Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Majlis Peguam menghantar wakilnya sebagai pemerhati dalam perbicaraan kes dadah dan senjata api membabitkan seorang pemuda yang sedang menyaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas dakwaan serangan seksual.
Pertuduhan terhadap Muhammed Yusoff Rawther, 31, bakal dibicarakan pada 7 April.
Menurut ibu saudaranya, Fathima Idris, permohonan untuk menjadi peguam pemerhati itu dibuat sendiri oleh Majlis Peguam, dan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan tidak ada bantahan.
Fathima turut memaklumkan, peguam Yusoff, Rafique Rashid telah pun menghantar permohonan representasi ke Jabatan Peguam Negara supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Kes membabitkan Yusoff mendapat perhatian selepas timbul pelbagai tanda tanya mengenai cara beliau diserbu dan ditangkap sekumpulan anggota polis pada September tahun lalu.
Tangkapan itu dibuat seminggu selepas Yusoff memfailkan senarai saksi dalam samannya terhadap Anwar, yang bakal dibicarakan pada 16 Jun ini.
Yusoff dan ahli keluarganya telah membuat dua laporan polis dengan menamakan beberapa individu terkenal yang perlu disiasat. Polis masih belum membuat sebarang kenyataan mengenai status laporan itu.
Setakat hari ini, Majlis Peguam belum mengeluarkan kenyataan berhubung kes Yusoff, termasuk mengenai dakwaan pemuda itu menjadi mangsa penganiayaan orang yang berkuasa.
Yusoff, yang juga cucu aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Idris, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan memiliki dua pucuk pistol dan 305g ganja di dalam keretanya seperti didakwa polis.
Dia kini berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api.
Yusoff pernah bertugas sebagai bekas pembantu penyelidik Anwar di sebuah pejabat bungalow di Petaling Jaya pada 2018.
Tidak lama selepas itu, dia membuat laporan polis mendakwa presiden PKR itu secara seksual pada Oktober 2018, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang menyaksikan Anwar kembali ke Dewan Rakyat empat tahun selepas disabitkan kesalahan liwat.
Pada Julai 2021, Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar. Dia turut memfailkan saman sivil terhadap bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak selepas diserang secara fizikal. Dia juga menyaman setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah susulan kenyataan mengenai saman terhadap Farhash.