Pertumbuhan pesat pusat data di Malaysia ada kaitan dengan rancangan menaikkan kadar tarif elektrik yang diumumkan baru-baru ini, di mana pelbagai insentif yang diberikan kerajaan untuk menarik sektor yang banyak menggunakan tenaga itu akhirnya perlu ditanggung oleh pengguna, kata pakar.
Tenaga Nasional (TNB) baru-baru ini mengumumkan perubahan dalam kadar tarif elektrik bagi Semenanjung Malaysia mulai Julai tahun ini, menerusi pengumuman difailkan di Bursa Malaysia, yang mendapat perhatian apabila pemimpin kerajaan memberikan reaksi bercanggah.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata TNB belum diberi kelulusan untuk kenaikan tarif, manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula mendakwa sebarang kenaikan tarif tidak akan menjejaskan kebanyakan pengguna.
Seorang bekas timbalan gabenor Bank Negara Malaysia baru-baru ini menulis bahawa pengumuman TNB harus dilihat dalam konteks keperluan pelaburannya memandangkan syarikat luar negara kini semakin pantas mendirikan pusat data mereka di negara ini.
"Pelaburan yang dicari adalah sangat besar, melainkan kita pertimbangkan satu aspek ekonomi, iaitu lonjakan mendadak pusat data di negara ini," kata Sukudhew Singh.
Menjelang akhir tahun 2024, terdapat 54 pusat data di Malaysia dengan kapasiti IT 504.8 MW, malah lebih banyak lagi dirancang untuk meningkatkan kapasiti kepada 1,313 MW.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), pelaburan bernilai RM115 bilion dicatatkan dalam sektor pusat data antara 2021 dan 2023, di mana Johor Baharu muncul sebagai pasaran pusat data yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara.
Malaysia menjadi tarikan utama pusat data disebabkan kadar elektriknya yang murah, iaitu paling rendah di rantau ini.
Ini ditambah dengan langkah kerajaan mengecualikan cukai terhadap pusat data dan syarikat wilayah awan (Cloud).
Pengkritik bagaimanapun berkata penggunaan tenaga yang tinggi oleh pusat data memberikan kesan kepada alam sekitar, terutamanya tekanan kepada rangkaian grid kuasa dan bekalan air negara.
Oktober lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican mengakui pusat data tidak memberikan tambah nilai kepada Malaysia walaupun dengan modal yang besar.
Menurutnya, dasar menyambut baik pusat data perlu dikaji semula kerana pelaburan besar sektor itu tidak semestinya mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, di samping banyak menggunakan sumber elektrik dan air.
Ireland, Jerman, Singapura dan China merupakan antara negara yang mengenakan sekatan terhadap pembinaan pusat data baharu.
Sukudhew berkata Malaysia belum bersedia dari segi kapasiti air dan tenaga untuk menangani ledakan pusat data, di samping industri itu juga memberi tekanan kepada TNB untuk membina kapasiti seumpama itu.
"Sebaik-baiknya, kos pelaburan dalam kapasiti baharu harus dicerminkan dalam pengiraan kos sumber yang diperlukan pusat data," tulisnya dalam catatan LinkedIn.
Beliau berkata adalah menjadi amalan biasa menawarkan insentif untuk menarik pelaburan sedemikian, termasuk kadar air dan elektrik yang lebih rendah.
"Jika itu berlaku, TNB terpaksa mengalihkan kos kepada pengguna lain.
"Alternatifnya terbatas. TNB boleh membiayai pelaburan dengan pinjaman baharu, tetapi ia sudah terbeban hutang yang tinggi. Kerajaan boleh menyediakan pembiayaan, tetapi kerajaan juga dibebani hutang tinggi," katanya.
Mazli Noor dari Institut Pengarah Korporat Malaysia berkata laporan kewangan TNB menimbulkan persoalan mengenai aliran tunainya, di samping tiada dividen diisytiharkan.
Katanya, sekiranya benar pusat data mendatangkan keuntungan seperti yang didakwa, TNB harus beralih kepada pasaran hutang dan bukannya menaikkan tarif.
"Mereka masih boleh mengumpul dana daripada pasaran hutang untuk pusat data kerana membiayai projek ini memberikan potensi baharu yang cukup menguntungkan," katanya sambil menambah keuntungan daripada pusat data yang berdaya maju boleh membolehkan TNB mengumpul dana daripada pasaran hutang.
Pakar ekonomi Adilah Zafirah bersetuju, dan berkata sebagai syarikat tersenarai, TNB boleh menerbitkan saham atau bon.
“Malaysia perlu berhenti menawarkan sumber murah sebagai daya saingnya untuk menarik pelaburan asing,” kata Adilah dari Institut IRIS.
Beliau merujuk kepada Aspirasi Pelaburan Nasional yang dilancarkan pada Oktober 2022, yang bertujuan menarik pelaburan berkualiti berbanding industri yang terlalu banyak bergantung kepada sumber tenaga dan buruh.
"Kami perlu memperkemaskan keupayaan kami untuk berbuat demikian," katanya.