- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Gesa Najib diberi pengampunan penuh isyarat Umno di bawah Zahid semakin terhimpit selepas keputusan adendum

Ia di sebalik risiko bicara semakan kehakiman mendedahkan lebih banyak butiran mengenai kontroversi titah adendum yang dinafikan kewujudannya.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi didakwa cuba mengambil kredit susulan kejayaan Najib Razak mencabar pentadbiran Anwar Ibrahim yang menafikan kewujudan titah adendum berhubung pengampunan diraja.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi didakwa cuba mengambil kredit susulan kejayaan Najib Razak mencabar pentadbiran Anwar Ibrahim yang menafikan kewujudan titah adendum berhubung pengampunan diraja.

Tindakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya Najib Razak diberikan pengampunan penuh susulan keputusan Mahkamah Rayuan Isnin lalu lebih didorong oleh kebimbangan terhadap lebih banyak butiran akan terdedah dalam apa-apa perbicaraan mengenai titah adendum oleh bekas Agong supaya bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjara di rumah, kata seorang penganalisis.

Ia di sebalik pimpinan Umno dan puak yang menyokong Zahid cuba memposisikan parti itu sebagai pihak yang memperjuangkan keadilan untuk Najib, dalam mendepani ledakan kritikan terhadap pentadbiran Anwar Ibrahim yang selama ini menafikan kewujudan dokumen tambahan (adendum) yang dikepilkan bersama pengampunan diraja awal tahun lalu.

Pada Isnin, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman oleh Najib berhubung kewujudan adendum itu yang mengarahkan bekas pemimpin itu menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Zahid kemudian membuat kenyataan memohon Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi pengampunan penuh kepada Najib setelah keputusan diumum.

Bagaimanapun, bagi pemerhati politik Azizi Safar, walaupun Najib boleh membuat permohonan baru seperti dalam kenyataan Istana Negara baru-baru ini, beliau dijangka tidak akan mengambil langkah tersebut.

"Apabila kes semakan kehakiman mula dibicarakan, lebih banyak akan terdedah, lebih buruk kesan kepada kerajaan," katanya kepada MalaysiaNow.

"Kerajaan mahu elak isu ini terus dibicarakan di mahkamah terbuka, sebab itu mereka menawarkan Najib membuat permohonan pengampunan baru," katanya.

Isu adendum Najib meletakkan Umno dalam dilema apabila cuba mengimbangi dua peranan berbeza.

Penganalisis Muhammad Afifi Syeikh Abdul Razak berkata keputusan mahkamah pada Isnin lalu meletakkan Umno itu dalam kedudukan agak rumit.

"Di satu pihak, mereka perlu menunjukkan kesetiaan kepada bekas presiden Najib Razak, yang masih dianggap figura penting dalam parti.

"Di pihak yang lain, mereka juga perlu mempertahankan kredibiliti mereka sebagai sebahagian daripada kerajaan yang menjunjung prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik.

"Sebagai rakan komponen, Umno perlu mengimbangi antara kepentingan parti dan tanggungjawab kerajaan," kata Afifi, pensyarah politik dan hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia.

"Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila wujud persepsi bahawa kerajaan tidak telus dalam menangani isu berkaitan titah tersebut," katanya kepada MalaysiaNow.

Membela Najib dengan terlalu agresif bercanggah dengan naratif pembaharuan yang dibawa kepimpinan sedia ada.

Namun pendirian yang terlalu pasif, menurut Afifi, tidak disenangi sebahagian penyokong tegar parti.

Afifi berkata, apa yang bakal menjadi tumpuan ialah bagaimana Umno menangani situasi tersebut dalam jangka masa panjang.

"Parti itu perlu bijak dalam membuat keputusan sama ada untuk terus memperjuangkan isu Najib atau mengambil pendekatan yang lebih pragmatik demi kepentingan politik semasa mereka," katanya.

Bagi Azizi pula, Umno menjadi "bahan lawak" sejak menghalang ahli parti daripada menyertai himpunan solidariti terhadap Najib di Putrajaya.

Menurutnya, ramai ahli Umno yang tidak bersetuju dengan tindakan Zahid memberi amaran kepada ahli Umno untuk menanggung risiko sendiri jika menghadiri himpunan itu yang turut dihadiri pimpinan Perikatan Nasional.

Pada masa masa, Umno cuba mengambil kredit memperjuangkan nasib bekas presidennya.

"Beberapa orang pemimpin Umno menunggang kes Najib untuk kepentingan politik mereka sendiri sahaja," kata Azizi, yang juga bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional Pulau Pinang.

"Presiden Umno pula mahu mengambil kredit ekoran afidavit sokongan untuk rayuan Najib," katanya.

Tambah Azizi, tidak semua ahli Umno menerima mesej yang cuba disampaikan Zahid.