- Iklan -
Berita

Harga lantai padi RM1,500 masih tak selesaikan masalah kami, kata pesawah

Kumpulan pesawah berkata tuntutan asal mereka munasabah di sebalik kenaikan kos.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Ratusan pesawah berhimpun di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 27 Januari 2025 menuntut kenaikan harga lantai padi kepada RM1,800.
Ratusan pesawah berhimpun di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 27 Januari 2025 menuntut kenaikan harga lantai padi kepada RM1,800.

Kumpulan pesawah mempertikaikan keputusan menetapkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa 16 Februari ini, menyifatkannya tidak menyelesaikan masalah kenaikan kos sejak penarikan balik subsidi diesel tahun lalu.

Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) menegaskan tuntutan mereka sebelum ini supaya harga lantai padi dinaikkan kepada RM1,800 sebagai munasabah dan berasas. 

Katanya bukan sahaja subsidi yang dijanjikan masih belum diterima pesawah walaupun selepas dua musim tuai sejak kenaikan harga diesel, kos benih yang turut dikawal kerajaan di pintu kilang juga kekal menjadi masalah.

- Iklan -

"Tak adil untuk pesawah kena tanggung kos semata-mata nak bagi rakyat makan beras murah sedangkan penjawat awam dah naik gaji dan gaji minima pekerja pun dah naik, tetapi beras masih murah seperti harga 17 tahun dulu," kata Pengerusi Pesawah, Abdul Rashid Yob kepada MalaysiaNow.

Rashid menyeru Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu untuk meneliti semula tuntutan pesawah dan mengambil langkah yang lebih konkrit bagi membantu mereka.

Mohamad hari ini turut mengumumkan keputusan kerajaan mengekalkan harga mekanisme beras putih tempatan pada kadar RM2.60 per kg. 

Katanya, kerajaan akan membelanjakan kira-kira RM150 juta kepada pihak pengilang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sepanjang tempoh itu juga, tambahnya, sebanyak 24 juta kampit 10 kg beras putih yang berharga RM26 akan berada di pasaran.

"Pengumuman ini diharap dapat menjadi solusi menang-menang kepada pesawah, pengilang dan pengguna," kata Mohamad.

Bagaimanapun, Rashid meminta kerajaan memberikan insentif tunai sebanyak RM300 kepada pesawah sebagai tambahan harga lantai padi RM1,500 yang diumumkan. 

- Iklan -

Beliau juga meminta harga kawalan benih padi diturunkan daripada RM58 kepada RM35, iaitu harga asal benih padi sebelum ianya dinaikkan pada Mac tahun lalu. 

Menurut Rashid, pesawah hanya menerima 20% daripada subsidi bernilai berbilion ringgit untuk industri itu, iaitu dalam bentuk insentif harga padi.

Manakala subsidi lain yang disebutkan oleh menteri diterima pihak pembekal yang membekalkan benih, input pertanian dan servis jentera. 

Rashid berkata, subsidi padi bukan sekadar ihsan kerajaan, tetapi satu kewajipan kerana kerajaan mengawal harga beras.

"Kami berharap, pihak kerajaan dapat mendengar dan memahami rintihan kami. Kami adalah tulang belakang pengeluaran makanan negara. 

"Jika kami tidak diberikan sokongan yang sewajarnya, bagaimana mungkin kami dapat terus menghasilkan padi untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia?"

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan keluhan pesawah yang dibelenggu kos operasi yang tidak menentu sehingga sanggup berhutang kos modal dengan pengilang.  

Selain itu, kos sewa jentera padi seperti traktor dan harga benih turut meningkat. 

- Iklan -

Harga sewa traktor yang sebelum ini RM220 dinaikkan kepada RM380 bagi satu relung, manakala harga benih padi naik dari RM45 kepada RM58 di pintu kilang.

Ramai juga yang terpaksa menanggung kos lebih tinggi akibat tanaman musnah apabila dilanda banjir.