- Iklan -
Berita

PKS bergelut di sebalik kenaikan tarif elektrik dan kerajaan 'paling tidak mesra perniagaan'

Dua kumpulan mewakili peniaga kecil dan sederhana berkata selain tarif elektrik, mereka sudah pun dibebankan pelbagai caj dan denda daripada agensi kerajaan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Kenaikan tarif elektrik yang bakal berlaku menambahkan beban kewangan dihadapi peniaga kecil dan sederhana.
Kenaikan tarif elektrik yang bakal berlaku menambahkan beban kewangan dihadapi peniaga kecil dan sederhana.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan sektor yang paling teruk terjejas akibat kenaikan tarif elektrik yang bakal berlaku, di mana pemilik perniagaan memberi amaran mereka mungkin tidak lagi dapat bertahan di sebalik pelbagai peraturan baharu diumumkan kerajaan yang menambahkan beban kewangan mereka.

"Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, kebanyakan PKS sudah bersiap bersedia mengharungi tahun yang sukar, dan tidak akan membuat pelaburan untuk mengembangkan perniagaan mereka," kata William Ng, presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), kepada MalaysiaNow.

Ng berkata pemilik perniagaan sudah pun terpaksa membelanjakan lebih banyak wang untuk mematuhi kenaikan kadar gaji minimum, sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk pekerja asing, serta kenaikan pelbagai caj melibatkan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

- Iklan -

Beliau menggesa kerajaan memberikan penjelasan bagi meredakan kebimbangan pemilik perniagaan terhadap kenaikan tarif.

"Lebih cepat pengumuman dibuat, lebih baik. Sebarang kenaikan hendaklah minimum, jika tidak banyak PKS tidak akan dapat menyerap kenaikan kos," katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengesahkan tarif elektrik akan dinaikkan, lebih sebulan selepas pengumuman kontroversi Bursa Malaysia oleh syarikat milik kerajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Anwar tetap dengan pendiriannya kenaikan itu tidak akan memberi kesan negatif kepada ekonomi.

"Ia perlu dilakukan. Harga perlu diselaraskan mengikut kadar semasa," katanya awal bulan ini.

Samenta berkata TNB perlu telus mengenai langkah penjimatan kosnya.

"Ketika perniagaan berdepan kenaikan kos untuk mengekalkan keuntungan mereka, adalah wajar orang ramai menyedari apa yang dilakukan syarikat itu (TNB) untuk mengurangkan kos," katanya sambil memberi amaran akan ada PKS yang terpaksa mengecilkan perniagaan mereka.

- Iklan -

Sementara itu, sebuah persatuan mewakili pemilik restoran Melayu berkata ahlinya berdepan cabaran mengekalkan harga makanan.

Seperti Ng, Nik Hassan Zain, pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Restoran Melayu Kelantan, berkata banyak perniagaan dijangka tidak dapat bertahan..

Menurutnya, secara purata, sebuah restoran menampung antara RM2,000 dan RM3,000 dalam caj elektrik setiap bulan.

"Kalau naik 10%, bermakna kenaikan dalam RM200 kepada RM300 sebulan," katanya kepada MalaysiaNow.

'Paling tidak mesra perniagaan'

Nik Zahir menyifatkan kerajaan sekarang "paling tidak mesra" kepada perniagaan, sambil melahirkan kebimbangan terhadap pelbagai kos tambahan, daripada denda yang dikenakan oleh agensi kerajaan sehinggala kepada kenaikan kos bahan mentah.

Beliau berkata pegawai penguatkuasa kini semakin kerap berkunjung ke premis perniagaan dan menyaman pemilik atas kesalahan kecil.

Selain peningkatan kos, pemilik perniagaan turut berdepan kunjungan pegawai penguatkuasa yang mengenakan denda atas kesalahan kecil.
Selain peningkatan kos, pemilik perniagaan turut berdepan kunjungan pegawai penguatkuasa yang mengenakan denda atas kesalahan kecil.

"Sebagai contoh, Suruhanjaya Syarikat Malaysia datang buat pemeriksaan dan tengok papan tanda tiada nombor pendaftaran syarikat.

- Iklan -

"Saya ini sudah berusia 67 tahun dah, perkara ini tak pernah dibuat. Bagilah nasihat dahulu. Ini terus keluar kompaun RM5,000," kata Nik Zahir.

Beliau berkata pemilik restoran di bawah persatuannya mengadu mengenai kemerosotan jualan kerana pelanggan semakin kurang makan di luar di samping membeli menu yang lebih murah.

Nik Zahir berkata dengan pembukaan semula sekolah, isi rumah menanggung lebih banyak perbelanjaan.

Ini ditambah dengan ketibaan bulan puasa, diikuti dengan musim Hari Raya yang akan terus membebankan mereka, katanya.

Menurutnya, walaupun jualan meningkat pada musim perayaan, ia tidak lagi setinggi tahun-tahun sebelumnya.

"Dulu boleh capai dalam RM10,000 semasa musim cuti, tetapi sekarang dalam RM6,000 ke RM7,000 sahaja."