- Iklan -
Berita

Tiong digesa jelaskan ketiadaan masjid dalam montaj Tahun Melawat Malaysia 2026

Ramai mempersoalkan mengapa rumah ibadat bukan Islam dipaparkan tetapi bukan masjid.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Sebuah klip video sempena pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 telah mengundang kritikan kerana tidak memaparkan masjid seperti mana rumah ibadat bukan Islam, dalam apa yang menyerupai kontroversi melibatkan Festival George Town tahun lepas.

Video berdurasi 41 saat itu dimuat naik dalam Facebook Tourism Malaysia pada 6 Januari, dan antara lain menunjukkan sebuah gereja dan kuil Hindu di samping mercu tanda lain yang meraikan kepelbagaian.

Bagaimanapun, ramai menyatakan rasa tidak puas hati kerana ia tidak menunjukkan identiti agama majoriti penduduk di Malaysia.

"Mengancam untuk menghapuskan identiti Islam negara?" soal Kamarul Ariffin dalam reaksinya.

"Ini ada idea, klip itu boleh jadi menarik lagi dengan memasukkan beberapa botol arak dan jenama seperti Jack Daniel's, Chivas atau Black Label sebagai simbol negara kita?" katanya dalam nada sindiran.

Ramai yang mengkritik klip itu berkata masjid Malaysia terkenal kerana seni bina yang cantik.

"Semoga salah satu masjid daripada 100,000 buah masjid di Malaysia akan dimasukkan ke dalam video montaj penuh nanti," kata Ikhwan Ibrahim.

Ahmad Aiman ​​melahirkan rasa terkejut kerana tiada satu pun masjid bersejarah di negara ini mendapat tempat dalam video tersebut.

"Saya rasa ini tidak wajar dan tidak sesuai agenda Malaysia Madani hari ini. Penjelasan perlu diberikan, kenapa video 41 saat tak boleh letak beberapa saat masjid?" soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Radzi Jidin menuntut penjelasan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing.

Ketika dihubungi, setiausaha akhbar kepada Tiong berkata rumah ibadat bukan Islam yang digambarkaàn dalam klip itu adalah tarikan pelancong, memberikan contoh kuil Batu Caves yang turut dipaparkan.

"Tapi ada silat," kata Ross Sia Wan Teng, sambil menambah bahawa penjelasan rasmi akan dikeluarkan.

Klip montaj itu ditayangkan semasa pelancaran rasmi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Sepang pada 6 Januari.

Kritikan yang mengiringi video itu menyerupai  kontroversi melibatkan Festival George Town 2024 anjuran kerajaan Pulau Pinang tidak lama dulu.

Video selama dua minit untuk pesta tahunan itu dikecam umat Islam dan pakar sejarah, yang mendakwa ia cuba mengenepikan warisan Melayu-Islam dalam menggambarkan kepelbagaian budaya di Pulau Pinang.

Susulan itu, penganjur menurunkan video itu, sambil menyatakan rasa kesal sekiranya klip itu "menyinggung sesetengah individu atau kumpulan".

"Sebenarnya, kesemua perancangan dan promosi George Town Festival 2024 telah mencuba sedaya upaya untuk memastikan perwakilan yang inklusif, lengkap dan seimbang, termasuk dari segi kategori program, kumpulan jantina, umur dan perwakilan etnik dalam semua program George Town Festival," kata George Town Festival.

MalaysiaNow ketika itu melaporkan bahawa daripada 24 staf penganjur dari sebuah syarikat swasta yang menguruskan festival itu, hanya seorang berketurunan Melayu.

Pakar sejarah Ahmad Murad Merican pula mengecam video itu sebagai contoh usaha menghapuskan warisan Melayu-Islam di Pulau Pinang.

"Ini adalah satu pencerobohan, penindasan budaya dan memori yang amat serius sekali," katanya kepada MalaysiaNow.