titah adendum

Bekas perdana menteri menang dalam rayuannya memaksa Lembaga Pengampunan menjawab mengenai kewujudan arahan bekas Agong membenarkannya menjalani hukuman di rumah.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Anak Najib Razak, Nazifuddin memberi reaksi gembira ketika berdepan orang ramai termasuk penyokong pembangkang yang berhimpun menyokong bapanya di luar kompleks mahkamah di Putrajaya hari ini.
Anak Najib Razak, Nazifuddin memberi reaksi gembira ketika berdepan orang ramai termasuk penyokong pembangkang yang berhimpun menyokong bapanya di luar kompleks mahkamah di Putrajaya hari ini.

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan semakan kehakiman oleh bekas perdana menteri Najib Razak berhubung kewujudan titah tambahan (adendum) oleh bekas Yang di-Pertuan Agong supaya beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Dalam keputusan 2-1, panel tiga hakim membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lepas yang menolak dakwaan berkenaan kewujudan adendum yang dikepilkan bersama pengampunan separa yang diberikan kepada Najib.

Kemenangan Najib bermakna Lembaga Pengampunan dan lima responden lain perlu memberikan respon untuk mengesahkan kewujudan adendum itu.

Keputusan hari ini dibuat tiga hari selepas Istana Negara mengisytiharkan hanya Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Agong boleh membuat keputusan mengenai sebarang permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman penjara.

Di bawah perlembagaan, Agong diberi kuasa memutuskan pengampunan bagi banduan atas nasihat Lembaga Pengampunan, yang anggotanya juga terdiri daripada peguam negara dan menteri wilayah persekutuan.

Kenyataan istana memberi isyarat bahawa Lembaga Pengampunan turut terlibat dalam memutuskan masa depan Najib sekiranya mahkamah rayuan memutuskan bahawa adendum itu wujud dan sah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berulang kali mempersoalkan dakwaan mengenai kewujudan titah tambahan oleh Sultan Abdullah, sebaliknya berkata perkara itu hanya akan diputuskan oleh mahkamah, dalam apa yang dilihat sebagai cubaan untuk menjauhkan diri daripada sebarang keputusan berhubung perkara itu.