- Iklan -
Berita

Harga tiket bas 'balik kampung' naik menjelang Hari Raya pertama sejak kenaikan diesel

Syarikat bas ekspres berkata kenaikan disebabkan penyasaran semula subsidi diesel dan pelbagai kos operasi lain.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Harga tiket bas pada musim Hari Raya tahun ini naik mendadak, didorong beberapa faktor khususnya lonjakan harga diesel sejak kerajaan menarik balik subsidi pukal tahun lalu. 
Harga tiket bas pada musim Hari Raya tahun ini naik mendadak, didorong beberapa faktor khususnya lonjakan harga diesel sejak kerajaan menarik balik subsidi pukal tahun lalu. 

Ratusan ribu perantau yang menggunakan perkhidmatan bas untuk pulang ke kampung halaman sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini terpaksa membayar harga tiket sehingga dua kali ganda, selepas syarikat pengangkutan terkesan dengan lonjakan harga diesel sejak tahun lalu.

Kenaikan itu lebih ketara bagi kategori bas eksekutif, di mana harga tiket meningkat sehingga 70%, menurut tinjauan MalaysiaNow.

Ia terutama bagi perjalanan dari Lembah Klang ke Pantai Timur, khususnya ke Kelantan yang menjadi antara destinasi utama perantau pulang beraya.

- Iklan -

Semakan di aplikasi jualan tiket bas turut mendapati harga tiket melonjak dengan ketara bagi destinasi seperti Johor Bahru, Shah Alam, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perlis dengan kenaikan mencecah 100%. 

Tiket bas bagi perjalanan dari Johor Bahru ke Kangar pada luar musim perayaan berharga sekitar RM80 bagi kategori bas eksekutif tetapi dijual pada harga mencecah RM160 bermula tiga hari sebelum sambutan Aidilfitri. 

Sebuah syarikat bas turut mengesahkan peningkatan harga tiket bas ke Pantai Timur dari 30% sehingga 70% pada musim Hari Raya Aidilfitri tahun ini. 

Pengarah Urusan Ekspres Perdana, Laili Ismail, berkata ia didorong beberapa faktor utama, khususnya lonjakan harga diesel sejak kerajaan menarik balik subsidi pukal tahun lalu. 

Katanya, subsidi diesel bagi setiap bas ekspres kini dihadkan kepada hanya kira-kira 6,000 liter sebulan, sedangkan kebiasaannya sebuah bas memerlukan 10,000 liter diesel. 

"Pihak syarikat perlu menampung lagi kira-kira 4,000 liter diesel dengan harga lebih kurang RM4,000 lagi yang perlu ditambah bagi setiap bulan," kata Laili yang beroperasi di Pantai Timur.

Katanya, peraturan baharu untuk menggunakan minyak diesel jenis Euro 5 sepenuhnya bagi tahun 2025 juga memerlukan perbelanjaan tambahan, di samping bahan kimia dikenali sebagai "AdBlue" yang berfungsi untuk merawat sistem ekzos dan mengawal pelepasan gas berbahaya kepada alam sekitar. 

- Iklan -

"Walaupun penggunaannya tidaklah setinggi penggunaan diesel tetapi harga bagi satu liter AdBlue ini mencecah sehingga RM7," katanya.

Laili berkata, penggunaan Sistem Jualan Tiket Berpusat (CTS) turut menyebabkan syarikat bas kini membayar beberapa caj sebaik sahaja memasuki kawasan terminal. 

Faktor lain kenaikan kos operasi termasuk peningkatan kos penyelenggaraan dan permintaan tinggi bagi perjalanan dari Lembah Klang ke Pantai Timur.

"Jadi banyak kekangan kos yang perlu dihadapi oleh pengusaha-pengusaha bas dan sebab itu semuanya memilih menjalankan perniagaan dalam kategori bas eksekutif.  

"Dan sebab itu apabila musim kemuncak, mereka akan menaikkan harga untuk menampung keadaan di waktu 'low season'."

Katanya, kerajaan menetapkan kadar RM0.15 bagi setiap kilometer untuk bas kategori eksekutif dan RM0.09 bagi kategori ekonomi. 

Jelasnya, bagi jenis eksekutif, kerajaan hanya menetapkan harga lantai dan tidak mempunyai harga siling manakala jenis ekonomi tidak mempunyai harga lantai tetapi ditetapkan harga siling. 

Laili berkata walaupun dengan kenaikan harga tiket, orang ramai sudah mula membeli tiket bas untuk perjalanan balik kampung kelak. 

- Iklan -

"Walaupun harga tiket untuk perjalanan pada 28 Mac dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu telah dinaikkan sebanyak 50%, permintaan masih tinggi, dan ramai yang telah membelinya pada harga RM80." 

Pelbagai komen orang ramai meluahkan kekecewaan mengenai peningkatan harga itu, yang terpaksa di tanggung ketika pembukaan sesi persekolahan dan kedatangan bulan Ramadan, yang biasanya memerlukan banyak perbelanjaan tambahan untuk isi rumahtangga.

Di media sosial, ramai mempersoalkan apa tindakan kerajaan mengenai kenaikan tiket bas meskipun isu itu semakin banyak diulas sejak beberapa hari lalu. 

"PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) kata tarik subsidi untuk golongan 'mahakaya'. Tetapi rakyat yang kena tanggung akibat," tulis seorang pengguna bernama Ericson, antara ratusan komen di TikTok.