- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Cadangan kerajaan perkenal akta benih dibantah di sebalik kebimbangan mangsakan petani, untungkan korporat

RUU Kualiti Benih Tanaman bakal meningkatkan kos pertanian, harga makanan seterusnya membebankan golongan berpendapatan rendah, kata sebuah badan mewakili lebih 150 pertubuhan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pekebun dan petani kecil antara yang bakal menjadi mangsa sekiranya kerajaan meneruskan hasrat memperkenalkan Akta Kualiti Benih Tanaman yang dibimbangi akan menguntungkan golongan korporat mengawal jenis benih.
Pekebun dan petani kecil antara yang bakal menjadi mangsa sekiranya kerajaan meneruskan hasrat memperkenalkan Akta Kualiti Benih Tanaman yang dibimbangi akan menguntungkan golongan korporat mengawal jenis benih.

Sebuah pertubuhan yang menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pemandu Kementerian Ekonomi mengenai matlamat pembangunan lestari (SDG) membantah cadangan kerajaan memperkenalkan Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman, sambil memberi amaran ia bakal mendatangkan kesan buruk kepada industri makanan negara selain memangsakan petani dan pekebun kecil di mana nasib mereka akan bergantung kepada golongan korporat yang mengawal pasaran.

"Petani yang kini menyimpan dan berkongsi benih akan dipaksa membeli benih komersial yang mahal dan diluluskan korporat," kata Pakatan CSO-SDG yang diwakili lebih 150 persatuan dan badan bukan kerajaan.

"Kos tinggi ini akan dibebankan kepada pengguna, meningkatkan harga makanan dan menambah beban isi rumah berpendapatan rendah."

Kerajaan berkata RUU itu bertujan mengawal pengeluaran pensijilan dan pengedaran benih, langkah yang memberi risiko kepada amalan menyimpan benih tradisional di kalangan masyarakat luar bandar. 

CSO-SDG berkata RUU yang akan menyekat amalan menyimpan benih terutama oleh pekebun kecil di Sabah dan Sarawak bakal mendorong golongan itu ke kancah kemiskinan. 

RUU itu mendapat tentangan sejak 2019, apabila menteri pertanian di bawah kerajaan Pakatan Harapan ketika itu, Salahuddin Ayub, berkata Akta Benih Tanaman akan digubal untuk mengawal dan menangani pengedaran benih padi tidak sah di pasaran. 

Ekoran itu, Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan Untuk Kelestarian, memberi amaran akan berlaku monopoli yang menguntungkan syarikat swasta sekiranya hanya beberapa jenis benih diluluskan.

RUU itu kini dijenamakan semula sebagai RUU Kualiti Benih Tanaman.

Mohamad Sabu.
Mohamad Sabu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata ia akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pakatan CSO-SDG berkata RUU itu tidak diperlukan kerana objektif sama boleh dicapai menerusi perundangan sedia ada seperti Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 dan Akta Perlindungan Pengfuna 1999. 

"RUU ini bukan sahaja memberi kesan kepada petani. Ia mengancam keupayaan Malaysia untuk menyedia makanan yang mampu milik, mampan, dan berdaya tahan untuk semua," katanya.

Ia menggesa kerajaan melindungi kumpulan petani dan pekebun kecil untuk menyimpan berkongsi dan bertukar benih tanpa sekatan. 

"Pastikan sistem warisan pertanian, termasuk benih pusaka, tradisi, dan amalan budaya kekal untuk kedaulatan makanan dan generasi masa depan Malaysia," katanya, sambil menggesa kerajaan mencontohi amalan di India dan Australia yang melindungi kepentingan petani kecil tempatan.