Ramai meluahkan rasa kesal dengan kenaikan tambang bas sekolah antara RM200 hingga RM250 perjalanan sehala bagi tahun persekolahan akan datang, langkah yang membebankan keluarga di kawasan bandar yang ibu bapanya bekerja sepenuh masa dan terpaksa mendapatkan perkhidmatan pengangkutan untuk anak mereka.
Ada juga yang mencari alternatif lain yang lebih murah, meskipun menyedari risiko keselamatan dan keselesaan anak-anak.
Penduduk Putrajaya Khairul Anwar Razimi, bapa kepada tiga orang anak yang bersekolah rendah dan menengah, membayar RM600 sebulan bagi perkhidmatan bas sekolah sepanjang tahun lalu.
Dia dimaklumkan kenaikan RM30 bagi setiap seorang bermula bulan depan.
Katanya, kenaikan itu amat besar untuk ditampung, malah hampir sama dengan harga bayaran ansuran kereta yang dipandunya untuk ke tempat kerja.
Khairul dan isteri kini mempertimbangkan mengupah pemandu e-hailing secara bulanan untuk menghantar anak mereka ke sekolah, namun bayaran yang dikenakan nampaknya bukan jalan penyelesaian, selain isu keselamatan yang menjadi kebimbangan.
"Setakat ini, kami berbincang dengan anak sulung yang akan masuk Tingkatan 5 untuk tumpang motosikal kawannya untuk pergi dan balik sekolah.
"Kami akan bayar duit minyak dan upah tambahan untuk kawannya itu jika dia boleh memenuhi permintaan kami ini sebab tinggal setahun sahaja lagi anak sulung bersekolah," katanya kepada MalaysiaNow sambil menambah peruntukan sebanyak RM1,500 pun masih belum mencukupi untuk menampung belanja ketiga-tiga anaknya bersekolah.
Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) mempertahankan keputusan menaikkan tambang, dan berkata ia dibuat selepas perbincangan awal pihak pengusaha dan ibu bapa.
Kenaikan itu lebih enam bulan selepas kerajaan menarik balik subsidi pukal bagi diesel, bahan api yang digunakan oleh kebanyakan bas sekolah.
Nurdayani, seorang operator van sekolah di Kota Damansara dan Taman Tun Dr Ismail berkata, rasionalisasi di sebalik kadar baru tambang itu adalah bagi menampung kenaikan harga diesel.
"Kenaikan itu juga termasuk caj mengambil murid-murid daripada aktiviti petang di sekolah. Jadi kenaikan hanya untuk murid yang ada aktiviti petang seperti kokurikulum dan latihan sukan.
"Tiada kenaikan harga untuk murid darjah 1 hingga 3," katanya yang menggunakan kenderaan jenis Hyundai Starex yang menggunakan diesel.
Nurdayani mendakwa kenaikan harga daripada RM200 ke RM220 (sehala) dibuat atas persetujuan ibu bapa.
Beberapa penjawat kerajaan berkata tiada guna kenaikan gaji diberikan jika kos sara hidup melebihi kemampuan mereka.
Seorang pegawai kerajaan yang mahu dikenali sebagai Rohayu berkata, kenaikan harga tambang bas sekolah tidak sepatutnya berlaku memandangkan para pengusaha masih membayar diesel pada harga subsidi.
Bagi pakar pendidikan Anuar Ahmad, kenaikan harga tambang bas tidak boleh dipandang rendah.
"Jangan terkejut kalau ada murid miskin yang terpaksa ponteng sekolah atau kemungkinan ada murid miskin yang terus tercicir dari sekolah kerana ibu bapa mereka sudah tidak mampu menanggung kos kenaikan tambang bas ke sekolah," kata pensyarah kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia itu dalam Facebook baru-baru ini.
"Bayangkan keluarga miskin mempunyai dua atau tiga orang anak yang menggunakan bas sekolah setiap hari?"