- Iklan -
Berita

'Mereka tidak bersalah': Pasangan warga emas bimbang masa depan dua anak tanpa kerakyatan diabaikan ibu

Noraini Hasan dan Zubir Ramli nekad mahukan kanak-kanak itu mendapat pendidikan formal.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Zubir Ramli dan isteri Noraini Hasan mengajar Muhammad Ziqri dan Fatihah Qaisara, yang dijaga mereka selepas ibu mereka menghilangkan diri, dan yang merupakan antara ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan yang tidak dibenarkan mendapat pendidikan formal.
Zubir Ramli dan isteri Noraini Hasan mengajar Muhammad Ziqri dan Fatihah Qaisara, yang dijaga mereka selepas ibu mereka menghilangkan diri, dan yang merupakan antara ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan yang tidak dibenarkan mendapat pendidikan formal.

Sepasang suami isteri yang cekal menjaga dua orang anak tanpa kerakyatan kini bimbang dengan nasib dan masa depan mereka yang sehingga hari ini tidak dibenarkan bersekolah kerana tiada kad pengenalan.

Noraini Hasan, 56, bersama-sama suaminya, Zubir Ramli, 54, menetap di sebuah pangsapuri dan telah menjaga dua orang kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa mereka sejak lahir.

Muhammad Ziqri merupakan anak kepada bekas pekerja Noraini, seorang warga Indonesia.

- Iklan -

"Saya telah mengenali ibunya dalam tempoh yang lama. Dia meminta saya menjagakan anaknya sementara mahu pulang ke Indonesia untuk urusan pasport.

"Tetapi dia tidak kembali dan kami telah banyak kali cuba menghubunginya," katanya kepada MalaysiaNow.

Status tanpa kerakyatan Muhammad Ziqri dan Fatiha Qaisara menyebabkan mereka tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain, dan sering menghabiskan hari mereka di taman permainan berhampiran.
Status tanpa kerakyatan Muhammad Ziqri dan Fatiha Qaisara menyebabkan mereka tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain, dan sering menghabiskan hari mereka di taman permainan berhampiran.

Ziqri, 8, sepatutnya telah memasuki alam persekolahan darjah dua. Namun kerana ketiadaan kad pengenalan, sekolah menjadi sesuatu yang asing buat anak itu.

Seorang lagi, Fatiha Qaisara, kini berusia sembilan tahun dan hanya mengikut kelas di sekolah agama pada waktu petang.

Menurut Noraini, Fatiha bernasib baik kerana sekolah itu mempunyai kekosongan dan dia berjaya mendaftarkan kanak-kanak itu.

Namun Ziqri kurang bernasib baik kerana sekolah itu tidak mempunyai kekosongan buat masa ini.

Fatiha ditinggalkan ibu kandungnya yang juga anak saudara kepada Zubir semasa di hospital. Ibunya yang juga tidak memiliki dokumentasi, pulang ke kampung dan sehingga kini tidak boleh dihubungi.

- Iklan -

Noraini yang membantu di kedai makan milik anaknya berkata, dia gusar memikirkan masa depan kedua-dua kanak-kanak tersebut.

"Setiap pagi selepas mandi, mereka akan mengikuti saya ke kedai. Kadang-kadang ke taman permainan berhampiran. Di sinilah mereka menghabiskan waktu-waktu pagi mereka padahal mereka sepatutnya ke sekolah. 

"Memang sedih memikirkan nasib mereka nanti," katanya dengan linangan air mata.

Ziqri dan Fatiha juga tidak berkesempatan untuk mengikuti tadika kerana tiada tadika yang mahu menerima kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Akibatnya, Noraini berkata mereka berusaha mengajar sendiri kanak-kanak tersebut.

stateless_NorainiZubir3_Ziqri_20250210_mnow"Mereka boleh mengeja tetapi tidak boleh membaca dengan baik. Begitu juga dengan kemahiran menulis dan mengira yang masih lemah berbanding kanak-kanak lain.

"Banyak kali juga mereka bertanya bilakah mereka boleh bersekolah. Saya tiada jawapan," katanya.

Cerita wanita itu, dia dan suami pernah bertemu dengan para pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Pendidikan, namun usahanya tidak berjaya.

- Iklan -

"Sebelum ini, ada pegawai Kementerian Pendidikan berjanji mahu membantu ketika sesi sekolah hampir dibuka, namun apabila kami datang semula, pegawai lain pula tidak membenarkan anak-anak ini bersekolah kerana tiada kad pengenalan.

"JKM meminta kami membuat hebahan media. Sekiranya tiada waris yang datang menuntut dalam tempoh sebulan, barulah mereka akan membantu untuk anak-anak ini bersekolah," ujarnya.

stateless_NorainiZubir4_20250210_mnowZubir berkata, dia sepakat dengan isteri untuk menyekolahkan Ziqri di kampungnya di Taiping, Perak jika permohonan mereka berjaya.

"Saya akan pulang ke kampung untuk mengerjakan kebun keluarga kerana sukar mendapat pekerjaan di sini kerana saya sudah berusia.

"Fatiha akan terus menetap di sini kerana anak-anak saya yang lain membantu menjaganya," ujar Zubir yang dahulu bekerja sebagai pemandu lori.

Ditanya mengapa mereka sanggup menjaga kanak-kanak itu, kata Zubir mereka tidak sampai hati untuk mengabaikan anak-anak yang tidak bersalah itu.