Belum reda kontroversi video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mengundang kemarahan orang ramai kerana memaparkan kepelbagaian tanpa memasukkan elemen identiti Islam, logo rasmi kempen pelancongan kerajaan yang memaparkan maskot beruang matahari kini mula dipersoalkan orang ramai.
Ramai berkongsi komen di media sosial mempersoalkan pemilihan binatang itu yang tidak pernah dikaitkan dengan identiti Malaysia mahupun sebagai tarikan pelancong ke negara ini.
Malah ada juga yang menyindir sama ada ia lebih didorang untuk menarik pelancong dari China, disebabkan beruang matahari lebih menyerupai dari segi fizikal dengan panda.
Pengkritik mempersoalkan menteri bertanggungjawab, Tiong King Sing, yang sebelum ini menjadi sasaran disebabkan promosi agresifnya untuk membawa masuk jutaan pelancong dari Tanah Besar itu.
Mereka turut mempersoalkan mengapa harimau Malaya atau orang utan, yang lebih sinonim dengan warisan semulajadi Malaysia, tidak dipilih.
Mereka mendakwa naratif di sebalik maskot beruang itu tidak mencerminkan keunikan Malaysia.
"Ini spesies yang jarang ditemui, susah nak jumpa. Kalau pelancong datang nak tengok pun silap-silap kena melawat zoo dulu tapi kita datang zoo pun macam tak pernah jumpa,” tulis Izam Abd Rahman di Facebook.
"Kenapa mesti beruang? Kita semua kenal dengan harimau, beruang ni maskot negara mana?" soal Aameir Nien.
Mereka yang mempertahankan pemilihan beruang matahari sebagai maskot berkata haiwan itu wujud di Borneo, dan Malaysia mempunyai tanggungjawab menjaga dan memulihara spesis terancam itu.
Bagaimanapun, bekas pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong, berkata beliau memahami kritikan orang ramai, sambil menambah beruang matahari bukanlah spesis yang banyak terdapat di Borneo.
Katanya, haiwan tersebut lebih dikenali di negara seperti Laos dan Vietnam, dan tidak sesuai dijadikan ikon pelancongan negara.
"Sebelum ini, kita guna burung enggang dan orang utan untuk menunjukkan kekayaan biodiversiti hutan hujan tropika di Malaysia,” katanya kepada MalaysiaNow.
Menurut Wee, yang mengetuai Tourism Malaysia dari 2015 hingga 2017, bukan sahaja haiwan seperti beruang lebih dikaitkan dengan China yang terkenal dengan panda, tetapi penggunaannya sebagai maskot akan hanya membataskan pasaran pelancongan yang cuba diraih Malaysia.
"Orang yang suka hidupan liar dan spesies terancam, mereka akan pergi ke negara yang lebih terkenal dengan perkara itu berbanding ke Malaysia.
"Di Malaysia ini, hidupan liar pun bukannya dikenali sangat," katanya, sambil berkata peruntukan ratusan juta mempromosi pelancongan perlu digunakan sebaiknya, sementara usaha berkait kehidupan liar terancam seeloknya diserahkan kepada badan yang relevan.