Kementerian Kesihatan (KKM) mempertikaikan hantaran tular di media sosial yang mendakwa salah seorang pegawai tertinggi kementerian itu menimbulkan kekecohan kerana tidak mendapat layanan istimewa di zon kecemasan Hospital Putrajaya baru-baru ini.
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Kuala Lumpur & Putrajaya mengesahkan pegawai itu hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu pada 4 Januari lepas, tetapi menganggap apa yang digambarkan dalam hantaran itu sebagai "tidak berasas".
"Naratif yang disampaikan disyaki berniat untuk memburukkan nama baik dan menjatuhkan kredibiliti pegawai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut aduan tular itu, pegawai itu dilayani oleh kakitangan hospital sebelum situasi menjadi kecoh apabila beliau bertegas mahu berjumpa ketua jabatan.
"Kurang daripada lima minit kemudian, dia keluar dengan marah dan mencetuskan kekecohan yang mengganggu keseluruhan operasi Jabatan Kecemasan.
"Apa yang berlaku selepas itu adalah sesuatu yang sangat mengecewakan. Pihak pengurusan terpaksa menghentikan segala tugas untuk menangani aduannya yang tidak berasas. Punca kemarahannya? Dia tidak berpuas hati kerana tidak dilayan sebagai VVIP," menurut hantaran itu yang turut menamakan pegawai berkenaan.
"Daripada menangani isu sebenar seperti beban kerja doktor dan kakitangan perubatan yang semakin meningkat, masa dan sumber dibazirkan untuk melayan kehendak seorang 'Little Napoleon' yang berasa dirinya istimewa.
"Ini amat memalukan, lebih-lebih lagi apabila kakitangan bawahan kini diambil tindakan kerana gagal 'mengenali' statusnya," menurut aduan itu.
MalaysiaNow sedang menghubungi pegawai berkenaan untuk mendapatkan reaksi.