- Iklan -
Berita

Suhakam dilarang masuk penjara siasat kes banduan mati, halangan pertama dalam 25 tahun

Insiden itu di sebalik kontroversi penahanan dua aktivis selepas hadir di kompleks Kementerian Dalam Negeri untuk menyerahkan memorandum.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Suhakam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa menghalang pegawainya daripada memasuki penjara, menyifatkannya tidak pernah berlaku sejak 25 tahun penubuhan suruhanjaya itu.
Suhakam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa menghalang pegawainya daripada memasuki penjara, menyifatkannya tidak pernah berlaku sejak 25 tahun penubuhan suruhanjaya itu.

Jabatan Penjara telah menafikan akses kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menyoal siasat seorang banduan berkenaan kes kematian seorang banduan di Penjara Taiping bulan lepas dipercayai akibat diserang, dalam apa yang disifatkan sebagai halangan pertama terhadap badan hak asasi kerajaan itu sejak penubuhannya di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad lebih dua dekad lalu.

Pihak berkuasa memberikan alasan kewujudan siasatan polis dalam menghalang pegawai Suhakam, tindakan yang dibidas suruhanjaya itu sebagai "pelanggaran tanggungjawab berkanun yang tidak boleh diterima, bersifat prejudis dan langsung tidak wajar".

"Dalam 25 tahun pengalamannya, banyak penyiasatan dijalankan serentak dalam penjara oleh kedua-dua Suhakam dan polis termasuk kes kematian dalam tahanan. Tiada isu atau masalah kerana siasatan serentak itu," kata suruhanjaya itu.

- Iklan -

Suhakam berkata pegawainya tiba di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah selepas mendapat kelulusan Jabatan Penjara untuk merakamkan keterangan seorang banduan.

Bagaimanapun, mereka dilarang masuk dengan alasan siasatan polis masih berjalan.

Sementara itu, lawatan berjadual Suhakam ke Penjara Taiping minggu ini turut dibatalkan pihak berkuasa.

Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia memberikan Suhakam kuasa menyiasat sesiapa sahaja yang terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia.

"Tiada sesiapa yang mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk menghalang atau menangguhkan siasatan Suhakam," katanya.

Larangan terhadap pegawai Suhakam itu walaupun selepas jaminan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution untuk bekerjasama dengan suruhanjaya itu dalam menyiasat kematian banduan di Penjara Taiping pada 17 Januari lalu.

Ia di sebalik penahanan dua aktivis hak asasi manusia yang hadir ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya untuk menyerahkan memorandum mengenai hak tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), atau Sosma.

- Iklan -

Sevan Doraisamy dan Azura Nasron dari kumpulan Suaram ditahan dan disoal siasat kerana didakwa memasuki kompleks KDN secara haram.

Polis bagaimanapun berkata mereka tidak ditangkap, manakala KDN memberi amaran kepada orang ramai tidak membuat "spekulasi".

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) bagaimanapun berkata rakaman video membabitkan aktivis itu menunjukkan "penahanan yang jelas".

"Apa yang mengejutkan ialah polis bukan sahaja terang-terangan berbohong dalam kenyataan mereka, malah KDN mengeluarkan mengeluarkan ugutan terhadap orang ramai supaya tidak membincangkan penahanan aktivis terkemuka itu. Ini adalah perkara yang membimbangkan," kata pengarah LFL Zaid Malek.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.