'Dari monopoli kepada oligopoli'? Pakar dedah butiran firma pilihan Loke untuk bersaing dengan Puspakom
Kritikan semakin bertambah selepas kerajaan cuba mempertahankan pelantikan tiga syarikat yang diberikan lesen pemeriksaan kenderaan walaupun tanpa pengalaman sektor tersebut.
Terkini
Seorang pengkritik yang terkenal dalam merungkai penipuan sektor korporat di Malaysia berkata monopoli tiga dekad Puspakom kini berisiko digantikan oleh oligopoli yang diwarnai kronisme dan syarikat ala "Alibaba".
Ia di sebalik Menteri Pengangkutan Anthony Loke mempertahankan keputusan beliau melantik tiga syarikat menjalankan pemeriksaan kenderaan bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), susulan kritikan hebat orang ramai dan pengguna media sosial mengenai latar belakang dan pengalaman perniagaan pemain baharu.

Aliff Ahmad, pengasas bersama SCRUT, platform yang membantu orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan syarikat kereta terpakai dan import, menyifatkan nama tiga syarikat yang dilantik oleh Loke untuk memecahkan monopoli Puspakom sebagai "kelakar" kerana bunyinya seperti syarikat "Alibaba", jolokan kepada perniagaan bukan Melayu yang meletakkan orang Melayu di barisan depan dalam aktiviti komersial mereka.
Bagaimanapun, lebih serius lagi menurut Aliff ialah syarikat itu tidak mempunyai pengalaman dalam pemeriksaan kenderaan, iaitu sesuatu yang melanggar garis panduan dikeluarkan kementerian Loke sendiri pada April 2024.
Mengikut garis panduan Kementerian Pengangkutan mengenai syarat-syarat kelayakan/perkhidmatan dan prosedurpemberian lesen pemeriksaan kenderaan, pemohon hendaklah "mempunyai kepakaran dalaman dalam bidang perkhidmatan berkaitan dan mampu membangunkan satu standard/prosedur pemeriksaan dalaman berpandukan kepada undang-undang / peraturan-peraturan semasa yang ditetapkan oleh JPJ".
Aliff menolak alasan diberikan pengarah Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam mempertahankan pelantikan tiga syarikat itu oleh Loke.
Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, bekas ketua pegawai eksekutif Tabung Haji yang baru-baru ini dilantik sebagai ahli lembaga SC, berkata "syarikat tujuan khas", atau SPV, merupakan perkara biasa di mana seorang ahli perniagaan boleh menggabungkan tiga syarikat di bawah sebuah SPV untuk memenuhi syarat mendapatkan lesen pemeriksaan kenderaan.
Bagaimanapun, Aliff berkata matlamat utama adalah untuk menamatkan monopoli.
"Tetapi, naratif yang dimainkan kepada rakyat marhaen adalah monopoli berjaya ditamatkan, hakikatnya ia diberi kepada kroni. Ia diberi kepada mahakaya. Ia tidak memecahkan monopoli, tetapi ditukar kepada oligopoli," katanya.
Loke baru-baru ini menamakan Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd dalam fasa pertama rancangan menamatkan monopoli Puspakom, iaitu matlamat yang menjadi keutamaannya sejak kembali menerajui Kementerian Pengangkutan pada 2022.
Antara kritikan yang ditimbulkan ialah Wawasan Bintang merupakan sebuah syarikat yang hanya ditubuhkan pada Jun tahun lalu.
Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Marwiyah Marwi, Noriah Mohd Said dan Idris Mohd Noh dinamakan sebagai pemiliknya, di mana ketiga-tiga individu itu sama memegang sejumlah 20 juta saham.
Sementara itu, rekod pendaftaran Pakatan Petroleum menyatakan perniagaannya dalam bidang "petroleum, gas serta produk-produk berkaitan", manakala Beriman Gold pula terlibat dalam kerja-kerja pembinaan, telekomunikasi, multimedia dan pembekalan sistem keselamatan dan peralatan IT.
Aliff berkata, tiga pemegang saham Wawasan Bintang - Idris, Marwiyah dan Noriah - masing-masing berumur 70, 54 dan 69, merupakan individu yang tidak dikenali dalam dunia korporat.
Semakannya mendapati Marwiyah, yang mempunyai pegangan RM7 juta dalam syarikat itu, tidak memiliki syarikat sendiri dan tidak mempunyai pengalaman dalam dunia automotif atau korporat.
Beliau seterusnya berkata Noriah disenaraikan sebagai pengarah dalam tiga syarikat, sambil menambah wanita itu dikaitkan dengan pengarah Handal Ceria Sdn Bhd, sebuah syarikat yang membekalkan JPJ dengan plat nombor kenderaan EV, melalui syarikat lain.
Carian MalaysiaNow mendapati Rozlan Abu Bakar, bekas pengarah Handal Ceria, kini menjadi pengarah Handal Indah, sebuah syarikat pengangkutan bas awam di Johor.
Rozlan, yang merupakan ahli jawatankuasa Umno Pasir Gudang, dikaitkan dengan Noriah melalui Prasarana Hijau Sdn Bhd, di mana Noriah merupakan pengarah dan Rozlan seorang pemegang saham.
Sementara Idris pula, kata Aliff, mempunyai pegangan saham dalam Saujana Antara Sdn Bhd, di mana ia merupakan pemegang saham dalam syarikat logistik SBS Transport Sdn Bhd.
Menurut Aliff, ia menimbulkan persoalan tentang konflik kepentingan.
"Tapi, tauke syarikat logistik yang banyak lori, tak konflik ke?" soalnya.
Aliff dalam catatan panjang turut melakarkan rajah untuk menunjukkan apa yang didakwanya sebagai rangkaian hubungan antara individu yang terlibat dalam tiga syarikat itu, khususnya penglibatan mereka dalam syarikat lain.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.